Dalam menyambut ulang tahun yang ke-25 pada Julai 2025, PropNex bukan hanya berbangga dengan kejayaan dalam dunia hartanah yang diraih sejauh ini, namun turut meraikan pencapaian mereka dalam membantu masyarakat.
Bagi firma hartanah terbesar di Singapura itu, yang mempunyai lebih 13,000 ejen hari ini, perniagaan mereka bukan sekadar meraih keuntungan.
“Ia adalah tentang membina sebuah sistem dan struktur di mana generasi seterusnya boleh mengambil alih dan meneruskan nilai-nilai teras kita.
“Dan nilai-nilai teras itu adalah tentang menambah nilai kepada orang dan masyarakat di sekeliling kita. Penakatan dan kewujudan PropNex bukan sekadar untuk buat duit,” kata pengasas bersama dan Pengerusi Eksekutifnya, Encik Ismail Gafoor.
Meraikan semangat memberi pada 15 Julai lalu, PropNex turut mengumumkan daya usaha bernilai lebih $30 juta dalam usaha membantu masyarakat sedang firma itu membuka lembaran pertumbuhannya yang seterusnya.
Ini termasuk penubuhan Yayasan PropNex dengan endowmen awal sebanyak $10 juta bagi membantu pelajar daripada latar belakang kurang bernasib baik, memajukan daya usaha pendidikan dan membiayai tujuan amal yang lain.
Yayasan tersebut berikrar mengembangkan dana itu kepada $25 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Antara lain, firma hartanah itu juga mengumumkan sumbangan sebanyak $6 juta kepada Dana Masyarakat (ComChest) – jumlah sumbangan terbesar dalam sejarah syarikat itu.
Berkongsi semasa sesi podcast NoTapis BHerbual Berita Harian (BH) bersama Koresponden, Cik Irma Kamarudin, dan wartawan, Cik Shiqin Ramadan, baru-baru ini, Encik Ismail berkata:
“Bagaimana boleh kita membawa perubahan kepada orang ramai? Dengan melalui pendidikan, dengan memberi nasihat yang betul, dengan membantu mereka dalam perjalanan, memberi mereka keyakinan, dengan membantu mereka yang tinggal di flat sewa percaya bahawa mereka juga boleh memiliki rumah sendiri.
“Memiliki hartanah tidak boleh menjadi satu-satunya matlamat utama. Memiliki hartanah adalah untuk menyediakan perlindungan yang mewujudkan kebahagiaan.
“Itu sebabnya mengapa di PropNex, kita mahu menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata Encik Ismail.
Bahkan, membantu mereka yang kurang bernasib baik adalah sesuatu yang sangat dekat di hati Encik Ismail, 61 tahun.
Menceritakan kisah perjalanannya, Encik Ismail berkongsi bahawa beliau sendiri membesar dalam keadaan yang serba kekurangan – tinggal bersama ibu bapa dan adik-beradiknya “terhimpit seperti ikan sardin” di rumah sewa satu bilik mereka di Lengkok Bahru.
Encik Ismail membesar dalam keluarga enam beradik – lima lelaki dan seorang perempuan.
“Oleh itu, semasa saya sedang membesar, saya rasa bahawa salah satu perkara penting adalah privasi dan mempunyai bilik dan tempat perlindungan. Entah bagaimana, hartanah menjadi satu topik yang dekat di hati saya,” kata beliau.
Sebagai seorang pelajar, Encik Ismail berkata beliau merasakan dirinya sebagai “tidak cukup baik”.
Beliau bercita-cita melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi selepas sekolah menengah, namun impiannya itu terhalang dek kegagalannya dalam subjek bahasa ibundanya, iaitu Tamil.
“Pada ketika itu, jika anda gagal bahasa ibunda, anda tidak boleh pergi maktab rendah. Saya dapat gred E8. Jika saya dapat D7, saya boleh pergi maktab rendah kerana lima subjek saya yang lain mendapat gred baik.
“Oleh itu, saya ulangi peperiksaan GCE ‘O’ lagi. Saya dapatkan bantuan tutor privet. Keputusannya keluar, tetapi (malangnya) saya dapat F9 bagi Tamil. Jadi, saya rasakan yang saya ini tidak cukup baik,” kata beliau.
Kisah tersebut menjadi antara intisari dalam buku yang dilancarkan beliau bertajuk I Am Not Good Enough sempena ulang tahun ke-25 PropNex pada 15 Julai, yang mengisahkan tentang perjalanannya mengatasi cabaran, membina sebuah pertubuhan yang didorong oleh tujuan, dan nilai-nilai yang membentuk kepimpinannya.
Hidup, bagaimanapun, diteruskan Encik Ismail, dengan beliau membantu bapanya, seorang penjual surat khabar dan pemilik kedai bekalan di Lengkok Bahru, sebelum akhirnya, membina kerjaya dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Di situlah beliau bertemu dengan bakal isterinya, Cik Nooraini Noordin. Pada waktu itulah, pasangan itu mendapati mereka mempunyai minat yang sama dalam bidang hartanah.
Setelah meninggalkan SAF, mereka berdua mengambil keputusan untuk menubuhkan agensi hartanah Nooris Consultants pada 1996.
Hanya dalam tempoh dua tahun setelah syarikat mereka itu ditubuhkan, Nooris Consultants berkembang menjadi agensi hartanah Melayu/Islam yang terbesar dalam pasaran, mendorong pasangan itu memiliki impian lebih besar untuk perniagaan hartanah mereka itu.
Lantas, pada 1998, Nooris Consultants bergabung dengan satu lagi agensi hartanah Prulink Realty untuk menubuhkan First Class Consultants.
Cik Nooraini, bagaimanapun, mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada perniagaan hartanah.
Penubuhan First Class Consultants itu merupakan satu langkah sebelum lembaran seterusnya dalam perjalanan hartanah Encik Ismail – pada 2000, PropNex dilancarkan dengan gabungan rakan agensi-agensi lain.
HSR Property Group, yang merupakan firma kedua terbesar selepas ERA, mempunyai pegangan majoriti dalam PropNex. Namun, hanya selepas dua tahun, ia menarik diri daripada rangkaian tersebut.
Encik Ismail menyifatkan kejadian itu sebagai antara krisis dalam kisah perjalanannya.
“Tahun-tahun permulaan sangat mencabar, dan ada kalanya, saya terfikir: ‘Adakah saya melakukan perkara yang betul?’,” kata beliau.
Namun, setelah lebih dua dekad, Encik Ismail cukup berbangga dengan pencapaian yang diraih firmanya itu, dengan PropNex hari ini merupakan firma hartanah terbesar di Singapura, dengan lebih 13,000 ejen hartanah.
Ia juga jenama Singapura yang kini telah berkembang ke beberapa negara lain di rantau Asia Pasifik, seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Australia.
Firma itu juga satu-satunya syarikat diasaskan bersama oleh individu Melayu/Islam yang disenaraikan dalam Bursa Singapura (SGX).
“Apabila saya menceburi perniagaan hartanah, hakikat bahawa kami dapat bekerjasama dengan rakan kongsi lain adalah kerana orang melihat mutu kepimpinan dalam apa yang saya dapat tawarkan dan visi luas di mana kami boleh bekerjasama.
“Oleh itu, saya percaya bahawa kepelbagaian dan juga budaya meritokrasi Singapura telah membantu kita berkembang ke tahap yang kita berada dalam memberi nilai tambah lebih besar,” kata beliau.
Bagaimanapun, seperti perniagaan lain, perlu ada rancangan peralihan bagi PropNex terus berkembang maju untuk masa depan.
Dengan itu, Encik Ismail, semasa sambutan ulang tahun ke-25 syarikat tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 15 Julai, mengumumkan beliau mengundurkan diri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex.
Beliau digantikan Timbalan CEO, Encik Kelvin Fong, 50 tahun.
Encik Ismail bagaimanapun akan mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Eksekutif, yang akan diamanahkan dalam menentukan hala tuju strategik syarikat, penglibatan pihak berkepentingan serta kepimpinan Lembaga Pengarah.
Berpegang teguh pada meritokrasi, beliau berkata PropNex telah memupuk ramai anak muda dalam usaha mempersiapkan generasi seterusnya mengambil alih dan supaya mereka selaras dengan nilai-nilai teras syarikat itu.
“Di PropNex, individu yang menerajui jawatan bukan dari tempat lain. Mereka telah dipersiapkan, dipupuk dan kini, mereka bersedia untuk menerajui jalannya,” kata bapa dua anak perempuan dan seorang anak lelaki itu.
Ditanya apakah ada dalam kalangan tiga anaknya yang akan mengikut jejak langkahnya dalam bidang hartanah, Encik Ismail berkata hanya anak-anak perempuannya sahaja yang telah menunjukkan minat membina kerjaya dalam bidang itu sejauh ini.
“Anak perempuan sulung saya pernah bekerja untuk saya selama tiga tahun selepas tamat pengajian dalam bidang perniagaan di United Kingdom… Beliau kini sedang melanjutkan pengajian sarjananya.
“Anak perempuan saya yang kecil pula sudah katakan beliau pasti mahu menjadi ejen hartanah,” kata beliau.
Berkongsi kata-kata kepada mereka yang mahu berkecimpung dalam dunia hartanah, Encik Ismail berkata individu tidak harus melihat bidang itu sebagai laluan untuk “cepat kaya”.
Sebaliknya, nasihatnya adalah bagi mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan kerana perniagaan hartanah bukan seperti pekerjaan biasa dengan gaji dan caruman CPF tetap setiap bulan.
“Sebaik sahaja anda melangkah masuk dunia hartanah, anda bergantung pada komisen, anda tiada pendapatan (tetap), tiada CPF. Dan terutamanya apabila anda baru saja masuk, ia akan mengambil beberapa bulan untuk membina kelayakan dan mendapatkan pelanggan,” kata beliau.
“Jika anda ada keinginan, jika anda suka berinteraksi dengan orang, jika anda menghargai melakukan perkara yang betul dan bukan sekadar dapatkan wang… dan anda bekerja keras, anda boleh menjadi seorang bintang,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg