Timbulnya pelbagai jenis dan kaedah baru untuk menurunkan berat badan kini menandakan perubahan terhadap cara obesiti ditangani dan dirawat.
Terbaru, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan ubat antikegemukan glucagon-like peptide-1 (GLP-1) bagi jenama Wegovy dalam bentuk pil.
Wegovy merupakan antara jenama ubat GLP-1 yang telah melonjak popularitinya sejak kebelakangan ini, terutamanya di media sosial, kerana keupayaannya menurunkan berat badan.
Jenama yang lain termasuk Ozempic dan Mounjaro.
Walaupun jenama seperti Ozempic mula dikenali sejak beberapa tahun lalu, ubat GLP-1 sebenarnya telah diluluskan sejak awal 2000-an.
Ubat pertama GLP-1 diluluskan pada 2005 untuk merawat kencing manis, dan kemudian didapati berkesan untuk mengatasi kegemukan juga.
Secara ringkas, ubat ini berfungsi dengan meniru hormon semula jadi GLP-1 yang mengawal selera makan dan melambatkan pengosongan perut, sekali gus membuatkan seseorang berasa kenyang lebih lama.
Bahan aktif dalam ubat GLP-1 ini dikenali sebagai semaglutide (didapati dalam jenama Ozempic, Wegovy dan Rybelsus), tirzepatide (Mounjaro dan Zepbound), atau liraglutide (Victoza dan Saxenda).
Biasanya ubat ini, yang diberikan dengan preskripsi doktor, disuntik setiap minggu di bahagian tubuh seperti lengan, perut atau peha.
Dengan kelulusan yang diberikan kepada ubat tersebut dalam bentuk pil yang boleh dihasilkan pada kos lebih rendah, ubat ini dijangka lebih mudah diambil, dan dilaporkan lebih dimampui, untuk individu yang memerlukannya.
Sebelum adanya ubat seperti GLP-1, kaedah pembedahan bariatrik merupakan antara rawatan utama untuk menurunkan berat badan.
Ada doktor juga kini mungkin menawarkan gabungan dua rawatan ini, jika didapati sesuai.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan hospital setempat melihat peningkatan ketara penggunaan GLP-1 sejak beberapa tahun lalu.
Sejajar dengan penggunaan ubat GLP-1 yang kian meningkat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2025 mengeluarkan garis panduan mengenai penggunaan ubat tersebut bagi merawat obesiti.
Antara lain, garis panduan itu menyatakan, rawatan GLP-1 boleh digunakan oleh orang dewasa, kecuali wanita hamil, untuk rawatan jangka panjang obesiti.
Namun, WHO turut menarik perhatian kekurangan data mengenai keberkesanan dan keselamatan jangka panjang ubat tersebut.
Rata-ratanya sekarang, ubat GLP-1 dianggap selamat oleh pakar, meskipun seperti ubat lain, ada pengguna melaporkan kesan sampingan seperti sakit perut atau rasa mual, atau kesan pada penglihatan (lebih jarang dilaporkan).
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyifatkan obesiti sebagai cabaran kesihatan global besar yang perlu ditangani.
“Panduan kami yang baru mengiktiraf bahawa obesiti merupakan penyakit kronik yang boleh dirawat dengan penjagaan menyeluruh sepanjang hidup,” kata Dr Ghebreyesus.
Tumpuan kepada obesiti sebagai penyakit kronik adalah penting, kerana pendekatan itu akur masalah kegemukan bukan sekadar kesan daripada pilihan gaya hidup, termasuk cara pemakanan dan tahap kecergasan.
Sedang penggunaan GLP-1 semakin berleluasa, pakar juga memberi amaran ia bukan ‘pil ajaib’ atau penawar berkekalan yang boleh menyelesaikan segala masalah berkaitan kegemukan.
Kesan daripada rawatan sedemikian dilaporkan lebih mampan jika diiringi dengan gaya hidup aktif dan pemakanan sihat, sama seperti kaedah rawatan lain seperti pembedahan bariatrik.
Malah, kajian juga menunjukkan individu yang berhenti menggunakan ubat GLP-1 boleh mengalami kenaikan berat badan lagi, menimbulkan persoalan tentang kebergantungan dan keberkesanan ubat tersebut dalam jangka panjang.
Tetapi sekurang-kurangnya ubat sedemikian berpotensi memberi dorongan langkah pertama yang amat diperlukan bagi individu yang menghadapi kesukaran menurunkan berat badan.
Individu seperti ini juga mungkin menghadapi pelbagai rintangan dalam usaha untuk menurunkan berat badan seperti kesakitan fizikal, cabaran mengawal diri serta kekurangan sokongan dan sumber.
Beberapa kajian juga menunjukkan obesiti dan kesihatan mental saling berkait. Kemurungan boleh membawa kepada kenaikan berat badan, manakala obesiti boleh memburukkan isu psikologi.
Oleh itu, rawatan kegemukan juga mungkin perlu mengambil kira sokongan kesihatan mental kepada golongan ini.
Karyawan penjagaan kesihatan juga boleh memberi dorongan positif, dan tidak mengaitkan setiap masalah kesihatan dengan kegemukan, walaupun tidak dinafikan obesiti berkaitan dengan banyak penyakit kronik lain.
Contohnya, pesakit yang mengalami obesiti mungkin menerima nasihat daripada seorang doktor untuk menurunkan berat badan apabila mendapatkan rawatan bagi jangkitan flu yang biasa.
Nasihat itu mungkin berniat baik tetapi ia tidak kena dengan tempat.
Apa yang pasti, individu yang menghadapi kegemukan kini mempunyai pelbagai pilihan baru untuk berusaha mengubah keadaan mereka.
Sebagai seorang yang berterusan cuba mengawal berat badan (dan belum berjaya sepenuhnya), perkembangan terbaru dalam rawatan obesiti ini amat memberangsangkan.
Sekurang-kurangnya, individu seperti saya boleh mendapatkan nasihat doktor dan mempertimbangkan pilihan ini jika pilihan lain seperti kawalan pemakanan dan senaman masih ‘tidak jalan’ lagi. Buat masa ini, saya mahu cuba kaedah semula jadi seberapa mungkin.
Kepada ‘geng sihat’ yang lain, saya hanya ingin mengatakan, selagi ada peluang, belum lagi terlewat untuk kita mengambil langkah pertama ke arah kehidupan yang lebih sihat.
Sejajar tahun baru ini, mungkin sudah tiba masanya untuk kita berjumpa doktor dan mempertimbangkan apa langkah yang paling sesuai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg