Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menerbitkan laporan berkaitan trend isi rumah berpendapatan rendah.

Laporan tersebut mendedahkan beberapa statistik yang perlu kita renungkan bersama.

Satu perangkaan yang agak menonjol ialah sejumlah 54 peratus isi rumah yang berhenti menerima Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana (SMTA) ComCare pada 2022 telah kembali meminta bantuan dalam tempoh tiga tahun selepas keluar daripada program bantuan tersebut.

Kadar ini menunjukkan satu peningkatan berbanding 49 peratus bagi kohort tahun sebelumnya. 

Pada masa sama, laporan MSF itu menunjukkan bahawa pekerjaan yang stabil adalah kunci utama untuk kekal bebas daripada bantuan.

Fakta ini sangat penting.

Dalam kalangan keluarga yang berjaya kekal berdikari dan tidak kembali kepada ComCare, ramai antara mereka mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga yang mempunyai pekerjaan stabil.

Pekerjaan stabil di sini bermaksud mereka berjaya bekerja selama sekurang-kurangnya enam bulan berturut-turut.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ini membuktikan bahawa keluarga berpendapatan rendah memang mempunyai kemahuan tinggi untuk bekerja keras.

Mereka rajin mencari pendapatan sendiri.

Apa yang mereka perlukan hanyalah peluang pekerjaan lebih terjamin, sokongan berterusan, dan keadaan persekitaran yang mengizinkan mereka untuk kekal dalam alam pekerjaan.

Jika dilihat sekali imbas, angka ini mungkin mengejutkan sesetengah pihak dan menimbulkan pelbagai persoalan.

Malah, perbualan di ruang komen media sosial akhbar ini, sejurus selepas laporan mengenai cabaran beberapa penerima zakat diterbitkan baru-baru ini, menunjukkan ada yang kurang memahami dan lebih ramai lagi yang kurang mahu mengambil tahu sebelum dengan pantas mengadili seseorang. 

Antara soalan tersebut ialah mengapa isi rumah sedemikian gagal berdikari secara berkekalan dan sama ada mereka memiliki tekad untuk benar-benar keluar daripada kitaran kesusahan itu.

Tiada jawapan mudah bagi soalan tersebut.

Pemeriksaan akhbar ini berdasarkan bukti anekdot dan wawancara dengan isi rumah yang sukar untuk keluar daripada kitaran kesusahan ini mencadangkan kita tidak seharusnya bersangka buruk dan melabel mereka sebagai golongan malas bekerja.

Realiti kehidupan mereka jauh lebih rumit daripada apa yang kita lihat atau andaikan.

Sebahagian keluarga ini sebenarnya sudah cukup bersedia dan bersemangat untuk berdikari ketika mereka meninggalkan skim bantuan seperti ComCare, misalnya. 

Malangnya, ujian hidup ada kalanya datang tanpa diduga.

Ada ketua keluarga yang tiba-tiba jatuh sakit dan kehilangan upaya fizikal.

Ada juga ahli keluarga yang terpaksa berhenti kerja secara mengejut kerana perlu menjaga keluarga yang terlantar sakit atau menguruskan anak kecil di rumah.

Kekangan kesihatan dan tanggungjawab penjagaan ini adalah tembok penghalang utama yang menyukarkan mereka untuk terus bekerja secara konsisten.

Pada masa sama, dalam kalangan kisah sedemikian, ada juga yang berjaya melawan arus untuk bangkit. 

Antaranya ialah Encik Nabill Shukry Johary, 29 tahun, pengasas jenama daging dan ayam beku siap dimasak, Cheekies yang membina perniagaannya daripada flat sewa di Tampines.

Beliau, yang diberi anugerah Jauhari Harapan bagi 2026 oleh akhbar ini, bukan sahaja telah membina perniagaan di sini, malah telah membuat rancangan untuk menyerantau ke Malaysia.

Lebih mengagumkan, Encik Nabill kini mengendalikan bengkel percuma untuk berkongsi pengalamannya dan telah mengadakan dermasiswa khas untuk membantu pelajar Politeknik Republic, tempat beliau menuntut pada satu masa dahulu.

Namun hakikatnya, Encik Nabill dan keluarganya hanya contoh segelintir sahaja orang yang bangkit dan keluar daripada kitaran kesusahan.

Realitinya, sebagaimana yang dipaparkan melalui statistik MSF ini, adalah sebahagian besar daripada golongan yang memerlukan bantuan gagal membina kehidupan sehingga dapat berdikari.

Dalam hal ini, kita harus berasa lega kerana ada skim bantuan seperti ComCare yang terus wujud dan berfungsi sebagai jaring keselamatan sosial yang sangat penting.

Data MSF menunjukkan bahawa jumlah keluarga yang menerima bantuan SMTA telah menurun kepada 19,473 pada 2025 berbanding 20,825 pada 2024.

Namun, walaupun bilangan keluarga yang menerima bantuan semakin berkurangan, jumlah keseluruhan wang yang diagihkan telah meningkat, kepada $95.8 juta daripada $94 juta bagi tempoh sama, memastikan keluarga ini mampu menampung kos keperluan harian asas mereka dengan lebih selesa.

Inisiatif seperti program ComLink+ pula memainkan peranan penting kerana ia menunjukkan komitmen untuk memecahkan rantaian kemiskinan sepenuhnya dengan kesedaran pemberian wang sahaja tidak memadai – cabaran yang dihadapi keluarga sedemikian perlu didekati secara menyeluruh dan melebihi pemberian bantuan wang. 

Melalui ComLink+, setiap keluarga didekati dan dibantu secara khusus mengikut masalah unik mereka.

Pekerja sosial dan sukarelawan duduk bersama keluarga untuk memahami cabaran sebenar yang dihadapi.

Mereka membantu mencari jalan penyelesaian untuk penjagaan anak, menawarkan latihan peningkatan kemahiran kerja, serta memastikan anak-anak mendapat akses pendidikan prasekolah.

Laporan menunjukkan perkembangan yang sangat positif hasil inisiatif ini.

Lebih banyak keluarga ComLink+ kini semakin stabil, menunjukkan mobiliti sosial yang baik dan mempunyai pendapatan lebih terjamin.

Walaupun statistik terbaharu memaparkan peningkatan kadar keluarga yang kembali kepada skim ComCare, kita tidak patut melihatnya sebagai satu kegagalan. 

Sebaliknya, ia adalah bukti bahawa sistem sokongan sosial kita berkesan dalam menyambut mereka ketika mereka jatuh.

Perjalanan untuk bangkit mungkin berliku-liku, dan mereka mungkin jatuh beberapa kali lagi sebelum dapat bangkit secara berkekalan.

Namun dengan berbekal peluang kerjaya yang adil, sokongan dasar yang mantap, dan ihsan masyarakat yang berterusan, lebih banyak keluarga akan berjaya melangkah keluar daripada bayangan kemiskinan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti