Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Penghormatan paparkan Presiden Halimah dipandang tinggi di mata dunia

Jun 26, 2023 | 05:44 PM




Semasa sesi taklimat bersama media sebelum keberangkatan ke Doha, Qatar, baru-baru ini, pihak media yang menyertai lawatan itu diberitahu bahawa Presiden Halimah Yacob akan menerima sambutan istiadat negara di negara Teluk itu.

Ini memang sesuatu yang lazim dilakukan sesebuah negara apabila ada pemimpin dunia yang mengadakan lawatan negara secara rasmi ke negara itu.

Tetapi sehari sebelum sambutan istiadat negara itu, kami diberitahu bahawa sambutan itu akan diadakan dalam bentuk yang lebih gah.

Puan Halimah diberi sambutan istiadat negara tertinggi di Qatar dengan kehadirannya masuk ke istana diiringi kuda dan unta. 

Ini juga merupakan penghormatan tambahan hanya bagi Ketua Negara khas yang dipilih Ketua Negara Qatar.

Sebagai wanita, saya cukup kagum dengan sambutan yang diterima Puan Halimah memandangkan beliau seorang pemimpin wanita Muslimah dan disambut dengan penuh hormat dan gah.

Lawatan negara Puan Halimah ke Qatar merupakan lawatan negara terakhirnya selepas beliau mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang apabila penggalnya tamat pada 13 September ini.

Sepanjang enam tahun menjawat jawatan tertinggi negara ini, Puan Halimah, 68 tahun, telah melakukan sebanyak 12 lawatan negara.

Menyingkap antara penghormatan tertinggi negara yang diterima Puan Halimah apabila ke negara-negara Teluk ialah beliau diberi peluang masuk ke tempat yang dianggap paling suci dalam Islam.

Semasa lawatan ke Arab Saudi pada 2019, beliau diberi peluang masuk ke dalam Kaabah di Masjidil Haram, Makkah dan kawasan khusus Raudhah di Masjid Nabawi di Madinah.

Puan Halimah juga telah dianugerahkan Darjah Utama Abdulaziz Saud – anugerah awam tertinggi Saudi – oleh Raja Salman Abdulaziz Al Saud, satu-satunya warga Singapura yang diberi penghormatan itu.

Hanya segelintir wanita yang diberikan penghormatan sebegitu, antaranya termasuk mantan Perdana Menteri Britain, Cik Theresa May, pada 2017.

Melihat penghormatan demi penghormatan yang diberikan kepada Puan Halimah, seseorang warga Singapura itu pastinya akan berasa bangga dengan pencapaian dan bagaimana pemimpin besar negara lain memandang tinggi terhadapnya, seorang pemimpin wanita daripada negara kecil seperti Singapura.

Dan ini dapat dilihat daripada kedudukannya dalam senarai antara 50 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia.

Selama enam tahun berturut-turut, Puan Halimah mengekalkan kedudukannya dalam senarai terbitan Pusat Pengajian Strategik Diraja Islam (RISSC), yang diterbitkan tahun lalu.

Kedudukan Puan Halimah naik tiga tangga daripada 36 ke tangga ke-33.

Sebagai Presiden kelapan dan presiden wanita pertama di Singapura, beliau juga satu-satunya wanita yang disenaraikan antara 50 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia.

Bayangkan betapa hebatnya pengaruh beliau. Malahan ada beberapa pempengaruh daripada negara jiran juga terkesima apabila mereka berpeluang bertemu dengannya.

Warga Singapura yang berada di luar negara juga sering memberitahu pihak media bahawa mereka tidak akan melepaskan peluang dan sanggup memandu beribu batu semata-mata untuk bertemu dengan Puan Halimah sekiranya beliau mengadakan lawatan ke negara itu.

Tetapi apa yang sering menarik perhatian ramai terhadap beliau ialah keperibadiannya yang memang mudah untuk berinteraksi dengan sesiapa sahaja.

Saya dapat lihat sendiri bagaimana beliau yang baru sahaja tiba hampir 12 tengah malam pada hari sebelumnya, kelihatan bersedia dan tidak menunjukkan sedikit pun rasa letih apabila lawatan negara rasmi bermula.

Beliau beramah mesra dengan para pegawai yang menyambutnya dengan senyuman. Keramahannya begitu terserlah.

Semasa jamuan makan malam untuk warga Singapura di Qatar, Puan Halimah pergi dari satu meja ke satu meja dan memastikan beliau dapat berbual dengan setiap warga yang datang ke majlis itu untuk bertemu dengannya.

Malah dengan pihak media sendiri, beliau memperuntukkan masa untuk memberikan cenderahati kepada kami atas kerja keras membuat liputan sepanjang lawatan negaranya ke sana.

Kemesraan itu juga dapat disaksikan apabila beliau bertemu dengan pemimpin negara lain semasa lawatan negaranya, sekali gus membantu meningkatkan lagi kedudukan Singapura di mata dunia.

Ia juga secara tidak langsung banyak membantu dalam mengubah persepsi negara lain terhadap Singapura.

Misalnya dalam temu bualnya bersama pihak media selepas lawatannya di Qatar, Puan Halimah berkata negara Timur Tengah sering melahirkan rasa kagum mereka akan sistem pentadbiran dan kepimpinan Singapura yang baik, berkesan dan membuahkan hasil yang baik untuk rakyat.

Mereka juga kagum akan perpaduan sosial yang ditonjolkan meski Singapura mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Saya sering memastikan bahawa lawatan yang saya lakukan dapat membuahkan hasil positif yang penting, terutama dalam aspek ekonomi bagi kebaikan Singapura dan warga Singapura,” ujarnya.

Inilah sesuatu sikap Puan Halimah yang dikagumi ramai kerana beliau melaksanakan tugasnya melebihi apa yang sepatutnya beliau lakukan, atau dalam istilah Inggerisnya, “go above and beyond”.

Meski peranannya merangkumi tiga aspek utama iaitu bersifat perlembagaan, terlibat dalam pelantikan dan istiadat negara, apa yang beliau lakukan sepanjang menjadi Presiden melebihi daripada sekadar aspek istiadat.

Ditanya apa yang paling dirinduinya apabila berundur daripada jawatan itu, Puan Halimah berkata peluang berinteraksi empat mata bersama pemimpin dunia dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka merupakan sesuatu yang akan beliau sentiasa ingati.

Bagi warga Singapura, dan saya sendiri secara peribadi, melihat seorang wanita Muslimah diberikan penghormatan tertinggi dan mewakili Singapura di persada dunia juga sesuatu yang akan saya rindui.

Melihat kebolehannya pastinya memberi inspirasi kepada ramai wanita lain.

Ia menunjukkan bahawa dengan ketekunan, keikhlasan dan kesungguhan seseorang itu mampu meraih kejayaan dan jika dikaitkan dengan apa yang dicapai Puan Halimah selama ini, beliau mampu mempertingkatkan martabat Singapura di mata dunia.

Siapa sangka suara dan kebolehan Singapura, sebuah negara kecil di peta dunia, mampu didengari secara lantang di peringkat antarabangsa.

Kejayaan yang Puan Halimah raih sepanjang tempoh beliau menjadi Presiden Singapura menunjukkan bahawa sesuatu yang diingini tidak mustahil untuk dikecapi dan juga tidak seharusnya dihambat hanya kerana status sebagai seorang wanita.

Legasi Puan Halimah pastinya akan diterapkan dalam buku-buku sejarah Singapura dan semestinya nama beliau akan terus tersemat dalam bibir setiap warga Singapura sebagai pemimpin atau ikon yang telah mengibarkan bendera Singapura dengan tinggi di persada dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >