Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Perjalanan pemulihan seorang pesalah

Apr 18, 2021 | 05:30 AM



MENGAMBIL langkah pertama untuk berubah amat sukar. Lebih mencabar bagi pesalah yang ingin menjauhkan diri daripada terjerumus semula ke dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah.



Tanpa persiapan mencukupi, dorongan dan sokongan kuat, mereka mudah terpesong kembali ke kancah jenayah.



Oleh itu, sungguh pun pemulihan bermula di penjara, perjalanan pemulihan seseorang itu harus disambut keluarga dan masyarakat dengan memberi sokongan menyeluruh dan berterusan setelah mereka dibebaskan.



Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) menyediakan persekitaran tranformasi bagi banduan. SPS percaya pesalah dapat membina semula hidup baru melalui program pemulihan dan integrasi semasa mereka menjalani hukuman penjara.



Program yang dilakar bukan bertujuan memperbaiki pemikiran dan kelakuan jenayah mereka sahaja, bahkan memberi mereka motivasi untuk berubah.



Teras program pemulihan yang disediakan itu berlandaskan bukti dan psikologi bagi mendorong pesalah membetulkan cara pemikiran mereka berkaitan dengan melakukan jenayah.



Mereka diberi program berdasarkan risiko (melakukan jenayah semula), keperluan dan kesan terhadap perubahan masing-masing.



Dalam masa 20 tahun sejak program pemulihan dikenalkan di penjara, kadar bentan pesalah berkurangan daripada 44 peratus bagi mereka yang dibebaskan pada 1998 kepada 22.1 peratus bagi yang dibebaskan pada 2016.



Ini kadar terendah sejak 1990.



Dalam beberapa kunjungan saya ke penjara baru-baru ini, saya dapat melihat bagaimana program pemulihan berdasarkan bukti, peluang latihan kemahiran dan sokongan kuat keluarga dan masyarakat dapat mendorong perubahan dalam kehidupan para banduan.



PERERAT SEMULA HUBUNGAN KELUARGA



Keluarga adalah sistem sokongan penting bagi pesalah. Walaupun hubungan keluarga boleh terjejas akibat tahanan di penjara, adalah penting pesalah mendapat sokongan berterusan daripada keluarga mereka.



Oleh itu, SPS bekerjasama dengan beberapa badan sosial dalam masyarakat untuk membantu pesalah mengeratkan hubungan keluarga mereka.



Pada November lalu, saya menghadiri sambutan Hari Kanak-Kanak bagi banduan dan keluarga mereka secara maya. Dianjurkan oleh SPS, Bapa Sepanjang Hayat (Centre for Fathering) dan Salvation Army, acara itu sangat menggalakkan kerana peserta dapat memanfaatkan masa singkat untuk berkomunikasi dan menyertai aktiviti keluarga yang disediakan.



SPS juga menyediakan program yang menekankan kepentingan kekeluargaan supaya hubungan keluarga pesalah dapat dieratkan semula sebelum mereka dibebaskan nanti.



Program seperti Social Skills Training dan Family Reintergration Programme mengajar pesalah cara berkesan untuk berkomunikasi dan memberi mereka keyakinan dalam menguatkan hubungan mereka bersama ahli keluarga tersayang.



PENINGKATAN KEMAHIRAN DAN PEKERJAAN BERI PESALAH PELUANG KEDUA



Pekerjaan aspek penting bagi menjauhkan diri pesalah daripada terlibat semula dalam jenayah. Kerjasama SPS, Reben Kuning Singapura (YRSG) dan badan sosial sepejuangan memastikan pesalah diberi peningkatan kemahiran yang diperlukan, pekerjaan dan bimbingan kerjaya untuk meningkatkan potensi pekerjaan mereka.



Dengan penyertaan dalam program peningkatan kemahiran dan latihan vokasional, pesalah dapat meningkatkan peluang pekerjaan.



Latihan yang diberi kepada mereka termasuk Workforce Skills Qualifications (WSQ) - kursus diiktiraf di peringkat nasional yang memberi jaminan kepada majikan bahawa pesalah itu telah dilatih dengan kemahiran sama seperti masyarakat umum yang sedang mencari pekerjaan.



Dalam 2020, 4,717 banduan menjalani latihan ini.



Dalam menyediakan pesalah peluang berintegrasi kembali dalam masyarakat, YRSG juga bekerjasama dengan sekitar 5,900 majikan untuk memberi peluang pekerjaan kepada mereka.



Pada 2020, YRSG mendapatkan pekerjaan 2,524 bekas pesalah sebelum mereka dibebaskan, dengan 690 pesalah mendapat pekerjaaan secara temu duga di alam maya (antara Jun hingga Disember 2020) kerana situasi pandemik Covid-19.



YRSG juga memberi sokongan kepada bekas pesalah selama 12 bulan setelah mereka mendapat pekerjaan.



Ini termasuk kunjungan kerap ke tempat kerja untuk berbincang dan mendapatkan maklum balas mengenai pekerjaan mereka. YRSG juga bekerja rapat bersama majikan mereka agar dapat menolong menghuraikan masalah perkerjaan jika ada.



SOKONGAN BERTERUSAN UNTUK PESALAH



Sokongan dan dorongan masyarakat penting bagi bekas pesalah berintegrasi kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.



Walaupun kadar bentan pesalah Melayu merosot daripada 34.7 peratus bagi mereka yang dibebaskan pada 2011 kepada 28.8 peratus bagi yang dibebaskan pada 2018, masih banyak yang harus diusahakan.



Ditubuhkan pada 2019, Fitrah (Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga) memberi sokongan menyeluruh kepada pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka.



Dalam kurikulum yang telah dilakarnya, Fitrah menyediakan khutbah Jumaat, perbincangan isi khutbah, pembacaan Al-Quran, dan syarahan agama untuk banduan di penjara. Fitrah juga bekerjasama dengan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) untuk mengendalikan program Insan Mukmin yang diterbitkan persatuan itu.



Program ini menekankan nilai-nilai murni kepada peserta dan menyokong integrasi mereka kembali kepada keluarga dan masyarakat.



Fitrah telah mendapatkan sekitar 140 asatizah dan lebih 320 sukarelawan untuk menyampaikan program-program ini di penjara dan membimbing pesalah setelah mereka dibebaskan.



Saya menghadiri salah satu latihan sukarelawan yang dikendalikan Fitrah dan sangat terkesan mendengarkan usaha jitu sukarelawan dalam menguatkan iman dan daya tahan seseoang pesalah.



Dua sukarelawan Fitrah, Encik Ismail Shogo dan Ustazah Maria, menceritakan motivasi mereka dalam memberi dorongan kepada keluarga pesalah melalui kelas agama dan membantu menghubungkan bantuan masyarakat kepada keluarga-keluarga tersebut.



Saya berterima kasih atas usaha dan sumbangan mereka dan saya berharap lebih ramai dapat tampil untuk berkhidmat.



Ayuh kita memberi sokongan kepada pesalah, bekas pesalah serta keluarga mereka kerana kejaayan mereka akan membentuk negara Singapura yang lebih selamat dan maju.




"Keluarga adalah sistem sokongan penting bagi pesalah. Walaupun hubungan keluarga boleh terjejas akibat tahanan di penjara, adalah penting pesalah mendapat sokongan berterusan daripada keluarga mereka."
- Dr Muhammad Faishal Ibrahim




  • Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >