Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

M’sia bersedih mantan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud meninggal dunia

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Malaysia kehilangan tokoh negarawan dan pemimpin disegani

M’sia bersedih mantan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud meninggal dunia

Feb 21, 2024 | 05:19 PM



Malaysia berduka dengan pemergian tokoh kepimpinan Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, yang meninggal dunia kira-kira 4.40 pagi pada 21 Februari.

Mantan Ketua Menteri Sarawak paling lama berkhidmat iaitu selama 33 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun ketika menerima rawatan di pusat Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Allahyarham, yang juga mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh selama 10 tahun, adalah tokoh berjasa yang membawa banyak perubahan besar kepada negeri ini sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri pada 1981.

Terkenal dengan julukan sebagai ‘Bapa Pemodenan Sarawak’, veteran politik itu dikenang rakyat Sarawak sebagai sosok penting yang membawa limpahan pembangunan dan pelbagai legasi kejayaan yang dinikmati warga Bumi Kenyalang itu sehingga kini.

Ketokohannya dalam pentadbiran di Sarawak mula menyerlah sejak berusia 27 tahun apabila menjadi individu termuda dilantik dalam Kabinet kerajaan sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya pada 1963.

Allahyarham juga pernah memegang pelbagai portfolio lain di peringkat kerajaan Persekutuan sebelum kembali ke Sarawak.

Tokoh politik yang memegang jawatan presiden paling lama dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu 33 tahun bermula 1981 sehingga 2014, berjaya mewujudkan kestabilan politik dan menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Meninggalkan empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan wanita berketurunan Poland, Allahyarham Puan Sri Laila Taib pada 1959, Allahyarham Tun Taib kemudian berkahwin dengan wanita Lebanon, Toh Puan Raghad Kurdi, pada 2010.

Toh Puan Raghad yang baru-baru ini menjadi tumpuan dalam kes berkaitan kesihatan suaminya meluahkan rasa sedih atas pemergian suaminya.

“Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa pentingnya beliau (Tun Taib) bagi saya. Semoga rohmu diberkati dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah,” luahnya di Instagram.

Pelbagai pihak menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negara dan ketokohannya tiada gantinya.

Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Malaysia, Sultan Ibrahim, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan menyifatkan Tun Taib seorang tokoh yang membawa kesan yang cukup besar dan akan sentiasa dikenang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham di Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor, turut berkongsi rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah mewakili pentadbiran Kerajaan Madani kepada keluarga Allahyarham dan rakyat Sarawak.

“Sesungguhnya kita, terutama rakyat negeri Sarawak kehilangan seorang sosok negarawan yang dihormati. Jasa dan bakti Allahyarham kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya,” kata beliau di Facebook.

Jenazah Allahyarham yang dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur, dari CVSKL kira-kira 9.15 pagi 21 Februari untuk solat jenazah dan menerima penghormatan akhir daripada ratusan yang hadir.

Solat jenazah dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Encik Ehsan Mohd Hosni, dan turut disertai Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, serta ratusan ahli keluarga dan sahabat handai.


Tun Taib sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan sejak Ogos 2023. Tempat beliau sebagai yang Dipertua Negeri Sarawak digantikan mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bermula 26 Januari 2024.

Jenazah Tun Taib dibawa pulang ke Kuching dari Subang pada 1 tengah hari 21 Februari dan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya, Kuching.

Jenazahnya akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 8 pagi 22 Februari untuk penghormatan terakhir hingga 11.30 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >