Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah terbuka dan rumah-rumah lainnya

Terdapat pelbagai makna dan istilah berkaitan rumah dalam konteks bahasa
Apr 6, 2025 | 5:30 AM
Rumah terbuka tidak semestinya berkaitan rumah. Istana juga mengadakan ‘rumah terbuka’, seperti semasa perayaan Deepavali, pada 20 Oktober 2024.
Rumah terbuka tidak semestinya berkaitan rumah. Istana juga mengadakan ‘rumah terbuka’, seperti semasa perayaan Deepavali, pada 20 Oktober 2024. - Foto fail

Perayaan Aidilfitri masih hangat walau sudah masuk 7 Syawal.

Hangat kerana Sabtu dan Ahad ini merupakan hujung minggu pertama Syawal, dengan ramai menyambung sambutan – ziarah menziarah, kunjung mengunjung.

Sudah lazim pada Hari Raya, semua rumah terbuka, terutama yang ada orang tua, untuk dikunjungi sanak saudara.

Rumah terbuka tidak terbatas pada Hari Raya pertama sahaja.

Ramai juga yang menetapkan tarikh tertentu mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal untuk dikunjungi.

Rumah terbuka adalah istilah yang menggambarkan rumah yang dapat dikunjungi oleh saudara-mara, sahabat handai dan kenalan, pada hari tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri, dengan tuan rumah biasanya menyediakan jamuan rumah dan beramah-tamah.

Namun rumah terbuka tidak terbatas pada Hari Raya.

Sebilangan orang juga mengadakan rumah terbuka setelah berpindah ke rumah baru.

Ada juga, sebagai sebahagian daripada proses menjual rumah, mengadakan rumah terbuka, membolehkan potensi pelanggan melihat-lihat dalam pertimbangan proses pembelian.

Dan rumah terbuka tidak terbatas pada ‘rumah’ sahaja.

Pada hari tertentu, Istana juga mengadakan rumah terbuka, membolehkan rakyat berada dan bersantai di pekarangan Istana sempena menyambut Hari Kebangsaan atau perayaan kaum di sini.

Malah, rumah terbuka juga diadakan oleh syarikat yang membuka restoran atau pejabat baru.

PELBAGAI RUMAH

Rumah adalah antara keperluan, kediaman asas setiap masyarakat.

Bagi penduduk Singapura, rumah sangat berharga.

Selain tempat tinggal, ia adalah aset, pelaburan berharga.

Bergantung pada saiz dan lokasi, ada rumah atau flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) cecah jutaan dolar.

Namun dalam perbendaharaan bahasa Melayu, rumah lebih daripada setakat tempat kediaman.

Perkataan rumah, terutama jika dipadankan dengan perkataan lain, memberi pelbagai gambaran lain.

Rumah pangsa adalah rumah bertingkat-tingkat dan berpetak-petak.

Di Singapura, ia kini lebih lazim disebut flat.

Rumah ibadat misalnya menggambarkan tempat beribadat – masjid, gereja, kuil dan sebagainya.

Rumah Allah pula adalah bangunan khas tempat umat Islam mengerjakan solat dan ibadah – boleh merujuk kepada masjid, surau dan Kaabah.

Rumah berhala ialah kuil rumah tempat memuja berhala.

Rumah sakit adalah bangunan yang menempatkan dan merawat pesakit, yang kita lebih lazim disebut hospital.

Rumah makan adalah kedai tempat makan – kini biasa disebut kedai kopi atau restoran.

Rumah api adalah bangunan atau menara api yang menjadi panduan kapal.

Rumah pasang siap ialah rumah yang dibina dengan beberapa bahagiannya telah tersedia untuk dipasang dan disiapkan di tapak binaan.

Rumah pasung adalah balai polis; boleh juga bermakna rumah tempat menahan orang salah.

Rumah mayat adalah tempat menyimpan mayat.

Rumah tangga adalah perihal rumah dan kehidupan dalam rumah, rumah dengan ada keluarga berdiam; sudah berumah tangga bermakna sudah berkahwin atau berkeluarga.

Orang rumah bermakna isteri. Ia boleh juga bermakna orang yang tinggal bersama-sama di rumah, keluarga di rumah.

Seisi rumah ialah seluruh rumah atau tinggal dalam satu rumah.

Rumah persatuan ialah tempat yang menjadi pusat atau markas pergerakan persatuan.

Rumah gadai atau rumah pajak adalah rumah atau kedai menggadaikan barang-barang;

Rumah kedai rumah berserta kedai.

Rumah haram adalah rumah yang didirikan tanpa kebenaran pihak berkuasa, ada kala disebut rumah setinggan.

Rumah penginapan ialah tempat bermalam, termasuk hotel dan motel.

Rumah hijau ialah struktur, biasanya dengan dinding dan bumbung lutsinar (diperbuat daripada kaca atau plastik), digunakan untuk menanam tumbuhan dalam persekitaran terkawal, membolehkan penanaman sepanjang tahun dan perlindungan daripada cuaca buruk.

Serupa dengannya ialah rumah kaca adalah bangunan khas yang bumbung dan dindingnya daripada kaca, digunakan untuk melindungi tanaman tertentu dalam keadaan yang terkawal.

Rumah panjang adalah rumah kediaman orang Iban, Bidayuh dan sebagainya di Borneo.

Rumah tumpangan ialah rumah tempat menginap atau tempat menumpang bagi orang tua, anak yatim dan golongan yang memerlukan bantuan.

Rumah murah adalah rumah dengan harga rendah, dibangunkan oleh pemerintah dan dijual kepada golongan berpendapatan rendah.

Rumah jaga adalah pondok tempat berkawal bagi pengawal berteduh.

Rumah judi tempat berjudi.

Rumah butang ialah lubang tempat memasukkan butang (buah kancing) baju;

Dalam konteks di sekolah, rumah ialah kumpulan sukan yang mengkelaskan pelajar dalam beberapa kumpulan olahraga.

Dalam matematik, rumah adalah angka bahagian dalam susunan angka, ruang atau kolum.

Rumah bola adalah tempat masuk bola dalam permainan seperti billiard.

Rumah asap adalah bangunan atau tempat khas untuk mengeringkan atau mengawet sesuatu (seperti getah, tembakau, ikan dan sebagainya) dengan mengasapinya.

Rumah anak yatim atau rumah piatu ialah bangunan yang menempatkan anak-anak yatim piatu.

Rumah sembelih ialah tempat menyembelih (lembu, kambing, ayam dan sebagainya).

Rumah Putih ialah nama bangunan tempat kediaman Presiden Amerika Syarikat.

Rumah pelacuran adalah tempat melacur.

Rumah urut – tempat yang menyediakan khidmat urut.

BEBERAPA ISTILAH

Rumahku syurgaku menggambarkan rumah yang membawa kebahagiaan.

Rumah kata pergi, kubur kata mari menggambar usia tua dan berada di hujung penghidupan.

Rumah bandar adalah rumah bertingkat yang sama bentuknya dan dibina bercantum dalam satu deretan, biasanya setiap tingkat merupakan satu unit rumah;

Rumah teres adalah beberapa rumah yang dibina sederet.

Rumah sebandung atau rumah kembar adalah rumah dua serangkai, disebut rumah semi-D.

Rumah batu adalah rumah berdinding batu-bata; rumah kayu ialah rumah berdinding kayu.

Rumah kampung ialah rumah di kampung, umumnya diperbuat daripada kayu dan berlantai tinggi.

Rumah panggung ialah rumah yang tinggi lantainya.

Ibu rumah ialah bahagian utama rumah.

Anjung rumah adalah bahagian depan rumah.

Rumah tengah adalah bahagian tengah rumah.

Elaun rumah adalah elaun yang diberi kepada pegawai untuk keperluan kediaman.

Rumah sewa ialah rumah yang disewakan.

Perkakas rumah ialah bahan yang ada dalam rumah seperti keperluan dapur dan perabot.

PERIBAHASA

Rumah buruk disapu cat menggambarkan orang tua yang suka bersolek.

Rumah gedang ketirisan adalah perihal seorang perempuan yang kurang membawa bahagia kepada suami.

Rumah gedang bersendi perak menggambarkan orang-orang bangsawan lagi kaya.

Rumah sudah siap, tukul/pahat masih berbunyi, menggambarkan perkara yang sudah selesai tetapi masih menjadi cakapan.

Dalam rumah membuat rumah bermakna mencari keuntungan untuk diri sendiri ketika bekerja dengan orang lain.

Memperlihatkan rumah buruk kepada orang maling bermakna mempertontonkan rahsia sendiri kepada orang.

Tiada berorang di rumah adalah perihal seorang perempuan yang belum pernah bersuami tetapi bukan gadis lagi.

Rumah terbuka tidak terbatas pada Hari Raya pertama sahaja. Ramai juga yang menetapkan tarikh tertentu mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal untuk dikunjungi. Rumah terbuka adalah istilah yang menggambarkan rumah yang dapat dikunjungi oleh saudara-mara, sahabat handai dan kenalan, pada hari tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri, dengan tuan rumah biasanya menyediakan jamuan rumah dan beramah-tamah. Namun rumah terbuka tidak terbatas pada Hari Raya.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg