Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

WHO: Hadkan masa skrin kanak-kanak, lebih kegiatan fizikal

Feb 13, 2023 | 05:30 AM



WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya penggunaan peranti atau masa skrin tidak diberikan kepada kanak-kanak berusia di bawah dua tahun dan tidak lebih daripada satu jam membabitkan kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun.



Sebaliknya WHO menyarankan lebihkan aktiviti fizikal dengan mengurangkan masa di skrin bagi memastikan anak membesar dengan sihat dengan mengeluarkan garis panduan baru berkaitan aktiviti fizikal, tingkah laku dan jumlah waktu tidur kanak-kanak di bawah usia lima tahun.



Pengarah Agung, WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus:



"Fasa awal kanak-kanak adalah satu fasa perkembangan yang pesat dan ianya juga adalah satu tempoh masa di mana gaya hidup dan penerapan keluarga itu boleh disebatikan dalam diri mereka demi meningkatkan kesihatan mereka."



Menyedari keperluan itu, WHO menurutnya menghasilkan garis panduan yang dikeluarkan oleh barisan pakar kesihatan daripada WHO yang menilai kesan tidur yang tidak mencukupi, masa di depan skrin dan juga manfaat aktiviti fizikal kanak-kanak kecil.



Pengurus program pemerhatian dan pencegahan berteraskan populasi WHO, Dr Fiona Bull, berkata "meningkatkan aktiviti fizikal, mengurangkan tingkah laku sedentar (setempat) yang tidak bermanfaat dan memastikan tidur yang berkualiti bagi kanak-kanak kecil akan meningkatkan kesihatan fizikal dan mental mereka, selain mencegah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan penyakit lain di usia dewasa".



Menurut Dr Bull, sekiranya aktiviti fizikal yang sihat, tingkah laku sedentari dan tabiat tidur pada usia awal kanak-kanak dibentuk dan diterap awal, ia akan menjadi tabiat yang akan mereka bawa sehingga mereka tua.



Dapatan ini juga selari cadangan yang dikeluarkan Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) mengikut ketetapan yang sama.



Menurut AAP, kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang menghabiskan masa lebih dari dua jam di depan skrin atau peranti digital lain lebih cenderung mengalami masalah psikologi dan perkembangan otak mereka yang terganggu.



"Ini termasuk kemurungan, kegelisahan, kekurangan perhatian dan tingkah laku anak yang bermasalah.



"Kanak-kanak terdedah kepada kurang perhatian, berlakunya kelewatan dalam perkembangan kognitif, gangguan kepada pembelajaran dan menyebabkan kemampuan mengurus serta mengawal diri yang terbatas," kata AAP.



Selain itu, masalah obesiti juga antara kesan besar penggunaan peranti terhadap kanak-kanak berikutan kurangnya pembabitan dalam aktiviti berbentuk fizikal.



"Terdapat banyak kajian terkini yang menyatakan kurangnya aktiviti bermain dalam kalangan kanak-kanak terutama membabitkan aktiviti bermain di luar dikaitkan dengan masalah kesihatan.



"Ia juga menyatakan mengenai kesan hubungan dengan alam semula jadi sebenarnya boleh membantu menghasilkan mood dan tingkah laku yang baik, mengurangkan tekanan selain membentuk kemahiran sosial kanak-kanak," kata AAP.



Jelas AAP, tidak dinafikan, peranti dapat menjadi alat yang membantu pembelajaran kanak-kanak, tetapi peranti tidak mendorong ke arah proses pembelajaran yang bersifat inovatif.



Kebergantungan yang keterlaluan kepada peranti dari usia kecil dapat membantutkan kreativiti kanak-kanak dalam mencari jalan keluar untuk penyelesaian masalah kerana mereka tidak dibiasakan untuk berfikir dan mengalami realiti di luar kotak peranti digital, tambah AAP.



Dalam pada itu, penggunaan peranti berlebihan mewujudkan jurang interaksi antara kanak-kanak dengan ibu bapa.



"Ini berlaku apabila anak anda mungkin menggunakan hanya sedikit masa untuk bercakap berinteraksi dengan anda ketika mereka asyik bermain peranti.



"Perlu diingat, elemen interaksi antara ibu bapa dengan anak adalah sesuatu yang perlu dihargai kerana waktu ini akan hilang jika kita terus membiarkan peranti menjadi penghalang kepada ruang interaksi ini," kata AAP.



Mengulas lanjut, peranti dan masa skrin berlebihan menyebabkan berlaku gangguan tidur kepada kanak-kanak.



"Ini boleh berlaku jika kanak-kanak menggunakannya sebelum tidur atau jika kanak-kanak berada dalam bilik dan ibu bapa pula menggunakan peranti.



"Cahaya yang dipancarkan dari peranti akan menganggu fokus tubuh kanak-kanak yang sedang bersiap untuk tidur menyebabkannya bangun atau terjaga dan bermain peranti itu semula sehingga mereka tidak dapat tidur yang mencukupi," katanya.



Beliau berpandangan dalam mengawal penggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa perlu perlu memainkan peranan penting.



"Jika ibu bapa sentiasa menggunakan kebanyakan masa bersama peranti, kanak-kanak juga akan meniru tingkah laku ini.



"Ibu bapa bukan sahaja perlu melihat semula aspek pengurusan masa dan kesan kepada kanak-kanak terhadap penggunaan peranti pintar, tetapi perlu menilai semula tingkah laku kita terhadap kanak-kanak," kata AAP.




SARANAN WHO



BAYI BAWAH USIA SATU TAHUN



WAKTU di depan skrin tidak disarankan langsung. Apabila tidak berbuat apa-apa, penuhkan masa itu dengan membaca atau bercerita dengan mereka.



Bagi bayi 0-tiga bulan, penuhi masa membaca atau bercerita bersama bayi selama 14 hingga 17 jam.



Bagi bayi yang usia empat hingga 11 bulan, peruntukkan waktu sehingga 12 hingga 16 jam dengan aktiviti membaca/bercerita di samping memastikan mereka mendapat tidur yang berkualiti, termasuk tempoh tidur seketika.



Dalam masa yang sama, pastikan mereka bergerak aktif melalui beberapa kaedah terutama melalui permainan lantai yang interaktif.



Bayi yang tidak lagi boleh bergerak, letakkan mereka dalam posisi meniarap sekitar 30 minit dan beberapa kali ketika waktu mereka berjaga.



Mereka juga tidak terhalang atau terikat lebih daripada satu jam dalam satu satu masa di kerusi tinggi atau kereta sorong bayi.



KANAK-KANAK BERUSIA SATU HINGGA DUA TAHUN



BAGI bayi yang berusia satu tahun, waktu skrin sedentari seperti seperti menonton televisyen atau video adalah tidak digalakkan.



Bagi bayi yang berusia dua tahun, waktu skrin sedentari tidak lebih daripada satu jam.



WHO menyarankan jika bayi tidak berbuat apa-apa, penuhkan masa itu dengan membaca atau bercerita dengan mereka.



Dapatkan waktu tidur yang mencukupi, iaitu sekitar 11 hingga 14 jam termasuk tempoh tidur tengahari atau tidur seketika serta pastikan waktu tidur dan waktu jaga mereka berjadual.



Luangkan sekitar 180 minit melakukan pelbagai aktiviti fizikal pada kejituan berbeza, beberapa kali sepanjang tempoh berjaga mereka.



Pastikan masa yang tidak terhalang atau terikat lebih daripada satu jam dalam satu-satu masa di kerusi tinggi atau kereta sorong bayi.



KANAK-KANAK TIGA TAHUN HINGGA EMPAT TAHUN PERLU:



PASTIKAN waktu skrin hanya seketika yang tidak lebih dari satu jam. Apabila tidak melakukan apa-apa, gunakan masa itu dengan membaca atau bercerita dengan mereka.



Luangkan sekitar 180 minit melakukan pelbagai aktiviti fizikal pada kejituan berbeza, beberapa kali sepanjang tempoh berjaga mereka, dengan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti kejituan sederhana-tinggi.



Bagi masa tidak terhalang atau terikat lebih daripada satu jam dalam satu satu masa (di kerusi tinggi, kereta sorong bayi) atau duduk terlalu lama.



Dapatkan 10 hingga 13 jam tidur berkualiti, termasuk tidur tengahari dan tidur seketika, dengan waktu tidur dan berjaga yang berjadual.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >