Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Politik laga-lagakan kaum, agama tiada tempat di S’pura

Oct 19, 2025 | 5:30 AM
Lidah Pengarang Berita Harian
Lidah Pengarang Berita Harian - Foto BH

Standard tingkah laku parti politik dan tokoh politik di Singapura, mengenai cara mereka mengamalkan politik berhubung kaum dan agama telah digariskan secara lebih jelas di Parlimen pada 14 Oktober.

Dalam hujahnya semasa menyampaikan Kenyataan Menteri berhubung topik tersebut dan semasa menjawab soalan susulan daripada Anggota Parlimen (AP), Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam berkata amalan politik yang memburu undi berdasarkan kaum dan agama bukan sahaja perlu ditolak, malah tokoh politik serta parti mereka perlu berbuat demikian secara jelas dan tanpa berlengah-lengah apabila ia berlaku.

Encik Shanmugam memberikan beberapa contoh mengenai bahaya amalan politik sedemikian – yang juga dikenali sebagai politik identiti – sebagaimana yang sedang berlaku di negara-negara lain termasuk di Amerika Syarikat.

Pendirian pemerintah mengenai politik identiti adalah jelas, tetapi ia tetap mengundang beberapa soalan daripada AP, termasuk yang dikemukakan Encik Xie Yao Quan dari SMC Jurong Central. 

Menurut Encik Xie, yang juga Timbalan Speaker, pandangan pemerintah perlu diperjelas lebih lanjut, seperti apabila AP memberi sokongan atau memberitahu penduduk dari kaum atau agama tertentu bahawa sesuatu dasar boleh memanfaatkan – sama ada ini boleh disifatkan sebagai politik indentiti.

Memberi respons, Encik Shanmugam berkata perbuatan tokoh politik yang menyifatkan sesuatu dasar boleh memanfaatkan kaum atau kumpulan masyarakat tertentu adalah boleh terima dan perkara ini tidak seharusnya disamakan dengan identiti politik.

Menurut beliau, tiada salahnya untuk menyokong kaum tertentu dan mengemukakan keprihatinan tertentu yang diutarakan sesuatu kaum.

Namun, sokongan yang diberikan ini perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan dengan cara yang menyokong perpaduan dalam negara – sebagai contoh, sokongan yang bukan sahaja memanfaatkan sesebuah kaum atau agama, malah semua warga Singapura.

Menurut Encik Shanmugam, ada perbezaan ketara antara memberi sokongan dan melaga-lagakan kumpulan kaum dan agama berbeza yang boleh memecahbelahkan negara.

Penjelasan ini sedikit sebanyak boleh meredakan sebarang keprihatinan yang mungkin dimiliki AP dari kededua bahagian Dewan semasa mereka menjalankan amanah mewakili penduduk masing-masing dalam negara berbilang kaum dan agama ini.

Mereka tidak perlu berfikir dua tiga kali jika ingin menimbulkan isu-isu penting yang dikemukakan oleh penduduk masing-masing di Parlimen, asalkan mereka berpandukan garis panduan yang telah diberikan.

Satu lagi penjelasan penting diutarakan Encik Shanmugam di sesi Parlimen pada 14 Oktober. Beliau berkata orang Melayu/Islam tidak seharusnya menganggap mereka dijadikan sasaran berikutan penyampaian Kenyataan Kementerian tersebut.

Malah, beliau berkata masyarakat Melayu/Islam telah menjadi mangsa taktik politik identiti semasa Pilihan Raya Umum 2025 dan tidak memilih untuk menjadi terlibat. Ini serupa dengan apa yang berlaku kepada masyarakat Cina pada pilihan raya umum pada masa lalu.

Sebaliknya, pada GE2025, masyarakat Melayu/Islam kekal tenang meskipun terdapat percubaan untuk menyemarak sentimen kaum dan agama dalam masyarakat, kata Encik Shanmugam.

Berhujah lanjut, Encik Shanmugam berkata dasar pemerintah yang bersandar prinsip meritokrasi telah memberi manfaat kepada kaum minoriti dan pemerintah berpegang kepada komitmen asas yang tertera dalam Perlembagaan, antara lain iaitu untuk menyokong dan memperkasa masyarakat Melayu.

Mengamalkan politik identiti akan menghancurkan negara kata Encik Shanmugam, dengan kumpulan minoriti paling teruk terjejas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg