Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh kepercayaan bagi sijil halal Muis

Oct 5, 2025 | 5:30 AM
Kod QR akan tertera dalam sijil halal bagi premis makanan di Singapura bermula 1 Oktober.
Kod QR akan tertera dalam sijil halal bagi premis makanan di Singapura bermula 1 Oktober. - Muis

Industri halal di Singapura telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sejajar dengan peningkatan permintaan produk dan perkhidmatan halal di peringkat sejagat dan tempatan.

Peningkatan sijil halal yang diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) baru-baru ini menandakan kemajuan penting dalam meningkatkan ketelusan dan keutuhan dalam sistem pensijilan halal di Singapura.

Ia juga menyokong usaha transformasi negara dalam memperkukuh kepercayaan terhadap produk halal serta mempermudah urusan perniagaan dan pengguna.

Sekian lama, sijil halal Muis telah diiktiraf antarabangsa kerana ia memenuhi piawaian halal yang ketat, dari segi bahan mentah, proses pengilangan, penyimpanan dan pengendalian.

Sejak 1 Oktober, kedai makanan halal di Singapura akan mula memaparkan sijil halal terkini yang mengandungi kod QR secara berperingkat.

Ini memberikan pengguna kemudahan untuk mengimbas kod tersebut dan mengakses maklumat pensijilan secara langsung, termasuk pengesahan keaslian dan status sijil halal.

Langkah itu merupakan satu daya usaha ke hadapan yang membolehkan pengguna mempunyai peranan aktif dalam memantau dan melaporkan sebarang penyalahgunaan sijil halal kepada Muis.

Jika sijil sudah tamat tempoh atau nama pada sijil tidak sepadan dengan nama kedai, pengguna boleh segera memaklumkan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Selain itu, Pelaksanaan Sistem Pengurusan Risiko Halal Menyeluruh (Charm) pada Januari 2026 juga membolehkan tempoh sijil halal digital dilanjutkan sehingga lima tahun berdasarkan tahap risiko halal sesuatu perniagaan.

Ini memberi lebih fleksibiliti dan meningkatkan keberkesanan pengurusan sijil halal.

Muis juga telah melaksanakan rangka kerja pengiktirafan yang dipertingkat bagi Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) sejak 1 Oktober, bagi memberi pengguna keyakinan lebih tinggi terhadap kewibawaan produk bersijil halal yang diimport dan tersedia di sini.

Rangka kerja yang dipertingkatkan disokong oleh peruntukan baru di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).

Usaha berterusan dalam meningkatkan sijil halal ini menunjukkan negara ini mempunyai piawaian tinggi dalam memastikan mutu sijil itu terjaga.

Ia akan meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap sijil halal di Singapura.

Pengguna boleh membuat pilihan dengan maklumat yang betul dan kekal yakin apabila mereka membeli atau menggunakan produk import halal yang diiktiraf Muis.

Sejajar itu, syarikat-syarikat tempatan atau luar negara juga akan terdorong untuk mendapatkan sijil halal.

Ini memberikan mereka kelebihan daya saing yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran yang sengit hari ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg