Bagi Mohamed Akid Mohamed Farhan, duduk berdiam selama 10 minit merupakan cabaran besar disebabkan Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD) yang dialaminya.
Namun begitu, murid Darjah 6 itu baru-baru ini berjaya menamatkan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), satu pencapaian yang dahulu diragui ibu bapanya, Encik Mohamed Farhan Mohamed Seth, 37 tahun, dan Cik Nurul Jannah Rahmat, 36 tahun.
Menurut Cik Nurul, Akid, 12 tahun, kini mampu menumpukan perhatian lebih lama dan lebih yakin dengan dirinya – hasil usaha berterusan beliau dan suaminya yang berdepan pelbagai cabaran sejak anak sulungnya itu disahkan mengalami ADHD pada Julai 2022.
Ini termasuk mendaftarkan Akid mengikuti kelas tuisyen peribadi di rumah sejak 2023 bagi mempersiapkannya untuk menduduki PSLE.
Akid merupakan salah seorang daripada semakin ramai murid berkeperluan khas yang mengikuti tuisyen peribadi di rumah sejak kebelakangan ini.
Menurut Cik Nurul, beliau dan suaminya mendaftarkan Akid ke MindFlex Home Tuition Agency – agensi tuisyen yang menyediakan sesi peribadi di rumah, dari 2023 hingga 2024, sehingga tutornya memutuskan untuk melanjutkan pendidikannya di luar negara.
Justeru, pasangan itu mendaftarkan Akid ke satu lagi agensi, Genius Mind Home Tuition, pada Januari 2025.
Cik Nurul berkata setiap sesi di bawah Genius Mind Home Tuition dijalankan di rumah empat bilik mereka di Punggol setiap minggu sejak Januari 2025 hingga 28 September lalu.
“Sebelum Akid disahkan mempunyai ADHD pada 2022, kami pernah mendaftarkannya ke Program Tuisyen Mendaki (MTP) tetapi dia tidak boleh memberi tumpuan dalam kumpulan besar dan sering gelisah.
“Setelah disahkan mempunyai ADHD, kami berpendapat adalah lebih baik jika dia mengikuti tuisyen dalam kumpulan kecil atau secara individu, supaya dapat menumpukan perhatian dengan lebih baik,” jelas Cik Nurul.
Beliau turut meminta tutor Genius Mind Home Tuition supaya mengamalkan waktu rehat setiap beberapa minit, sama seperti di sekolah Akid, untuk membantunya menyesuaikan diri dan tidak cepat hilang tumpuan.
Setiap Rabu, Akid mengikuti tuisyen Bahasa Inggeris dan Matematik selama dua jam, manakala setiap Ahad, dia mengikuti tuisyen Bahasa Melayu selama dua jam.
Selain itu, Akid turut menghadiri kelas Matematik di Singapore Learning Mind pada setiap Sabtu.
Pusat tuisyen di Hougang itu mengamalkan kaedah pengajaran setiap satu guru bagi dua murid untuk memastikan mereka dapat perhatian lebih mendalam.
Menurut Cik Nurul, sebelum Akid memulakan tuisyen peribadi di rumah, prestasinya dalam Bahasa Melayu agak lemah.
“Alhamdulillah, kami dapat melihat peningkatan dalam penguasaan Bahasa Melayunya, termasuk peribahasa dan penggunaan imbuhan,” ujarnya.
Akid, yang kelihatan malu dan memberi jawapan sepatah dua kata, berkata dia kini yakin menggunakan imbuhan.
Cik Nurul, yang bertugas sebagai penyelia klinik, dan Encik Farhan, yang kini bekerja sendiri, membelanjakan sekitar $1,000 setiap bulan bagi tuisyen Akid.
Walaupun bukan jumlah kecil, mereka menganggapnya sebagai pelaburan untuk masa depan anak sulung mereka.
Menurut Cik Nurul, beliau mengetahui tentang ADHD anaknya apabila guru sekolahnya, di Sekolah Rendah Oasis, memaklumkan bahawa dia terlalu aktif dan sukar duduk diam di dalam kelas.
“Saya mengesyaki sesuatu, jadi saya membawanya ke doktor untuk pemeriksaan, dan dari situ dia disahkan mempunyai ADHD. Naluri seorang ibu memang betul,” katanya.
Sejak itu, Cik Nurul dan Encik Farhan mula menyesuaikan rutin harian mereka mengikut keperluan Akid, sambil membesarkan dua lagi anak, Nur Afia Mohamed Farhan dan Nur Alia Mohamed Farhan, masing-masing berusia enam dan lima tahun dan tidak mempunyai ADHD.
Ini termasuk sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk mencari cara terbaik membantu Akid belajar.
Cik Nurul menambah bahawa guru Keperluan Pendidikan Khas (SEN) di Sekolah Rendah Oasis turut membantu menyusun semula jadual Akid agar lebih sesuai dengan tumpuan dan tahap tenaganya.
“Akid hadir ke sekolah setengah jam lebih awal, pada 7 pagi, bagi sesi pembelajaran dalam kumpulan kecil sebelum kelas rasmi bermula.
“Gurunya juga membenarkan waktu rehat singkat antara pelajaran bagi membantu Akid menumpukan perhatian dengan lebih baik,” jelasnya.
Di rumah, Akid disifatkan sebagai anak yang aktif dan sukar dikawal apabila kesan ubatnya pudar.
Menurut Encik Farhan, mereka membenarkan Akid bermain di taman permainan yang terletak bersebelahan flat mereka supaya dia dapat melepaskan tenaga yang terpendam.
“Kadangkala, kami boleh dengar suara Akid di taman permainan dari ruang tamu. Begitu kuat suaranya,” kongsinya sambil tertawa.
Encik Farhan juga menerangkan tentang ubat yang diambil Akid setiap hari demi membantunya menjadi lebih tenang dan tidak mudah gelisah.
Menurutnya, terdapat tiga jenis ubat, masing-masing bertahan selama empat, lapan dan 12 jam.
Namun, ubat tersebut juga memberi kesan terhadap selera makan Akid.
“Ubat itu menyekat selera makannya sehingga kadangkala dia hanya akan berasa lapar pada tengah malam.
“Tipulah kalau kata kami tak rasa serba salah untuk membuat Akid makan ubat tu… tetapi kami tidak ada pilihan lain.
“Jika dia tak makan ubat tu, sangat susah untuk mengawalnya,” dedah Encik Farhan.
Menjelang keputusan PSLE dan pemilihan sekolah menengah, Cik Nurul berkata beliau kini sedang mencari sekolah menengah yang mempunyai pendidik atau kakitangan khusus SEN serta kegiatan kokurikulum (CCA) yang sesuai dengan minat Akid.
“Saya banyak buat kajian dan mengirim e-mel untuk memeriksa sama ada sekolah menengah yang kami mahu mempunyai pendidik SEN.
“Akid pula mahukan beberapa sekolah yang menawarkan CCA yang diminatinya, tetapi pendidik SEN kurang memberangsangkan.
“Proses ini memenatkan, tetapi sebagai ibu bapa, kami mahu yang terbaik untuk anak kami,” terang Cik Nurul, sambil merenung kepada Akid dengan senyuman.
Encik Farhan dan Cik Nurul berpendapat bahawa terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap ADHD berbanding dahulu.
Namun, mereka berkata masih ada cabaran dari segi pandangan orang ramai.
Cik Nurul teringat kejadian ketika mereka keluar makan sekeluarga, dan Akid tidak menyentuh makanannya kerana kesan ubat.
“Keluarga di meja sebelah memandang kami seolah-olah mereka menganggap kami tidak memberi makan kepada Akid.
“Disebabkan situasi seperti ini, kami kadangkala rasa serba salah dan disalah faham,” akuinya.
Bagi pasangan itu, perjalanan membesarkan anak yang mempunyai ADHD bukan mudah, malah penuh pelajaran tentang kesabaran dan kasih sayang.
Encik Farhan dan Cik Nurul hanya berharap agar Akid dapat membesar sebagai dirinya sendiri, penuh yakin dan gembira.
“Nasihat saya kepada ibu bapa lain yang mempunyai anak berkeperluan khas ialah jangan rasa takut.
“Saya sedar bahawa ada kalanya masyarakat kita mungkin takut dan bimbang terutamanya jika mereka membesarkan anak berkeperluan khas buat kali pertama.
“Pertama sekali, jangan risau. Dapatkan nasihat doktor, ikut langkah yang diberi, banyak bersabar, dan insya-Allah, semuanya akan berjalan dengan lancar,” nasihat Cik Nurul.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg