Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk Asia Tenggara ubah rasa marah dek isu jerebu kepada tindakan, karya seni
Penduduk Asia Tenggara ubah rasa marah dek isu jerebu kepada tindakan, karya seni
Tatkala asap daripada kebakaran di Sumatra dan Kalimantan sekali lagi merebak ke serata Asia Tenggara, menyebabkan peningkatan masalah pernafasan, langkah penutupan sekolah dan gangguan penerbangan, orang ramai tidak sekadar merungut dan melepaskan perasaan marah.
Daripada mereka bentuk karya seni dan memuat naik hantaran di media sosial sehingga melaksanakan langkah praktikal seperti menyediakan perkhidmatan kesihatan, masyarakat di dalam dan luar Indonesia menggunakan pelbagai cara untuk menyuarakan kebimbangan serta melahirkan sokongan dan semangat perpaduan dalam tempoh sukar ini.
JENAKA, TARIAN DI SEBALIK ASAP
Bagi kebanyakan orang, respons awal terhadap jerebu rentas sempadan ini disuarakan menerusi lawak jenaka.
Di Singapura dan Malaysia, pencipta kandungan serta netizen menyasarkan kandungan media sosial mereka terhadap usaha pemerintah Indonesia dalam menangani krisis jerebu.
Pencipta kandungan Singapura, Calvin Chua atau @cayydences, contohnya, memuat naik video yang berkali-kali menanyakan satu soalan, “Who do we fine?” (”Siapa yang patut kita denda?”) berikutan asap tebal yang menyelubungi banyak kawasan di serata pulau berkenaan.
Pencipta kandungan Malaysia, yang dikenali sebagai J atau @isawkwardguy, turut menghasilkan video yang menyindir kenyataan jurucakap pemerintah Indonesia, Encik Syahganda Nainggolan, yang mendakwa negara itu turut ‘menghantar oksigen’ ke Malaysia.
“Terima kasih atas oksigen ini,” katanya secara sinis.
Bukan sahaja tidak berkecil hati, malah ramai warga Indonesia turut serta meninggalkan komen di bawah video tersebut.
“Silakan denda pemerintah kami, anda dapat restu kami,” tulis satu komen pada hantaran Chua.
“Teruskan kecam negara kami. Sekiranya mampu, denda pemerintah kami. Tolong, kami mohon kepada anda,” tulis komen lain pada hantaran J di Instagram.
Bagi kumpulan seni Jaga Api yang berpangkalan di Palembang, media sosial terbukti menjadi wadah berkesan untuk menyebarkan mesej mereka.
Kumpulan tersebut mendapat inspirasi daripada ‘Tarian Kehancuran Budaya’, sebuah lukisan karya artis visual yang juga ahli Jaga Api, Pebri Yansyah.
Lukisan yang dihasilkan pada 2024 itu merupakan sebahagian daripada siri karya yang menampilkan pelitup muka.
Kumpulan tersebut mengadaptasi lukisan berkenaan menjadi satu persembahan, siri video dan foto, yang dirakam pada 7 September.
Kumpulan itu menayangkan video berkenaan buat kali pertama di sebuah forum awam di Palembang pada Oktober, di mana kumpulan masyarakat sivil menggalakkan mereka memuat naik karya tersebut ke platform dalam talian.
Jaga Api tidak menjangkakan sambutan hangat di media sosial menerusi karya mereka.
“Kami menggunakan simbol tempatan dari Sumatra Selatan, jadi kami ingatkan hanya penduduk Sumatra Selatan sahaja yang akan memahaminya,” kata Pebri.
Sebaliknya, ia tular ke seluruh Indonesia, meraih puluhan ribu tanda ‘suka’ serta menarik perhatian platform media sosial popular Indonesia seperti USS Feed dan Cretivox.
“Seni mungkin bukan penyelesaiannya, tetapi ia boleh memacu penyelesaian tersebut,” kata Pebri.
RUANG BERNAFAS
Di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, sebuah gerakan belia orang asli, Yayasan Ranu Welum, mengambil pendekatan lebih praktikal dengan menyediakan tempat perlindungan sementara bagi penduduk terjejas jerebu.
Pengarah Urusan Ranu Welum, Encik Sarasi Silvester Sinurat, memberitahu The Straits Times (ST):
“Sebahagian besar penduduk di Kalimantan tinggal di rumah kayu, jadi sukar untuk menghalang asap daripada masuk. Dari situlah timbulnya idea tempat perlindungan jerebu ini.”
Yayasan itu, yang namanya bermaksud ‘air kehidupan’ dalam bahasa Dayak, bermula pada 2014 apabila sekumpulan pelajar universiti menghasilkan video pendek mengenai isu semasa.
Semasa krisis jerebu 2015, ahli kumpulan berkenaan bertemu dengan syarikat media berpangkalan di Singapura, Big Red Button, yang berkunjung ke Palangkaraya untuk mengagihkan pelitup muka N95.
Warga Singapura, Encik Wally Tham, yang mengendalikan Big Red Button, berkata beliau telah bertahun-tahun menyaksikan komen hangat dalam talian yang tidak membawa sebarang perubahan, lalu mahu melihat sendiri masalah itu secara dekat.
Kerjasama itu berkembang dengan penubuhan tempat perlindungan jerebu, merangkumi bangunan kekal yang dilengkapi sistem penapis udara, petugas kesihatan, tangki oksigen dan ubat-ubatan.
Tiga tempat perlindungan pertama dibuka di Palangkaraya pada 2019.
Kini, sebanyak 26 tempat perlindungan beroperasi di serata Kalimantan Tengah, Barat dan Selatan.
Ia dikendalikan dengan kerjasama rakan organisasi yang menyediakan kemudahan serta tenaga kerja.
Tempat perlindungan itu percuma dan dibuka kepada sesiapa sahaja pada siang hari, dan telah memberikan khidmat kepada lebih 3,000 orang sepanjang musim kebakaran ini.
Yayasan berkenaan turut menyediakan bantuan kewangan bagi pesakit yang memerlukan rawatan.
Selain tempat perlindungan jerebu, Encik Tham bekerjasama dengan Ranu Welum untuk menyediakan peralatan lebih baik kepada pasukan bomba sukarela.
Pasukan berkenaan membentuk sebahagian besar tenaga pemadam kebakaran di Kalimantan Tengah dan sering kali terpaksa memadamkan api dengan peralatan harian yang diubah suai.
Tempat perlindungan itu juga membolehkan pasukan pemadam kebakaran memberi tumpuan kepada tugas mereka, tambah beliau.
“Apabila mengetahui isteri dan anak-anak mereka selamat, ia membolehkan pasukan bomba ini memberi tumpuan kepada tugas mereka.”
Bagi mereka yang berada jauh dari kawasan kebakaran, kumpulan berkenaan mencadangkan beberapa cara untuk membantu.
Encik Sarasi berkata Ranu Welum mengalu-alukan sumbangan pelitup muka, vitamin dan pembersih udara, serta sukarelawan dengan latihan perubatan.
Sementara itu, Encik Tham menggesa warga Singapura supaya mencari aktivis Indonesia di media sosial dan mengambil tahu dengan lebih lanjut mengenai apa yang berlaku di kawasan yang terjejas teruk akibat kebakaran.
“Kadar penderitaan di sana jauh lebih tinggi daripada apa yang dialami oleh warga Singapura,” katanya.
Ahli Jaga Api, Pebri, turut menyuarakan sentimen yang sama.
“Kita semua ada peranan masing-masing,” katanya.
“Harapan kami adalah agar orang ramai mempunyai kesedaran lebih tinggi mengenai isu-isu ini dan terus membantu menyebarkannya, supaya kita dapat menggesa pihak berkuasa untuk bertindak.”