Seorang pekerja boleh melihat gaji mereka bertambah di akhir bulan jika mereka kerja lembur beberapa jam, tetapi malangnya, ada majikan yang mengambil kesempatan.
Kebanyakan pekerja yang bekerja lembur mendapat bayaran bagi jam tambahan bekerja, selagi kontrak mereka melayakkan mereka membuat tuntutan sedemikian.
Namun, sesetengah majikan enggan memberi bayaran apabila seorang kakitangan itu memilih bekerja lembur melebihi tempoh maksimum yang dibenarkan undang-undang iaitu 72 jam sebulan, lapor The Straits Times.
Seorang majikan yang cuba melakukan perkara itu telah ditangani di Mahkamah Tinggi baru-baru ini.
Dalam keputusan mercu tanda untuk mempertahankan hak pekerja, mahkamah memberitahu majikan pekerja yang terkilan itu supaya membayar kerja lembur yang dilakukan, walaupun ia melebihi had bulanan 72 jam.
Syarikat itu tidak menafikan meminta pekerja itu bekerja lembur di luar had undang-undang selama beberapa bulan.
Syarikat itu berhujah bahawa memandangkan undang-undang menetapkan had tuntutan kerja lembur masa kepada 72 jam sebulan, mereka tidak perlu membayar untuk kerja yang dilakukan melebihi waktu tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Goh Yihan mengarahkan syarikat itu membayar semua kerja tambahan yang dilakukan oleh kakitangannya, tanpa mengira had kerja lembur kerana undang-undang itu bertujuan melindungi pekerja, bukan majikan.
“Adalah secara terang-terangan tidak adil dan tidak mencerminkan tujuan perundangan (undang-undang) jika pekerja yang sebenarnya telah dipaksa bekerja lembur, kemudian diberitahu bahawa dia tidak boleh menuntut gaji lembur berkenaan. Ini tidak betul,” kata beliau.
Sebelum keputusan itu, hakim Tribunal Tuntutan Pekerjaan berpandangan bahawa pekerja sendiri juga harus bertanggungjawab atas pelanggaran had kerja tambahan dengan melepaskan gaji kerja lembur.
Namun Hakim Goh tidak bersetuju dengan perkara itu, sambil menyatakan bahawa undang-undang pekerjaan menyediakan perlindungan dan faedah tambahan untuk pekerja mudah terjejas yang terlibat dalam kerja buruh kasar atau yang dibayar gaji rendah seperti pekerja binaan asing atau kakitangan yang mendapat gaji mengikut setiap jam bekerja.
Lebih-lebih lagi, terdapat “ketidakseimbangan kuasa yang sangat praktikal” antara majikan dengan pekerja – kerana demi mengekalkan pekerjaan mereka atau kekal dilayani dengan baik oleh bos mereka, pekerja tidak berani mengatakan “tidak” kepada mereka, kata Hakim Goh.
Beliau menambah bahawa adalah tidak realistik untuk mengharapkan pekerja sedemikian cukup berani untuk menolak permintaan majikan mereka untuk bekerja melebihi had kerja lembur bulanan.
Memandangkan peraturan itu bertujuan melindungi pekerja, adalah tidak adil jika majikan menghendaki pekerja bekerja lembur, tetapi kemudian berselindung di sebalik undang-undang sama yang telah dilanggar majikan dengan sengaja supaya tidak membayar sebarang gaji kerja lembur melebihi had yang ditetapkan, kata Hakim Goh.
Semua majikan perlu mengambil perhatian terhadap tiga perkara yang dikemukakan oleh Hakim Goh berkenaan pembayaran kerja lembur.
WAKTU KERJA KONTRAK
Walaupun kes ini melibatkan seorang pekerja asing di syarikat pembinaan, ketetapan itu terpakai kepada semua pekerja yang kontraknya melayakkan mereka menuntut kerja lembur.
Pekerja ini sepatutnya bekerja lima setengah hari seminggu dan waktu biasa hari bekerja adalah dari 8 pagi hingga 5 petang, dengan satu jam untuk makan tengah hari.
Jadi apa-apa kerja di luar waktu biasa akan melayakkan beliau mendapat bayaran kerja lembur, sehingga maksimum 72 jam tambahan dalam sebulan.
Lelaki itu membuat kerja lembur selama 770 jam antara Februari dengan November 2021, mungkin disebabkan kekurangan tenaga kerja di tengah-tengah pandemik.
Pekerja itu mendakwa dihutang kira-kira $7,000 dalam gaji kerja lembur.
Tetapi majikannya tidak membuat bayaran dan mendakwa lelaki itu telah bekerja lembur melebihi tempoh yang ditetapkan undang-undang, iaitu 72 jam lembur dalam beberapa bulan, walaupun ini dilakukan atas permintaan firma itu.
Walaupun kontrak itu mempunyai klausa mengehadkan kerja lembur kepada 72 jam sebulan, mahkamah memutuskan bahawa ini tidak akan menghalang pekerja daripada menuntut sebarang jam tambahan.
Hakim Goh berkata walaupun pekerja itu mungkin mempunyai kewajipan untuk mematuhi syarat kerjanya, kewajipannya untuk mematuhi had kerja lembur telah “diketepikan” oleh majikan apabila ia memerlukannya melakukan kerja tambahan.
BUKAN LARANGAN MUTLAK
Tujuan utama bagi had kerja lembur itu adalah untuk memberi perlindungan kepada pekerja daripada kerja lembur yang membebankan.
Ia sememangnya tidak bertujuan menghindari pekerja daripada menuntut gaji lembur, kata Hakim Goh selepas melihat sejarah di sebalik penggubalan undang-undang itu.
Sekiranya syarikat memerlukan pekerjanya bekerja lebih daripada 72 jam kerja lembur sebulan, ia boleh memohon izin daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Pegawai akan mengambil kira keperluan operasi syarikat dan kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja untuk memastikan mereka tidak dikompromi sebelum sebarang kelulusan diberikan.
Pekerja sendiri juga mesti bersetuju untuk bekerja waktu tambahan itu.
Memandangkan undang-undang bertujuan melindungi pekerja, mereka tidak boleh dituduh melakukan kesalahan jika mereka diberitahu untuk bekerja melebihi had yang ditetapkan.
Jadi tafsiran undang-undang yang betul ialah ia tidak melarang pekerja daripada menuntut bayaran kerja lembur melebihi had.
“Membuat kesimpulan sebaliknya akan membolehkan majikan bersembunyi di sebalik (undang-undang) jika ia melebihi had kerja lembur, dan menafikan pekerja yang mudah terjejas daripada apa yang sepatutnya dibayar kepada mereka,” tambah Hakim Goh.
UNDANG-UNDANG KERJA LEMBUR BUKAN UNTUK MAJIKAN
Majikan sepatutnya memohon izin jika mereka ingin meminta pekerja bekerja lebih dari 72 jam kerja lembur sebulan, dan mereka tidak boleh menggunakan undang-undang ini untuk menangkis sebarang tuntutan oleh pekerja mereka.
Dalam kes ini, Hakim Goh mendapati majikan mengetahui tentang had kerja lembur dalam kontrak kerja tetapi masih memerlukan kakitangan itu bekerja melebihi tempoh itu.
Pekerja itu melakukan seperti yang diarahkan, tetapi apabila beliau meminta bayaran kerja lembur, majikannya “bersembunyi di sebalik had kerja lembur” dan enggan membayar.
Hakim Goh berkata beliau mendapati sukar untuk melihat bagaimana undang-undang yang digubal untuk melindungi pekerja yang mudah terjejas seperti pekerja binaan daripada kesan waktu kerja lembur yang membebankan boleh digunakan untuk melindungi majikan daripada perlu membayar apa yang sepatutnya dibayar kepada kakitangan mereka.
Beliau kemudian merujuk semula kes itu ke tribunal pekerjaan untuk mengira gaji yang perlu dibayar kepada pekerja itu.
Kes ini menandakan kemenangan besar bagi pekerja kerana keputusan itu menekankan tujuan undang-undang pekerjaan, yang digubal terutamanya untuk melindungi kepentingan pekerja.
Akhirnya, majikan harus meraikan pekerja yang baik yang sanggup bekerja lebih keras daripada mengambil kesempatan daripada mereka.
Daripada mencari alasan untuk menjimatkan beberapa dolar, majikan harus bekerja lebih keras untuk mengekalkan semua pekerja baik mereka, kerana tanpa mereka, tiada syarikat yang boleh berjaya.