SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Sumbangan tasawuf dalam pembinaan masyarakat harmoni di Singapura

Sumbangan tasawuf dalam pembinaan masyarakat harmoni di Singapura

Tasawuf tawar model pembaharuan sosial berakar pada transformasi hati; nilai tercermin melalui institusi pembangunan masyarakat, inisiatif komuniti
Apr 10, 2026 | 5:30 AM

Sumbangan tasawuf dalam pembinaan masyarakat harmoni di Singapura

Tulisan ini menawarkan gagasan bahawa tasawuf merupakan kerangka kerohanian yang relevan dan amali dalam menangani krisis sosial kontemporari, khususnya yang melibatkan institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

Berasaskan pandangan Islam tentang insan yang merangkumi nafs (diri rendah), qalb (hati) dan roh, tasawuf dilihat sebagai disiplin transformasi batin yang menjadi prasyarat kepada pembaharuan sosial yang lestari.

Ia bukan amalan mistik yang terpisah daripada realiti, tetapi “sains pembentukan moral” yang membentuk kesedaran diri, pengawalan nafsu dan pembinaan akhlak.

Tasawuf dan Perubahan Sosial

Al-Quran menegaskan perubahan sosial bermula daripada perubahan dalaman insan.

Keruntuhan moral individu sering terpancar dalam bentuk keretakan sosial seperti konflik keluarga, ketidakadilan dan perpecahan masyarakat.

Justeru, tasawuf meletakkan penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs) sebagai asas kepada kehidupan beretika dan keharmonian masyarakat.

Dalam tradisi klasik, tokoh seperti al-Ghazali Ibn al-Qayyim, menekankan keseimbangan antara nafs, qalb dengan roh sebagai asas kesihatan moral.

Apabila dimensi dalaman itu terganggu, lahirlah ketidakseimbangan sosial.

Oleh itu, tasawuf berperanan sebagai jambatan antara kerohanian individu dengan kesejahteraan kolektif.

Tulisan ini menghuraikan tiga konsep teras tasawuf iaitu mujahadah, muraqabah dan mahabbah, sebagai asas pembentukan insan dan pembinaan masyarakat.

Mujahadah: Disiplin Diri dan Ketahanan Moral

Mujahadah merujuk kepada perjuangan rohani menentang kecenderungan negatif seperti kemarahan, ketamakan dan kesombongan.

Ia bukan penafian fitrah manusia, tetapi proses mendisiplinkan nafs agar selaras dengan nilai etika dan kesedaran terhadap Allah.

Pada peringkat individu, mujahadah membina kesabaran, kawalan emosi dan keupayaan merenung diri.

Dalam konteks keluarga, sifat itu amat penting untuk mengurus tekanan ekonomi, konflik peranan dan perbezaan emosi.

Banyak masalah rumah tangga berpunca daripada reaksi nekad dan terburu-buru dan kegagalan mengawal diri.

Tasawuf menyediakan latihan rohani seperti puasa, muhasabah dan penjagaan tutur kata untuk membentuk daya ketahanan moral.

Pada peringkat sosial, masyarakat yang anggotanya terlatih mengawal ego lebih mampu mengelakkan penyalahgunaan kuasa, keganasan dan eksploitasi.

Mujahadah menjadi asas kepada pembentukan warga yang bertanggungjawab dan berwibawa.

Muraqabah: Kesedaran Ilahi dan Integriti

Muraqabah merujuk kepada kesedaran berterusan bahawa Allah sentiasa memerhati.

Konsep ini berakar pada prinsip takwa dan ihsan.

Ia menumbuhkan tanggungjawab moral sehingga seseorang beretika bukan kerana pengawasan luaran, tetapi kerana kesedaran batin.

Dalam banyak krisis sosial seperti keganasan rumah tangga tersembunyi atau kecurangan, pengawasan luaran sering tidak mencukupi.

Muraqabah berfungsi sebagai kompas etika dalaman.

Dalam keluarga, ia memupuk amanah, kepercayaan dan rasa tanggungjawab terhadap pasangan dan anak-anak.

Pada peringkat masyarakat, muraqabah mengurangkan jurang antara retorik dengan amalan.

Ia membentuk budaya keikhlasan, ketelusan dan kepimpinan beretika yang merupakan unsur penting bagi kestabilan sosial.

Mahabbah: Cinta sebagai Asas Etika Sosial

Mahabbah, atau cinta kepada Allah, merupakan tenaga penggerak etika tasawuf.

Sifat ini melahirkan belas kasihan, empati dan kerendahan hati terhadap sesama manusia.

Ia melampaui etika legalistik yang hanya menekankan hak dan kewajiban minimum.

Dalam keluarga, mahabbah memungkinkan kemaafan dan pendamaian.

Ia mengangkat perkahwinan daripada sekadar kontrak sosial kepada amanah kerohanian.

Pada peringkat sosial, mahabbah menentang individualisme melampau dan konsumerisme, dengan menegaskan perpaduan dan tanggungjawab bersama.

Gabungan mujahadah, muraqabah dan mahabbah membentuk model perubahan sosial dari bawah ke atas – disiplin diri menghasilkan integriti; kesedaran terhadap Allah membentuk kebertanggungjawaban; dan cinta melahirkan hubungan yang berempati.

Konteks Melayu Singapura

Dalam sejarah pasca-1965, apa yang disebut sebagai ‘masalah Melayu’ sering dibingkai sebagai isu pembangunan sosioekonomi seperti pendidikan rendah, pendapatan terhad dan pergerakan sosial yang perlahan.

Pendekatan negara menekankan pendidikan, latihan dan pembentukan sikap sebagai mekanisme pembaikan.

Namun pembingkaian defisit itu turut memberi kesan psikologi dan identiti kepada masyarakat Melayu.

Stigma sosial boleh melemahkan harga diri kolektif.

Dalam konteks ini, Islam berfungsi sebagai modal moral yang memulihkan makna dan maruah.

Penubuhan institusi seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 1968; dan Yayasan Mendaki pada 1982 mencerminkan usaha pembaikan dalaman masyarakat.

Turut berperanan adalah pertubuhan Islam seperti Jamiyah, Muhammadiyah, Pertapis, PPIS, AMP Singapura dan lain-lain, sebagai wadah pembangunan sosial dan pemikiran strategik.

Walaupun program itu tidak dijenamakan secara eksplisit sebagai tasawuf, nilainya sejajar dengan prinsip mujahadah (usaha berdisiplin meningkatkan pendidikan dan ekonomi); muraqabah (tadbir urus berintegriti dan amanah); serta mahabbah (khidmat kepada keluarga rentan dan belia berisiko).

Pendidikan Madrasah dan Kolej Pengajian Islam

Kewujudan enam madrasah sepenuh masa di Singapura mencerminkan usaha menyatukan ilmu agama dan sekular.

Antaranya adalah Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

Diharapkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan ditubuhkan akan menerap dan memakmurkan pendekatan tasawuf seperti mujahadah, muraqabah dan mahabbah dalam kurikulum dan pentadbirannya.

Model pendidikan bersepadu ini membuktikan pembinaan rohani dan kecemerlangan akademik boleh berjalan seiring.

Ia mencerminkan pendekatan tasawuf yang menolak dualisme antara dunia dengan akhirat.

Inisiatif Komuniti dan Warisan Sufi

Di peringkat akar umbi, pelbagai program keluarga, kaunseling dan pemulihan sosial dianjurkan pihak masjid serta jawatankuasa kariah memperlihatkan terapan nilai tasawuf secara amali.

Kaunseling berasas muhasabah, sokongan masyarakat dan pemulihan maruah insan mencerminkan etika mahabbah dan ta‘awun (tolong-menolong).

Selain itu, terdapat kumpulan dan pusat kerohanian yang mengekalkan tradisi tasawuf seperti Khanqah Khairiyyah dan Khanqah Ehsaniyyah, di samping warisan sejarah seperti Nagore Dargah.

Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pembangunan sosial secara formal, peranan mereka dalam menyuburkan kesedaran rohani tetap signifikan.

Renungan Kritikal

Tasawuf bukan pengganti reformasi struktural. Ketidakadilan sistemik dan kemiskinan memerlukan campur tangan dasar dan ekonomi.

Namun tasawuf melengkapi usaha tersebut dengan membentuk agen moral yang mampu menghidupkan struktur secara beretika.

Tanpa transformasi batin, reformasi luaran mudah menjadi mekanistik atau hipokrit.

Dari sudut pembangunan ilmu yang bermanfaat, pendekatan ini menyumbang kepada wacana antara disiplin dalam psikologi Islam, sosiologi moral dan kerja sosial berasas keimanan.

Ia mencabar stereotaip bahawa tasawuf bersifat pasif atau lari daripada realiti, sebaliknya menegaskannya sebagai sumber pemikiran dan tindakan sosial yang relevan.

Kesimpulan

Tasawuf menawarkan model pembaharuan sosial yang berakar pada transformasi hati.

Melalui mujahadah, individu membina disiplin dan ketahanan moral; melalui muraqabah, mereka mengamalkan tanggungjawab; melalui mahabbah, mereka menghidupkan hubungan dengan empati dan kasih.

Dalam konteks Singapura, nilai itu tercermin dalam pendidikan madrasah, institusi pembangunan masyarakat dan inisiatif komuniti.

Walaupun tidak semua program dilabel sebagai tasawuf, semangatnya selaras dengan prinsip penyucian jiwa dan pembinaan akhlak.

Akhirnya, keharmonian sosial tidak dapat dicapai tanpa keseimbangan batin.

Apabila hati diperbetulkan melalui niat yang ikhlas dan akhlak yang terpuji, keluarga menjadi stabil, komuniti menjadi saling menyokong, dan masyarakat bergerak ke arah keadilan serta kedamaian yang lebih menyeluruh.

Tasawuf, dengan itu, bukan sekadar warisan kerohanian, malah, landasan moral bagi pembangunan sosial yang berdaya tahan dan bermakna.

Penulis telah menghasilkan 12 novel, tiga kumpulan puisi, sekumpulan cerpen, sebuah buku mengenai puisi Melayu Singapura, sekumpulan skrip teater dan lirik bagi tiga album lagu. Novelnya telah diterjemah ke bahasa Inggeris, Turkey, Urdu, Arab, Bahasa Indonesia, Jawi, Russia, Perancis, Sepanyol dan Mandarin. Buku esei mengenai puisi Melayu Singapura serta kumpulan puisi Munajat Sukma telah diterjemah ke bahasa Inggeris juga. Beliau meraih Anugerah Penulis Asia Tenggara (2006), Pingat Budaya Singapura (2007), Anugerah Tun Seri Lanang (2009) dan Anugerah Sastera Mastera (2018). Beliau sedang menjalani program Doktor Falsafah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Kajian beliau adalah mengenai masalah keterasingan dan penghayatan firasat dalam novel Melayu Singapura pilihan. Beliau juga mantan arkitek.

PERANAN TASAWUF DALAM PEMBANGUNAN SOSIAL

“Al-Quran menegaskan perubahan sosial bermula daripada perubahan dalaman insan. Keruntuhan moral individu sering terpancar dalam bentuk keretakan sosial seperti konflik keluarga, ketidakadilan dan perpecahan masyarakat. Justeru, tasawuf meletakkan penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs) sebagai asas kepada kehidupan beretika dan keharmonian masyarakat.”
TERAPAN NILAI TASAWUF SECARA AMALI

Di peringkat akar umbi, pelbagai program keluarga, kaunseling dan pemulihan sosial dianjurkan pihak masjid serta jawatankuasa kariah memperlihatkan terapan nilai tasawuf secara amali. Kaunseling berasas muhasabah, sokongan masyarakat dan pemulihan maruah insan mencerminkan etika mahabbah dan ta‘awun (tolong-menolong).
Penulis.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg