Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura baru-baru ini mendedahkan dua lagi kes melibatkan warga tempatan yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kegiatan berkaitan pengganasan.

Kes tersebut melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang dikenakan Perintah Tahanan (DO) dan seorang pelajar berusia 19 tahun yang dikenakan Arahan Sekatan (RO).

Kededua individu tersebut terpengaruh dengan naratif berkaitan konflik Israel-Palestin, yang kembali meruncing menyusuli serangan pada 7 Oktober 2023.

Namun, kes remaja berusia 19 tahun itu mendedahkan cabaran keselamatan lebih rumit – iaitu Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE), yang sering dirujuk sebagai ekstremisme ‘salad bar’.

Ia merupakan satu fenomena yang pernah dianalisis oleh Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Profesor Kumar Ramakrishna, dalam konteks radikalisasi belia.

Memandangkan trajektori ancaman kontemporari kini beralih daripada rangkaian pengganas yang berpusat dan berstruktur jelas kepada sistem kepercayaan tersendiri yang mendalam serta dipengaruhi media digital, rangka kerja pencegahan pengganasan tradisional mesti bergerak seiring dengan peralihan ini.

Perkembangan ini secara dasar mengubah bentuk campur tangan awal, pemulihan, dan penyepaduan jangka panjang dalam masyarakat.

Ia mewujudkan keperluan kritikal bagi inisiatif yang diterajui masyarakat – terutamanya Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) – untuk memperluas pendekatan teologi mereka melangkaui naratif tindak balas sedia ada, serta menerapkan kaedah lebih pelbagai dan merangkumi pelbagai disiplin.

BAGAIMANA CoVE BERMULA?

Tindakan CoVE berlaku apabila seseorang individu memilih dan memetik pelbagai ideologi ekstremis berbeza – ada kalanya bercanggahan dari segi falsafah – untuk membentuk satu pandangan dunia hibrid yang sangat peribadi bagi menjelaskan keganasan.

Ia membina satu ideologi yang diambil daripada pelbagai sumber pemikiran dan fahaman, yang diumpamakan seperti ‘salad bar’.

Ideologi pelajar berusia 19 tahun yang dikenakan RO berkenaan tidak berpaksikan pada satu kumpulan ekstremis yang dikenali, seperti Isis atau Al-Qaeda.

Sebaliknya, ia merangkumi campuran kompleks yang terdiri daripada sentimen menyokong Hamas, permusuhan terhadap LGBTQ (lesbian, gay, dwiseksual, transjantina dan kuira), retorik anti-Barat, sub-budaya ganas daripada golongan bujang tanpa rela (incel), dan fahaman akselerasi Islamis.

Incel, atau singkatan untuk involuntary celibate, merupakan satu masyarakat dalam talian dianggotai lelaki yang kecewa kerana gagal mendapatkan pasangan, sehingga tercetus rasa benci terhadap wanita dan kecenderungan untuk melakukan keganasan.

Fahaman akselerasi Islamis pula menyokong keganasan demi menghancurkan masyarakat dan menegakkan sistem pemerintahan agama (teokratik) secara sejagat seperti yang dibayangkan oleh golongan ekstremis – satu pegangan yang jelas tiada kaitan dengan ajaran Islam sebenar.

Fenomena ini mencabar bentuk lazim radikalisasi, yang sering menyaksikan seseorang individu melalui laluan sehala menuju ke arah satu ideologi yang jelas.

Di bawah CoVE, dunia maya tertutup berfungsi sebagai ‘salad bar’ digital, yang memberi ruang kepada individu rentan mencipta alasan sendiri bagi keganasan, berdasarkan kandungan ekstremis berbeza yang ‘dihidangkan’ dalam talian.

Ketiadaan struktur fahaman yang bersepadu atau konsisten tidak mengurangkan risiko ancaman operasi; sebaliknya, ia menjadikan individu tersebut lebih sukar dikesan.

Pemangkin utamanya kekal berpunca daripada ketidakpuasan hati yang mendalam terhadap isu luaran.

Perasaan tersebut bertindak sebagai ‘tisu penghubung’ bagi menyatukan prasangka berbeza tadi menjadi alasan kukuh untuk melakukan tindakan keganasan.

UBAH STRATEGI CAMPUR TANGAN AWAL

Peningkatan kes CoVE menuntut peralihan segera dalam protokol campur tangan awal.

Sebelum ini, petunjuk radikalisasi agak jelas, seseorang individu lazimnya menunjukkan kecenderungan ekstremis yang khusus, melahirkan sumpah setia kepada kumpulan tertentu, atau hanya menerima propaganda daripada sumber yang mudah dikenal pasti.

Namun, apabila profil radikal seseorang individu berbentuk campuran, tanda amaran melalui tingkah laku tidak jelas dan sukar dikesan.

Oleh itu, usaha campur tangan mesti beralih daripada sekadar mencari kaitan dengan kumpulan tertentu, kepada mengesan petanda umum seperti fahaman akselerasi, kecenderungan terhadap idea keganasan dalam talian, serta tingkah laku antisosial yang tegar.

Sekolah, ibu bapa, dan rakan sebaya membentuk barisan hadapan dalam benteng pertahanan ini.

Dalam kes pelajar berusia 19 tahun itu, jalan radikalnya tidak dizahirkan melalui persiapan fizikal yang nyata atau perkongsian rahsia dengan keluarga. 

Sebaliknya, ia dikesan melalui hantaran tersembunyi di media sosial dan fantasi terpencil untuk melakukan keganasan di sekolah.

Program celik digital peringkat awal mesti dibentuk semula bagi mendidik golongan muda supaya sedar ketidakpuasan hati terhadap isu geopolitik boleh dieksploitasi oleh algoritma dan sub-budaya ganas dalam talian. 

PERANAN RRG YANG KIAN BERUBAH

Sejak penubuhannya pada 2003, RRG telah diiktiraf secara meluas atas kejayaannya dalam memulihkan ideologi para tahanan. 

Fokus utamanya adalah membetulkan salah faham mereka terhadap konsep Islam seperti jihad dan khilafah.

Strategi ini terbukti berkesan dalam menangani ancaman ideologi yang berstruktur seperti Jemaah Islamiyah (JI) dan Isis.

Namun, fenomena CoVE memerlukan RRG untuk memperluas skop operasi sedia ada secara penting.

Apabila menangani individu yang terjebak dalam CoVE, pendekatan hujah balas bersandarkan aspek keagamaan semata-mata adalah perlu, tetapi ia tidak lagi mencukupi.

Sebagai contoh, meskipun kaunselor RRG boleh secara sistematik meruntuhkan salah guna konsep jihad yang dipegang kumpulan pengganas, campur tangan itu sahaja tidak mampu menangani masalah individu tersebut yang pada masa sama, mungkin turut taksub dengan ideologi ganas incel atau fahaman akselerasi anti-Barat yang bersifat sekular.

Landskap ancaman yang kian berkembang ini menuntut kaedah kaunseling RRG untuk bersifat pelbagai dan menyeluruh, selari dengan ideologi ekstremis campuran yang perlu ditanganinya.

Pendekatan kaunseling baharu ini merangkumi tiga aspek utama. 

Pertama ialah kaunseling merangkumi pelbagai disiplin.

Asatizah RRG perlu menjalinkan kerjasama dengan ahli psikologi serta pekerja sosial.

Kerentanan dari segi psikologi yang menarik minat golongan muda ke forum dalam talian incel mesti ditangani seiring dengan usaha memperbetulkan kefahaman agama yang terpesong.

Kedua ialah meruntuhkan ekstremisme sekular.

Kaunselor keagamaan mesti dilatih untuk mengenal pasti dan menangani konsep sekular haluan kanan melampau atau fahaman akselerasi yang menggunakan teks agama secara tidak tepat.

Pemahaman tentang cara sub-budaya dalam talian beroperasi, serta keupayaan mengenali istilah dan ‘meme’ yang menandakan kecenderungan seseorang ke arah radikalisasi campuran, amat diperlukan.

Strategi ketiga melibatkan pengurusan ketidakpuasan hati para tahanan.

Oleh kerana konflik Israel-Palestin bertindak sebagai pemangkin emosi yang sangat kuat, RRG perlu menyediakan saluran yang membina dan sah bagi membantu individu terlibat mengurus tekanan emosi yang lahir daripada konflik tersebut.

Proses pemulihan perlu membezakan antara keprihatinan kemanusiaan dengan eksploitasi isu tersebut untuk memperjelaskan keganasan.

BENTUK SEMULA PENYEPADUAN, DAYA TAHAN MASYARAKAT

Proses penyepaduan semula dalam masyarakat menjadi jauh lebih sulit apabila dibayangi CoVE. 

Bagi tahanan ISA, pemulihan yang berjaya dibuktikan melalui langkah kembali ke dalam masyarakat berbilang agama di Singapura dengan selamat. 

Disebabkan individu CoVE memendam prasangka terhadap pelbagai kelompok masyarakat secara serentak, usaha ini memerlukan proses membaik pulih sempadan sosial yang lebih menyeluruh.

Usaha penyepaduan semula ini perlu melangkaui acara berbilang budaya di peringkat makro, dan beralih kepada penglibatan masyarakat secara berterusan di peringkat mikro. 

Hubungan di sekolah, tempat kerja, dan estet kejiranan mesti dimanfaatkan bagi membina semula modal sosial yang cuba dimusnahkan oleh fahaman radikal yang dipegang individu tersebut.

Selain itu, daya tahan masyarakat perlu diperkukuh bagi menghadapi kesan polarisasi akibat konflik luar negara. 

Rakyat Singapura perlu dilengkapi dengan keupayaan untuk melibatkan diri dalam perbincangan yang matang dan penuh empati mengenai isu sejagat, tanpa membiarkan konflik asing serta naratif yang memecahbelahkan masyarakat menjejas keharmonian sosial dalam negara.

KESIMPULAN

Kes terbaharu ini menjadi peringatan jelas bahawa era digital telah menjadikan proses radikalisasi lebih terbuka dan tidak lagi berpusat. 

Kemunculan CoVE mencerminkan satu fasa baharu yang lebih dinamik dan sukar diramal dalam landskap ancaman keselamatan.

Bagi pihak berkepentingan utama seperti RRG, perkembangan ini tidak menafikan kejayaan lalu; sebaliknya ia menuntut peranan lebih menyeluruh. 

Melalui gabungan pembetulan mendalam dari aspek teologi, penjagaan psikologi yang mantap, kecekapan celik digital yang disesuaikan, serta daya tahan masyarakat yang terus diperkukuh, Singapura dapat memastikan benteng pertahanannya terhadap ekstremisme kekal dinamik dan berdaya tahan dalam berdepan ancaman masa kini.

Ustaz Dr Mohamed Ali merupakan Felo Kanan bagi Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP), di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau juga merupakan Pengerusi Bersama RRG. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam RSIS Commentary.

“Kes terbaharu ini menjadi peringatan jelas bahawa era digital telah menjadikan proses radikalisasi lebih terbuka dan tidak lagi berpusat.  Kemunculan CoVE mencerminkan satu fasa baharu yang lebih dinamik dan sukar diramal dalam landskap ancaman keselamatan. Bagi pihak berkepentingan utama seperti RRG, perkembangan ini tidak menafikan kejayaan lalu; sebaliknya ia menuntut peranan lebih menyeluruh.  Melalui gabungan pembetulan mendalam dari aspek teologi, penjagaan psikologi yang mantap, kecekapan celik digital yang disesuaikan, serta daya tahan masyarakat yang terus diperkukuh, Singapura dapat memastikan benteng pertahanannya terhadap ekstremisme kekal dinamik dan berdaya tahan dalam berdepan ancaman masa kini.”
Penulis.