M Kuasa Tiga (M³) minggu ini telah mula membentangkan ‘kad laporannya’ setelah lima tahun program dikendalikan di bawah naungan gerakan tersebut.
Pertama kali diumumkan pada 2018, M³ menggembleng tenaga dan sumber tiga agensi Melayu/Islam – Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) – untuk membantu masyarakat.
Ia merupakan daya usaha penting di bawah kepimpinan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama antara ketiga-tiga badan itu serta menyelaras sumber bagi membantu masyarakat.
Sokongan disampaikan kepada penduduk menerusi lima bidang tumpuan utama iaitu menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; pekerjaan dan daya kerja; serta membina masyarakat sihat untuk semua.
Tidak dinafikan, usaha yang menggabungkan kepakaran, sumber dan pangkalan data tiga pertubuhan tersebut telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Dalam bidang pendidikan contohnya, lebih 10,000 kanak-kanak dan ibu bapa telah meraih manfaat program KelasMateMatika (KMM). Satu kajian yang dijalankan Mendaki ke atas kanak-kanak tersebut menunjukkan lapan daripada setiap 10 bersedia menyertai darjah satu.
Di sudut pekerjaan pula, kerjasama yang dimeterai dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah mempertingkat sokongan bagi para pekerja Melayu/Islam dengan membantu mereka memperkukuh kemahiran dan mendapatkan pekerjaan baru.
Sekitar 15,000 pekerja telah meraih manfaat kerjasama antara M³ dan NTUC itu.
Sebagai menyokong keluarga, antara lain program Bersamamu telah diperkenalkan. Program itu menjadikan kadi dan naib kadi sumber sokongan dan nasihat bagi pasangan dari masa sebelum mereka bernikah hingga dua tahun pertama perkahwinan mereka.
Hampir 30,000 pasangan telah menyertai program tersebut sejak lima tahun lalu.
Tumpuan M³ bukan hanya dalam aspek pembangunan, bahkah ia mencakupi aspek pemulihan.
Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga atau Fitrah, yang dikendalikan dengan kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dengan Muis, menyediakan sokongan lebih terselaras dan menyeluruh kepada pesalah dan keluarga mereka sepanjang tempoh tahanan dan selepas dibebaskan.
Kadar kebentanan bekas pesalah Melayu kekal rendah dan stabil, dengan 24.7 peratus pesalah Melayu ditangkap semula dua tahun selepas dibebaskan bagi kumpulan yang dibebaskan pada 2020 – lebih rendah berbanding 34.1 peratus untuk kohort yang dibebaskan pada 2010.
Sebelum ini, Mesra, Muis dan Mendaki kelihatan mendekati segmen masyarakat yang berbeza, tetapi melalui M³, terdapat sinergi lebih besar untuk memanfaatkan kekuatan setiap agensi ‘M’ mengoptimumkan usaha kolektif bagi masyarakat.
Lantaran itu, usaha yang dilakukan M³ tampak berada di landasan yang betul dan harus mendapat sokongan.
Kemampanan program M³ dan kerjasama yang terjalin antara Muis, Mendaki dan Mesra perlu diteruskan.
Dalam meraikan pencapaian M³, diharapkan para pemimpin yang menerajui usaha ini juga akan mendengar maklum balas dan rintihan penggerak utama usaha ini – iaitu para relawan – dan mengambil tindakan menanganinya.
Dalam laporan khas yang diterbitkan akhbar ini, para relawan termasuk pengerusi M³ di bandar serata Singapura, telah melahirkan beberapa keprihatinan.
Antaranya sedang gerakan M³ telah membangkitkan semula semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat dengan menggembleng tenaga karyawan, asatizah dan anak muda, sekali gus memanfaatkan kekuatan kolektif demi meningkatkan martabat masyarakat, namun dari sudut yang satu lagi, sistem berasaskan relawan sedemikian dikhuatiri kurang mampan dalam jangka panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg