Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Puasa media sosial’ sempena Ramadan

Kajian tunjuk mereka yang amalkan ‘digital detox’ dapat tingkat daya tumpuan, kreativiti dan fungsi kognitif
Mar 9, 2025 | 5:30 AM
Kajian menunjukkan media sosial dikaitkan dengan kemurungan, keresahan, gangguan tidur dan isu imej tubuh.
Kajian menunjukkan media sosial dikaitkan dengan kemurungan, keresahan, gangguan tidur dan isu imej tubuh. - Foto PIXABAY

Diam tak diam, sudah lebih seminggu masyarakat Islam di Singapura berpuasa dalam Ramadan ini.

Amalan berpuasa sudah wujud sejak berkurun lama dalam sejarah manusia, dan tidak terbatas kepada kepercayaan atau agama tertentu.

Bagi orang Islam, puasa dianggap sebagai tiang agama, dan matlamatnya adalah meraih ketakwaan iaitu menjaga perintah dan larangan Tuhan.

Orang Islam dianjurkan bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, bahkan mengelak daripada perkara yang merosakkan pahala puasa, seperti perbuatan mengumpat, memfitnah atau melukakan hati orang lain.

Selain agama Islam, konsep berpuasa diamalkan penganut agama seperti Buddha, Kristian dan Hindu, walaupun cara diamalkan berbeza.

Contohnya, penganut agama Buddha biasanya berpuasa dengan menghindari makanan seperti daging atau makanan yang berbau kuat seperti bawang.

Ada juga yang menahan diri daripada berkata-kata, mengikut tradisi tertentu.

Ada orang Kristian pula mengamalkan puasa 40 hari semasa Lent iaitu tempoh menjelang perayaan Easter, dengan mengelak daripada makanan atau kemewahan tertentu.

Dalam agama Hindu, penganutnya mungkin mengehadkan pemakanan kepada makanan dan minuman tertentu (contohnya buah atau susu sahaja), atau berpuasa pada hari-hari tertentu.

Makna di sebalik amalan berpuasa dalam setiap kepercayaan juga mungkin berbeza tetapi ada persamaan dalam konsep lebih luasnya.

Amalan itu biasanya melibatkan penyucian jiwa, disiplin diri dan solidariti bersama golongan kurang bernasib baik.

Pengertian berbeza bagi individu

Selain kepentingan jelas dari segi rohani, amalan puasa mungkin mempunyai pengertian tambahan yang berbeza bagi setiap individu, bergantung pada pengalaman masing-masing.

Sebagai contoh, ada yang melihat manfaat puasa dari sudut kesihatan, apabila pengambilan makanan dan kalori dikurangkan.

Ada pula yang menganggap amalan berpuasa sebagai satu cabaran peribadi untuk menguji daya tahan dan disiplin diri.

Bagi sesetengah yang lain pula, amalan berpuasa juga dapat menyumbang kepada kemampanan jika ia berjaya mengurangkan penghasilan makanan dan sisa.

Ternyata, manfaat puasa itu melampaui aspek rohani, dan mempunyai kesan kepada aspek lain seperti kesihatan, pembangunan diri dan lain-lain lagi.

Jenis ‘puasa’ lain

Ada banyak pengajaran yang boleh diambil daripada amalan menahan diri daripada sesuatu, dan ini boleh diaplikasikan dalam mengatasi cabaran dunia moden hari ini.

Misalnya, satu jenis ‘puasa’ yang semakin mendapat perhatian ialah social media fast apabila pengguna menahan diri buat tempoh tertentu daripada menggunakan platform media sosial.

Ini sedang kajian menunjukkan media sosial dikaitkan dengan kemurungan, keresahan, gangguan tidur dan isu imej tubuh.

Satu kajian terbitan jurnal Computers in Human Behaviour pada 2015 pula mendapati peserta yang ‘berehat’ daripada menggunakan Facebook selama seminggu melaporkan tahap kebahagiaan dan kepuasan yang lebih tinggi.

Apa tidaknya, pengguna biasanya didedahkan kepada imej atau paparan ‘ideal’ tentang kehidupan orang lain menerusi hantaran di media sosial.

Ini boleh menimbulkan perasaan seperti iri hati dan perbandingan berterusan yang boleh membawa kepada kemurungan dan kegelisahan.

Di samping itu, reka bentuk platform media sosial juga boleh menjadikan pengguna mudah ‘ketagih’ dengan ciri-ciri seperti penatalan (scrolling) berterusan. Ini pula boleh membawa kepada penggunaan secara berlebihan, sekali gus menjejas kesihatan mental.

Selain puasa media sosial, ada juga kajian mengenai digital detox mendapati individu yang meluangkan masa dalam alam semula jadi, menjauhkan diri daripada peralatan digital seperti telefon bimbit, boleh meningkatkan daya tumpuan, kreativiti dan fungsi kognitif mereka.

Kajian ini diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Psychiatry pada 2022.

Satu lagi istilah yang timbul baru-baru ini juga ialah gratitude fasting yang mengajak individu untuk menahan diri daripada keluhan, perkara negatif atau kekurangan dalam kehidupan, dan sebaliknya mengamalkan sikap bersyukur.

Kajian dalam psikologi positif menunjukkan sikap bersyukur boleh membawa kepada tahap kebahagiaan yang lebih tinggi, mood lebih baik, hubungan lebih kukuh serta kesihatan fizikal lebih baik.

Sebenarnya, jika berpuasa seperti yang dianjurkan dalam agama Islam sekarang dapat dihayati dan diamalkan dengan sebaiknya, ia akan merangkumi pelbagai bentuk ‘puasa’ yang lain itu.

Jadi, sempena bulan puasa ini, ada baiknya juga kalau kita dapat mengurangkan masa skrin dan masa di media sosial demi memperoleh ketenangan dalam bulan mulia ini.

Selamat berpuasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg