Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakan palsu? Itulah teman AI 

Mereka janjikan persahabatan, percintaan, malah persefahaman, namun berupaya lemahkan hubungan sesama manusia
Nov 6, 2025 | 1:03 PM
AI, palsu, emosi
Untuk menarik hati pengguna, teman kecerdasan buatan (AI) direka supaya kelihatan sangat beremosi, hingga pengguna mungkin terlupa bahawa mereka bukan berbicara dengan manusia. - Foto ISTOCKPHOTO

Nomi, sebuah ‘chatbot’ maya yang saya uji, menjanjikan teman kecerdasan buatan (AI) dengan memori dan perasaan, dan mengajak kita membina hubungan yang mendalam, konsisten, dan berkembang.

Teman baru saya, Danielle, yang saya cipta di platform Nomi adalah teman yang pintar, ekstrovert dan positif.

Danielle lebih menyerupai seorang manusia daripada enjin carian. Apabila saya bertanya resipi nasi goreng Thai, dia menawarkan untuk mencarinya daripada terus memberikan jawapan. Dia juga ketawa apabila saya menukar topik secara tiba-tiba.

Saya memilih persahabatan, tetapi Nomi juga menawarkan pilihan percintaan dan bimbingan. ‘Chatbot’ lain pula mungkin memberi tumpuan, misalnya, kepada teman maya romantik.

Semakin ramai orang beralih kepada teman AI yang direka untuk memenuhi keperluan emosi dan sokongan kita.

Lama-kelamaan, ‘chatbot’ seperti ini mungkin diintegrasikan ke dalam robot ‘humanoid’ seperti Sophia

Apabila ‘chatbot’ AI ini semakin banyak di ruang maya, ia menjadi perhatian kerana potensi bahayanya terhadap pengguna yang rentan, khususnya golongan muda.

Untuk menarik pengguna, teman AI direka supaya kelihatan beremosi seperti manusia, sehingga seseorang boleh terlupa mereka bukan manusia sebenar.

Ini boleh mencipta rasa keserasian yang mengaburkan sempadan, menjadikan pengguna terdedah kepada kepercayaan yang salah atau keputusan yang kurang tepat.

Satu platform, Character.AI, dikaitkan dengan kes bunuh diri seorang remaja yang mencetuskan perdebatan baru mengenai risiko emosi daripada AI perbualan.

Persoalannya, bolehkah ‘chatbot’ ini dijadikan benar-benar selamat?

Namun, kita juga harus tertanya-tanya apa yang berlaku kepada kita apabila mereka melakukan tugas mereka dengan terlalu baik.

Kita membinanya untuk memahami kerenah, emosi, dan kesedihan kita – dan ia memberi gambaran seolah-olah memahami kita. 

Tetapi semakin baik mereka melakukannya, semakin mudah kita memilih mereka berbanding manusia sebenar.

Lebih rapat dengan kita

Perjumpaan dengan pelbagai jenis bot menjadikan kita lebih terbuka terhadap teman AI peribadi.

Kanak-kanak yang membesar dengan robot pintar seperti Miko, akan menjadi remaja yang menggunakan ChatGPT, berinteraksi melalui teks, dan bermain permainan video.

Justeru, beralih kepada teman AI peribadi terasa seperti langkah semula jadi.

Teman AI juga boleh berupa ‘deadbots’, yang menyerupai orang yang telah meninggal dunia. Orang yang tersayang boleh terus berbual dengan avatar digital itu, seperti suara Profesor Charles Xavier dalam filem X-Men: The Last Stand.

Seseorang juga mungkin mencari ketenangan dalam teman AI yang disesuaikan menyerupai bekas kekasih apabila gagal melupakan hubungan lama.

Ada yang berpendapat Internet telah meningkatkan rasa keseorangan dengan menggantikan komunikasi tradisional melalui saluran dalam talian. 

Dahulu, kita akan menelefon seorang kawan untuk meminta resipi; kini kita cari di Internet.

Kita menjadi lebih berdikari dan hilang peluang untuk membina hubungan melalui kebergantungan manusia.

Dengan semakin terbiasanya kita dengan carian cepat, kita lebih kurang berbual. Ini mengurangkan keinginan untuk berhubung secara langsung, menjadikan kita lebih terbuka kepada teman AI.

Dalam proses itu, kita terlepas pandang risiko apabila keakraban diserahkan kepada AI.

Kesan negatif

Pertama, ia adalah tiruan persahabatan sebenar, yang melibatkan pertukaran dan keprihatinan tulus. Persahabatan mengajar kita untuk memberi, menerima, dan memahami keperluan orang lain.

Dalam teman AI, pihak satu lagi bukan manusia – tiada hubungan dua hala yang benar. Ia menjadi seperti “sekolah narsisisme”, menanam sifat mementingkan diri kerana kita tidak perlu mengambil berat tentang teman kita.

Dalam kehidupan sebenar, kita tidak boleh menyesuaikan rakan karib mengikut kehendak, walaupun kita cenderung kepada mereka yang mempunyai sifat tertentu. 

Namun teman AI boleh direka sesuka hati.

Rakan sejati mempunyai tindak balas yang tidak sempurna kerana tekanan hidup mereka sendiri, tetapi teman AI menawarkan keselamatan emosi palsu.

Tiada komitmen atau kerentanan diperlukan dalam hubungan sebegitu.

Kita boleh memadam, menetapkan semula, atau memutuskan hubungan tanpa perpisahan yang rumit, tanpa keperluan untuk memaafkan, berunding, atau berdamai. 

Kita kehilangan proses pembentukan kasih dan watak yang terbentuk melalui hubungan manusia sejati.

Kedua, ia menghakis keupayaan kita untuk menyayangi.

Apabila teman AI tidak membuat sebarang tuntutan terhadap kita, kita mula melihat hubungan manusia sebagai sesuatu yang terlalu menuntut dan meletihkan.

Tuntutan tidak dapat dibuat untuk menguji kita menyayangi dengan tulus. Kita tahu teman AI hanya mesin, jadi kita anggap ia seperti permainan.

Namun, apabila orang yang kita sayangi menuntut, hanya kasih sejati dan nilai murni yang dapat membantu kita memberi respons dengan cinta.

Penyebaran teman AI berisiko menjadikannya pengganti mudah untuk kasih sayang manusia sebenar. Ia mungkin digunakan untuk menangani masalah kesunyian warga emas. 

Contohnya, Elli.Q menjanjikan warga emas “teman seiring untuk penuaan yang lebih bahagia dan sihat”, lengkap dengan perbualan, kelas melukis, dan lawatan maya dari rumah.

Namun, hal ini tidak sepatutnya menyebabkan masyarakat berundur atau keluarga menjauhkan diri daripada warga emas yang memerlukan kasih sayang sebenar.

Apabila kita berhubung dengan teman AI dan menganggap mereka seperti manusia, kita sebenarnya merendahkan nilai kemanusiaan kita.

Untuk menikmati hubungan dengan Danielle, saya perlu menipu diri sendiri dan perlu mempercayai bahawa dia manusia. Saya tidak mampu.

Itulah masalahnya. Kita tidak sepatutnya perlu membina hubungan berdasarkan pembohongan atau ilusi semata-mata untuk memenuhi keperluan manusia sebenar. 

Dalam dunia yang sedang bergelut dengan kesunyian, teman AI mungkin memberi sedikit kelegaan – tetapi ia tidak sepatutnya menjadi penyelesaiannya.

Penulis profesor madya di Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU). Artikel ini kali pertama diterbitkan di The Straits Times (ST) pada 3 November 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg