Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Enam maut dalam serangan ganas di hotel Somalia

Jun 10, 2023 | 10:00 PM



MOGADISHU: Satu serangan oleh militan Al-Shabaab yang mengepung sebuah hotel selama enam jam telah mengakibatkan enam orang awam terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam insiden di tepi pantai ibu negara Somalia di sini, kata polis hari ini.

“Enam orang awam mati syahid dalam serangan itu dan 10 yang lain cedera.

“Tiga anggota pasukan keselamatan yang terbabit dalam misi menyelamat turut terkorban sebagai mati syahid,” kata pasukan polis Somalia dalam satu kenyataan, hari ini.

Pejuang jihad yang dikaitkan dengan Al-Qaeda itu dilaporkan telah melancarkan pemberontakan terhadap pemerintah Persekutuan yang disokong antarabangsa selama lebih daripada 15 tahun dan sering menyasarkan hotel yang biasanya menjadi tempat tinggal pegawai tinggi Somalia dan pegawai asing.

Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab ke atas serangan ganas itu.

Ia bermula sebelum 8 malam waktu tempatan semalam (9 Jun), bersamaan 1 pagi waktu Singapura (10 Jun) apabila tujuh penyerang menyerbu hotel Pearl Beach, tempat popular di Pantai Lido di sini.

Menurut polis, serangan terbabit berakhir kira-kira jam 2 pagi, selepas pertempuran sengit antara pasukan keselamatan dan militan yang semuanya terbunuh akibat peperangan itu.

“Pasukan keselamatan berjaya menyelamatkan 84 termasuk wanita dan kanak-kanak serta warga emas,” kata kenyataan polis itu.

Sementara itu, saksi melaporkan mereka terdengar tembakan dan letupan di hotel berkenaan.

“Saya berada berhampiran restoran Pearl Beach dan terdengar letupan kuat di hadapan bangunan itu. Saya berjaya melarikan diri tetapi masih lagi mendengar tembakan kuat dan pasukan keselamatan bergegas menghampiri kawasan itu,” kata seorang saksi, Abdirahim Ali, kepada AFP.

Seorang lagi saksi, Yaasin Nur, yang berada di restoran itu memaklumkan restoran itu penuh dengan orang ramai berikutan ia baru diubah suai.

“Saya bimbang kerana ada beberapa rakan sekerja saya pergi ke sana dan dua daripada mereka tidak menjawab telefon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, wartawan AFP yang berada di situ menyaksikan beberapa ambulans bersedia berhampiran lokasi kejadian.

Serangan di Pantai Lido mempertingkatkan masalah keselamatan endemik di negara Afrika ketika negara itu bergelut untuk bangkit daripada konflik dan bencana alam yang diharungi selama berdekad-dekad.

Al-Shabaab yang diusir keluar dari bandar utama Somalia oleh pasukan Kesatuan Afrika, masih mengawal kawasan luar bandar yang besar dan terus melakukan serangan terhadap pasukan keselamatan dan orang awam, termasuk di ibu negara.

Tahun lalu, Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud melancarkan ‘perang habis-habisan’ terhadap Al-Shabaab, menghimpunkan rakyat Somalia untuk membantu mengusir anggota kumpulan jihad yang disifatkannya sebagai ‘pepijat’.

Ikrarnya dibuat selepas 21 terbunuh dan 117 yang lain cedera dalam pengepungan Al-Shabaab di sebuah hotel di di sini pada Ogos 2022 yang berlangsung selama 30 jam.

Serangan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kegagalan pasukan keselamatan melindungi daerah pentadbiran yang dikawal ketat.

Dua bulan kemudian, pengeboman kereta berkembar di Mogadishu membunuh 121 orang dan mencederakan 333 lagi dalam serangan paling ramai maut di negara itu dalam tempoh lima tahun.

Tentera dan militia yang dikenali sebagai ‘macawisley’ dalam beberapa bulan kebelakangan ini berjaya merampas semula sebahagian besar wilayah di tengah negara itu dalam operasi yang disokong oleh misi Kesatuan Afrika ATMIS dan serangan udara Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, pejuang Al-Shabaab membunuh 54 pasukan pengaman Uganda bulan lalu dalam serangan ke atas pangkalan Kesatuan Afrika di bandar selatan Bulo Marer.

Pada Ogos 2020, Al-Shabaab melancarkan serangan besar-besaran ke atas Elite, sebuah lagi hotel di pantai Lido yang popular dengan dihuni pegawai, membunuh 10 orang awam dan seorang pegawai polis.

Pasukan keselamatan mengambil masa empat jam untuk mengawal semula lokasi serangan itu.

Pada November lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata sekurang-kurangnya 613 orang awam terbunuh dan 948 cedera dalam keganasan di Somalia tahun lalu, dengan kebanyakannya disebabkan oleh alat letupan buatan (IED) yang dikaitkan dengan Al-Shabaab.

Angka itu adalah yang tertinggi sejak 2017 dan meningkat lebih 30 peratus daripada tahun sebelumnya. - AFP




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >