Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Gempa bumi kuat runtuhkan puluhan bangunan di timur Taiwan

Apr 03, 2024 | 03:00 PM



TAIPEI: Pusat Perintah Kecemasan Taiwan (CEOC) melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 26 bangunan telah runtuh dalam gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud yang menggegar timur Taiwan pada pagi 3 April.


Kejadian itu turut menyaksikan dua bangunan di bandar Hualien di timur Taiwan runtuh selepas gempa bumi kuat itu kata seorang pegawai bomba lapor AFP.


“Dua bangunan runtuh dan beberapa orang dipercayai terperangkap. Kami tidak mempunyai maklumat lanjut buat masa ini,” kata pegawai itu.

Memetik kenyataan dari Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat, pusat gempa berkenaan dikatakan terletak kira-kira 18 kilometer dari selatan bandar Hualien, Taiwan dan pada kedalaman 34.8 kilometer.

Menurut CEOC, mereka menerima laporan mengenai mangsa yang terperangkap di dalam bangunan yang runtuh.

Hualien, bandar yang terdekat dengan pusat gempa, menyaksikan runtuhan bangunan berganda, sehingga memaksa operasi menyelamat dilakukan segera, lapor BBC.


Kesan gempa bumi itu berlaku secara meluas ke pedalaman berbukit Taiwan, menyebabkan kejadian tanah runtuh yang ketara.

Di media sosial, video yang menunjukkan keadaan semasa gempa berlaku telah menjadi tular.

Video-video itu memperlihatkan beberapa bangunan yang hampir runtuh, serta kejadian tanah runtuh yang dilaporkan turut berlaku.

Menurut laporan, bangunan dikatakan seolah-olah bergoyang sekali gus memperlihatkan tahap kekuatan gempa bumi itu.

Selain itu, rangkaian elektrik di kawasan yang dilanda gempa juga mengalami gangguan, menyebabkan sekurang-kurangnya 91,000 isi rumah terputus bekalan tenaga.

Syarikat pengeluar cip terkemuka TSMC, pengeluar komponen pemproses terpenting untuk syarikat teknologi seperti Apple dan Nvidia, menyatakan kemudahan mereka di Hsinchu dan selatan Taiwan masih berfungsi.

Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud itu dianggap sebagai yang terkuat melanda Taipei dalam tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun.

Pengarah Pusat Seismologi Taipei, Encik Wu Chien Fu, berkata ia adalah paling kuat dirasai di seluruh Taiwan dan pulau-pulau luar sejak gempa bumi pada September 1999 yang mengorbankan 2,400 orang.

“Gempa bumi hampir dengan daratan dan ia cetek. Ia adalah yang paling kuat dalam 25 tahun sejak gempa bumi (1999),” kata Encik Wu.

Agensi Pusat Pentadbiran Cuaca Taiwan (CWA) dalam kemas kini menerusi laman webnya memaklumkan lebih 50 kejadian gempa susulan direkodkan setakat 11.57 pagi waktu tempatan.

Menurut maklumat yang dipaparkan di laman CWA, gempa susulan di bandar Hualien itu berlaku selang beberapa minit antara satu kejadian ke satu kejadian yang lain. Manakala kekuatan gempa susulan yang dicatatkan berlaku rata-rata antara tiga hingga lima magnitud.

Dalam masa yang sama Filipina turut mengeluarkan amaran tsunami dan memindahkan penduduk di tepi pantai, ekoran gempa kuat di Taiwan itu.

“Penduduk di pinggir pantai dinasihatkan pergi ke kawasan tinggi atau berpindah sementara jauh dari pantai.

“Pemilik bot di pelabuhan dan kawasan cetek wajar meninggalkan tempat mereka.

“Kapal yang sudah berada di laut mestilah menjauhi pantai dan kekal di kawasan laut dalam hingga makluman baru dikeluarkan,” kata agensi gempa negara itu.

Dalam pada itu, penerbangan tidak beroperasi di lapangan terbang utama di wilayah selatan Jepun, Okinawa, susulan amaran tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi di Taiwan, kata seorang pegawai kerajaan.

Operasi di Lapangan Terbang Naha digantung dari 9.25 pagi waktu tempatan sebagai langkah berjaga-jaga, kata pegawai kementerian pengangkutan yang ditempatkan di lapangan terbang itu kepada AFP. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >