Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerkongsian anak semasa pertemuan dengan guru boleh diambil iktibar
Perkongsian anak semasa pertemuan dengan guru boleh diambil iktibar
Renungan diri bermanfaat untuk kanak-kanak, orang dewasa
Perkongsian anak semasa pertemuan dengan guru boleh diambil iktibar
Baru-baru ini, saya ke sekolah rendah anak sulung saya buat kali pertama bagi menghadiri pertemuan ibu bapa dan guru, atau parent-teacher meeting (PTM).
Setelah beberapa tahun menghadiri PTM di prasekolah, saya teruja melihat bagaimana ia dijalankan di sekolah rendah.
Saya sangka, pasti guru akan menunjukkan buku laporan dan berkongsi tentang pencapaian atau kelakuan anak saya di dalam kelas.
Namun, saya tidak menyangka dan kagum, apabila anak saya, yang berada di peringkat Darjah Satu, diminta membuat perkongsian kepada saya dan suami tentang perkara yang disukai dan boleh diperbaiki, daya tahan, motivasi diri dan rasa syukur.
Perkongsian itu merupakan proses renungan diri yang saya rasa bermanfaat untuk semua orang, bukan sahaja kanak-kanak.
Amalan ini juga bukan hanya relevan di sekolah, malah di tempat kerja, di rumah dan dalam kehidupan seharian.
Anak saya memulakan perkongsiannya bukan tentang pencapaian akademik tetapi tentang perkara yang dia suka tentang sekolah (Dia suka kelas pendidikan jasmani dan matematik, serta lawatan ke taman haiwan).
Dia turut berkongsi sasaran bagi penggal dua – juga bukan berkaitan akademik, tetapi tentang kelakuan iaitu untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam cara yang teratur sebagai satu kelas.
Bagi orang dewasa, dua renungan di atas, berkaitan perkara yang disukai dan perkara yang ingin diperbaiki, boleh menggalak pertumbuhan berterusan serta memberi arah dan fokus.
Merenung kejayaan dan cabaran masa lalu juga boleh membantu orang dewasa menyedari mereka telah mengharungi kesukaran, dan ini dapat membantu mereka untuk kekal tabah apabila menghadapi halangan baru.
Lembaran renungan yang diisi anak saya itu turut menggalak murid menggunakan bahasa positif seperti: saya tahu bagaimana untuk memberi semangat kepada diri sendiri apabila saya tidak mencapai prestasi yang saya harapkan.
Orang dewasa boleh meraih manfaat daripada pemikiran sedemikian kerana hidup ini penuh dengan situasi di mana hasil tidak sepadan dengan jangkaan, sama ada di tempat kerja, dalam membesarkan anak-anak, perhubungan, kesihatan atau matlamat peribadi.
Memberi semangat kepada diri sendiri boleh membantu seseorang itu pulih daripada kemunduran, mengekalkan keyakinan dan terus maju ke hadapan walaupun keadaan tidak seperti yang diharapkan.
Kemudian ada pula bahagian Power of ‘Yet’ atau Kuasa ‘Belum’, yang mengajar murid mereka boleh menjadi lebih baik melalui usaha dan latihan.
Sekali lagi, tumpuan diberikan kepada kelakuan, seperti ‘mendengar dengan teliti’, ‘tunggu giliran untuk bercakap’, dan ‘bersikap baik hati dan penyayang’.
Saya suka bahagian ini.
Ia sangat sesuai dengan diri saya yang sedang belajar memasak lauk-pauk Melayu daripada ibu saya.
Saya mudah berasa kecewa (dan adakala marah) apabila mendapat maklum balas masakan ‘kurang kick’ atau diberi markah tiga daripada lima markah penuh.
Tetapi saya boleh menggunakan Kuasa ‘Belum’ untuk mendorong diri saya, dengan usaha dan latihan, saya pasti akan berjaya.
Saya ‘belum’ pandai masak, bukan saya ‘tidak’ pandai masak.
Akhir sekali, murid diajak mengamalkan rasa syukur, dengan memikirkan dan melukis bagaimana ibu bapa atau penjaga mereka membantu mereka melakukan yang terbaik.
Anak saya melukis gambar bapanya dan menulis ‘terima kasih kerana menghantar saya ke sekolah’.
Bagi orang dewasa, mengamalkan rasa syukur boleh membantu mereka mengenang perkara baik dalam kehidupan mereka yang selalunya penuh dengan tanggungjawab dan kerisauan.
Rasa syukur membantu orang dewasa mengambil sejenak masa untuk melihat gambaran yang lebih luas serta menghargai insan, peluang dan pengalaman yang bermakna dalam kehidupan mereka.
