Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Hayati semangat kosmopolitan Ahmad Ibrahim

Feb 20, 2022 | 08:01 AM



PADA 1959, seorang anak watan buat julung kalinya dilantik sebagai penasihat undang-undang tertinggi kepada pemerintah Singapura.



Sebelumnya, hanya pegawai British yang memegang jawatan penting ini.



Beliau adalah Ahmad Mohamed Ibrahim yang pada ketika itu masih dalam lingkungan awal 40-an.



Lulusan Universiti Cambridge kelas pertama, beliau bukan sahaja terkenal dengan kepintarannya dan pengalamannya dalam bidang undang-undang sivil. Beliau juga giat menulis buku-buku mengenai perundangan Islam dan rapat dengan ulama seperti Maulana Abdul Aleem Siddiqui, Muallim Umar Abdullah Bagharib, dan Habib Mohammad Salim Al-Attas.



Banyak buku serta makalah telah ditulis untuk memperingati jasa dan kesarjanaannya.



Malah, buku Beyond Bicentennial: Perspectives on Malays (terbitan World Scientific pada 2020) mempunyai dua bab mengenainya.



Satu ditulis oleh Ahmad N. Abbas mengenai pengaruhnya dalam perundangan Islam manakala yang lain ditulis oleh Ibrahim Tahir yang menerangkan latar belakang keluarganya serta jawatan-jawatan penting yang dipikulnya semasa di Singapura dan setelah berhijrah ke Malaysia.



Tujuan makalah ini bukan untuk mengulang apa yang pernah diketengahkan tetapi untuk meneliti semangat kosmopolitannya yang jarang diperkatakan.



Istilah "kosmopolitan" ini saya pinjam dari buku terbaru Professor Emeritus Bruce Lawrence, Islamicate Cosmopolitan Spirit (terbitan Wiley Blackwell pada 2021) yang menekankan bingkai peradaban yang saling berinteraksi ke arah manfaat manusia sejagat.



Sisi ini dapat dilihat dalam buku yang ditulis Ahmad Ibrahim semasa menjawat tugas sebagai penasihat undang-undang tertinggi di Singapura iaitu Sources and Development of Muslim Law (terbitan Malayan Law Journal pada 1965).



Buku tersebut, yang kurang lebih 130 muka surat itu, padat dengan maklumat mengenai sumber-sumber serta pembangunan perundangan Islam yang ditinjau melalui perspektif sejarah.



Menurut Ahmad Ibrahim, buku ini mencari titik persefahaman antara kesarjanaan Orientalis dengan Islam agar dapat dijadikan bahan rujukan bagi pelajar-pelajar universiti Singapura.



Selain daripada buku-buku turath, beliau merujuk kepada para Orientalis seperti William Montgomery Watt, Hamilton Gibb, Alfred Guillaume, dan Wilfred Cantwell Smith.



Malah, dalam prakatanya, beliau mengiktiraf kesarjanaan Joseph Schacht.



Namun, beliau membuat penilaian semula terhadap data-data yang dibentangkan sarjana Barat.



Dalam pembacaannya yang luas, beliau bukan sahaja menukil sarjana yang membawa pemikiran pembaharuan seperti Muhammad Iqbal dan Fazlur Rahman malah mereka yang berlainan haluan seperti Abul A'la Maududi.



Selain dunia Arab, Barat dan Asia Selatan, beliau juga menonjolkan sifat keterikatan terhadap dunia Nusantara dengan menukil tulisan Hasbi Ash-Shiddieqy dari Indonesia dan Khatijun Nissa Siraj dari Singapura.



Daftar pustakanya tidak hanya terhad pada buku-buku perundangan, malah turut tersenarai buku-buku daripada bidang ilmu seperti sosiologi, sejarah dan antropologi.



Selain mengemukakan sumbangan ulama mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Shafi'i dan Hanbali), buku ini juga tidak melupakan sumbangan ulama yang berlainan mazhab seperti Ibn Hazm, al-Tabari, ulama Syiah dan Ibadi.



Semangat kosmopolitannya juga terserlah dalam penilaiannya terhadap campur tangan khalifah Abbasiyah dalam wacana pemikiran.



Pada kurun ke-9 Masihi, Khalifah Al-Ma'mun serta beberapa khalifah selepasnya telah mengangkat pemikiran ulama Mu'tazilah dan menindas ulama yang berlainan pendapat.



Dasar ini kemudian diterbalikkan sewaktu zaman khalifah al-Mutawakkil dan giliran ulama Mu'tazilah pula ditindas.



Ahmad Ibrahim tegas mengatakan bahawa campur tangan kuasa politik dalam ranah pemikiran mendatangkan kesan yang buruk dan penindasan yang dilakukan oleh khalifah-khalifah ini adalah kesilapan yang besar.



Pengajaran yang boleh kita ambil adalah kecermatannya, kesungguhannya serta kegigihannya dalam usaha menghasilkan sebuah karya yang walaupun tipis tetapi halus dari segi cetusan pemikiran dan renungan.



Kalau sekiranya terdapat suara-suara sumbang yang menolak secara melulu kesarjanaan Barat dalam bidang pengajian Islam, Ahmad Ibrahim mengambil sikap yang tawaduk terhadap semua ilmuwan tidak kira fahaman agama mereka.



Yang penting adalah untuk menilai secara kritis kesarjanaan mereka dan tidak mengagungkan karya mereka dengan memaparkan gejala minda tertawan.



Melalui bukunya juga, Ahmad Ibrahim memaparkan tentang peri pentingnya untuk memanfaatkan perspektif sains sosial serta disiplin ilmu moden yang lain tanpa meminggirkan warisan ilmu ulama kita.



Pengajaran lain yang boleh kita garap adalah keterbukaannya terhadap kepelbagaian yang ada dalam dunia pemikiran Islam.



Tidak ada dalam bukunya kata-kata yang memomok-momokkan atau menghina mazhab-mazhab yang tidak sealiran dengan mazhab yang empat.



Malah, beliau memberi penerangan secara objektif dan tuntas mengenai perbezaan yang timbul antara mazhab.



Beliau secara berani mencetuskan persoalan sama ada perundangan Islam boleh terus berkembang dalam dunia yang serba moden. Menurutnya, kita perlu mencontohi sikap ulama silam.



Mereka sentiasa memberi pertimbangan kepada kemaslahatan awam dan mengambil kira keadaan zaman apabila berdepan dengan cabaran dan permasalahan baru.



Tidak mengejutkan jika Ahmad Ibrahim menukil pendapat Ibn Qayyim yang berkata: "Shariah (Islam) dibangun atas dasar hikmah dan bertujuan mencapai kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat. Ia merupakan keadilan, belas ihsan, hikmah dan kemaslahatan yang bersifat mutlak.



"Oleh yang demikian, setiap persoalan yang menggantikan keadilan dengan kezaliman, belas ihsan dengan kekerasan, kemaslahatan umum dengan kemudaratan, serta hikmah dengan nilai yang sia-sia, maka itu semua bukanlah sebahagian daripada shariah, sekalipun ada yang menafsirkan sedemikian."



Perkara ini turut disentuh oleh Mufti Singapura ke-3, Dr Fatris Bakaram, dalam ucapan penutup Persidangan Antarabangsa 2018. Malah, kata-kata Ibn Qayyim ini juga ditukil dalam ucapannya.



Dr Fatris berpendapat bahawa warisan agama perlu dipegang kukuh tetapi ia tidak boleh kaku sehingga membawa kemunduran kepada masyarakat.



Apabila pembacaan turath diperhalusi secara kreatif dan kritis, maka isu-isu baharu seperti kajian bioetika boleh ditangani dengan berhikmah dan berhemah.



Semangat kosmopolitan yang mendasari kesarjanaan Ahmad Ibrahim semasa di Singapura adalah semangat luhur yang mencari titik persefahaman antara dunia perundangan sivil dengan perundangan Islam.



Ia berteraskan kesungguhan dalam kesarjanaan dan keberanian dalam mengutarakan pemikiran secara ilmiah.



Gagasan beliau dalam menilai tradisi ilmu khazanah Islam serta disiplin ilmu sains sosial patut dihargai dan diteladani. Semoga perjuangannya untuk menegakkan kebenaran dan keadilan melalui penulisannya akan terus mekar di sanubari masyarakat kita!




 • Alfian Yasrif adalah lulusan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan meraih ijazah ganda Sarjana Muda Undang-Undang dan Shariah (dengan kepujian). Setelah tamat pengajian Sarjana Undang-Undang di Universiti Columbia, New York, beliau pulang ke Singapura untuk berkhidmat di beberapa agensi pemerintah. Beliau kini pelajar PhD di Fakulti Undang-Undang, Universiti Nasional Singapura.




PANDANGAN AHMAD IBRAHIM DALAM BUKU 'SOURCES AND DEVELOPMENT OF MUSLIM LAW'



MENGENAI POLITIK



Ahmad Ibrahim tegas mengatakan bahawa campur tangan kuasa politik dalam ranah pemikiran mendatangkan kesan yang buruk dan penindasan yang dilakukan oleh khalifah-khalifah ini adalah kesilapan yang besar.



ANTARA BARAT DENGAN ISLAM



Kalau sekiranya terdapat suara-suara sumbang yang menolak secara melulu kesarjanaan Barat dalam bidang pengajian Islam, Ahmad Ibrahim mengambil sikap yang tawaduk terhadap semua ilmuwan tidak kira fahaman agama mereka.



Yang penting adalah untuk menilai secara kritis kesarjanaan mereka dan tidak mengagungkan karya mereka dengan memaparkan gejala minda tertawan.



SAINS SOSIAL DAN ILMU MODEN



Melalui bukunya juga, Ahmad Ibrahim memaparkan tentang peri pentingnya untuk memanfaatkan perspektif sains sosial serta disiplin ilmu moden yang lain tanpa meminggirkan warisan ilmu ulama kita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >