Di sekitar kawasan Monumen Bundaran HI di pusat kota Jakarta, Indonesia yang sibuk, terpampang wajah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada beberapa papan iklan digital.
Gambar Encik Wong pada papan iklan digital saiz gergasi di beberapa muka bangunan itu mengumumkan kehadiran Perdana Menteri Singapura ke Indonesia kepada orang ramai bagi rangka lawatan pengenalannya dari 5 hingga 6 November – satu sambutan kunjungan yang meriah dan mesra.
Ia merupakan tempat yang sesuai lagi mengalu-alukan. Monumen Bundaran HI juga dikenali sebagai Monumen Selamat Datang, sebuah mercu tanda bersejarah di Jakarta.
Lawatan Encik Wong ke Jakarta itu mempunyai kepentingan besar. Ini kali pertama beliau dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, sama-sama bertemu dalam jawatan sebagai pemimpin baru di negara masing-masing.
Encik Wong menjadi Perdana Menteri Singapura setelah Encik Lee Hsien Loong menyerahkan tampuk pimpinan kepada beliau pada 15 Mei, manakala Encik Prabowo pula mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober, mengambil alih daripada Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Lebih istimewa, Encik Wong merupakan tetamu luar negara rasmi pertama Indonesia selepas Encik Prabowo menjadi Presiden – menandakan semangat kuat Singapura dan Indonesia mahu meneruskan dan memperkukuh jalinan ikatan dan persahabatan akrab yang sudah lama terjalin antara dua jiran terdekat itu.
Encik Wong dan Encik Prabowo sudah saling mengenali satu sama lain dan pada tahun ini sahaja, telah bertemu sebanyak tiga kali sebelum lawatan pengenalan Encik Wong itu.
Kali pertama mereka bertemu adalah di Bogor, Indonesia, pada April semasa Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia antara Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee, dan Presiden Indonesia semasa itu, Encik Jokowi.
Kali kedua ketika Encik Prabowo datang ke Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La pada Jun, dan kali ketiga apabila Encik Wong berkunjung ke Jakarta pada 20-21 Oktober untuk menghadiri upacara angkat sumpah jawatan Encik Prabowo sebagai Presiden.
Di bawah kepimpinan terdahulu, hubungan dua hala Singapura dan Indonesia telah berkembang maju dan kukuh dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pertahanan, perdagangan dan pelaburan, kerjasama kewangan dan penjagaan kesihatan.
Bahkan, kedua-dua negara juga berjaya mencari dan mencapai jalan penyelesaian bagi tiga isu berpanjangan berhubung pengurusan ruang udara, kerjasama pertahanan dan ekstradisi.
Kini, pemimpin baru Singapura dan Indonesia itu bersedia membawa hubungan dua hala itu ke tahap selanjutnya.
Dengan asas kukuh yang telah dibina pemimpin terdahulu, Encik Wong dan Encik Prabowo sebagai pemimpin baru kini mengorak langkah dalam mempertingkat hubungan dua hala antara Singapura dengan Indonesia dengan memperkukuh kerjasama dalam bidang yang disebutkan di atas dan bahkan akan meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang baru.
Ini seperti dinyatakan Encik Wong dalam sidang media bersama Encik Prabowo di Istana Merdeka, Jakarta semasa lawatan pengenalannya itu:
“Sebagai pemimpin baru kini, kedua-dua kami dapat menulis lembaran baru dalam hubungan dua hala kita dan membawa hubungan ini ke tahap yang lebih tinggi.”
Antara bidang kerjasama baru yang akan diterokai kedua-dua negara tersebut adalah dalam jaminan makanan, dengan Singapura boleh berkongsi kepakaran dalam teknologi makanan, terutama yang berkaitan dengan pertanian bandar dan cara menjadikan tanaman lebih berdaya tahan dan produktif.
Dalam bidang jaminan tenaga pula, Encik Wong dan Encik Prabowo telah membincangkan cara mengusahakan perdagangan elektrik rentas sempadan bagi tenaga boleh diperbaharui, serta projek penangkapan dan penyimpanan karbon.
Namun, bukan hanya dalam bidang seperti ekonomi, pertahanan dan pelaburan sahaja yang ingin Singapura dan Indonesia perkukuh.
Kedua-dua Encik Wong dan Encik Prabowo juga berharap lebih banyak peluang bagi rakyat kedua-dua negara berinteraksi dapat diwujudkan untuk mengeratkan lagi pertalian.
Hubungan dua hala yang erat dan kukuh antara Singapura dengan Indonesia akan membawa pelbagai manfaat bukan hanya kepada kedua-dua negara itu, malah rantau Asean, dalam pelbagai bidang – seperti kestabilan, keselamatan dan keamanan, ekonomi, dan kemampanan.
Ia juga akan dapat membantu membina sebuah Asean yang lebih kuat dan bersatu padu dalam mengharungi cabaran global bersama, terutama di tengah-tengah dunia yang sedang bergelut dengan ketegangan geopolitik.
Secara positif, kedua-dua Singapura dan Indonesia juga berkongsi perspektif strategik yang serupa mengenai dunia, dengan dua negara itu “mahu menjadi rakan kepada semua”, kata Encik Wong di sidang media bersama.
Hubungan Singapura-Indonesia di bawah kepimpinan baru Encik Wong dan Encik Prabowo setakat ini masih di peringkat awal, namun mereka memiliki azam kuat mahu mengembangkan hubungan mereka maju lebih jauh.
Bahkan, dua negara itu telah menunjukkan kesediaan dan keghairahan untuk saling bekerjasama dan mengeratkan lagi pertalian yang sudah lama terjalin.
Dengan kepimpinan baru di negara masing-masing, lembaran baru hubungan Singapura dan Indonesia diharapkan bukan hanya dapat menyaksikan dua negara itu terus berganding bahu untuk mencapai hasil positif yang diinginkan dalam pelbagai kerjasama, bahkan mencapai satu tahap kecemerlangan luar biasa yang membawa perdamaian, kestabilan dan kemakmuran kepada Singapura, Indonesia dan juga Asean.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg