Dinamik kata ‘goreng’ dalam bahasa Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dinamik kata ‘goreng’ dalam bahasa Melayu

Kaedah masak yang punyai pelbagai istilah berkaitan
Feb 8, 2026 | 5:30 AM

Dinamik kata ‘goreng’ dalam bahasa Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
goreng, bahasa Melayu, goreng kilas, goreng tohor, goreng celur kaedah masak, istilah, slanga, penggoreng kering
Seorang cef sedang menggoreng mi dalam kuali dengan api yang menyala, memaparkan kaedah memasak yang dikenali sebagai goreng kilas. - Foto ISTOCKPHOTO

Sedang saya menyusuri pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil semasa bercuti di Kuala Lumpur Januari lalu, mata saya terpaku pada papan tanda sebuah restoran Cina: Masakan Goreng Kilas Hunan China.

Apa sebenarnya ‘goreng kilas’? Saya tertanya-tanya.

Lazimnya, kita menggunakan perkataan ‘goreng’ secara umum, untuk merujuk kepada semua kaedah memasak dengan minyak dan kuali.

Namun, jika diteliti, terdapat pelbagai cara menggoreng dan setiap satu mempunyai istilahnya yang tersendiri.

Mari kita selami istilah-istilah yang berkaitan dengan kaedah menggoreng ini.

Goreng kilas

Goreng kilas ialah teknik memasak yang pantas, menggunakan sedikit minyak dan suhu api yang tinggi.

Dalam bahasa Inggeris goreng kilas disebut stir-fry.

Kamus Dewan mentakrifkan ‘kilas’ dengan beberapa maksud, termasuk:

– lingkaran rotan untuk mengikat kaki binatang atau pendayung pada keliti

– putar

– masa yang sangat singkat; sekejap.

Justeru, istilah goreng kilas sangat tepat untuk stir-fry, kerana ia melibatkan proses mengacau dan membalikkan bahan masakan dalam kuali secara berterusan, dalam tempoh masa yang singkat.

Goreng celur

Satu lagi kaedah menggoreng yang kerap digunakan dalam masakan Melayu, namun jarang didengari istilahnya, ialah goreng celur, atau deep-fry.

Perbuatan ‘mencelur’ biasanya dilakukan pada sayur-sayuran mentah, iaitu dengan merendamkannya dalam air panas buat seketika, sehingga teksturnya lembut, tetapi tidak terlalu masak.

Dalam kaedah goreng celur pula, makanan direndam sepenuhnya ke dalam kuali yang dipenuhi minyak panas dan dibiarkan sehingga masak sempurna.

Epok-epok dimasak menggunakan kaedah goreng celur, iaitu merendamkan keseluruhannya ke dalam minyak panas sehingga kulitnya menjadi rangup dan berwarna keemasan.
Epok-epok dimasak menggunakan kaedah goreng celur, iaitu merendamkan keseluruhannya ke dalam minyak panas sehingga kulitnya menjadi rangup dan berwarna keemasan. - Foto PIXABAY

Goreng tohor

Selain goreng kilas dan goreng celur, terdapat juga istilah goreng tohor, atau pan-fry.

Kaedah ini menggunakan sedikit minyak dalam kuali, dimasak dengan api sederhana hingga sederhana tinggi.

Ia amat sesuai untuk memasak protein berlemak, contohnya ikan salmon.

Walaupun kedua-dua teknik goreng kilas dan goreng tohor sama-sama menggunakan sedikit minyak, cara memasaknya ada perberbezaan.

Goreng kilas memerlukan masakan dikacau tanpa henti, manakala goreng tohor pula, masakan hanya perlu dibalikkan sekali sahaja sepanjang proses memasak.

Protein yang mempunyai kandungan lemak sesuai untuk kaedah masakan goreng tohor.
Protein yang mempunyai kandungan lemak sesuai untuk kaedah masakan goreng tohor. - Foto PIXABAY

Alat menggoreng

Kuali merupakan alat yang lazim digunakan untuk menggoreng kerana reka bentuk dan materialnya yang sesuai dalam mengedar haba dengan rata.

Namun, kemajuan teknologi menyaksikan populariti penggoreng tanpa minyak seperti air fryer, yang kini menjadi alat masak penting di dapur.

Diterjemah sebagai ‘penggoreng kering’, alat ini memasak makanan menggunakan kaedah perolakan udara panas.

Penggoreng kering menggunakan kaedah perolakan udara panas untuk memasak.
Penggoreng kering menggunakan kaedah perolakan udara panas untuk memasak. - Foto PHILLIPS

Sebagai slanga

Perkataan ‘goreng’ melangkaui batas dapur; ia menyerap ke dalam bahasa pertuturan tidak rasmi atau slanga masyarakat Melayu.

Dalam perbualan sehari-hari, ‘goreng’ merujuk kepada kata-kata yang tidak benar, direka-reka, bertujuan mempermainkan atau memperolokkan pihak lain.

Misalnya: “Kesian budak lurus bendul itu. Senang sungguh dia ‘digoreng’ kawan-kawannya dengan cerita yang tidak masuk akal.”

Ini bermaksud budak lurus bendul itu, yang mempunyai perwatakan jujur, senang tertipu dan percaya bulat-bulat cerita palsu yang diada-adakan oleh kawannya-kawannya.

Sementara itu, bagi penggemar muzik terutama genre rok, ungkapan ‘goreng gitar’ digunakan untuk menggambarkan aksi seorang pemain gitar memetik alat muzik itu dengan penuh bertenaga sambil mengikut tempo rancak secara solo.

Aksi seseorang sedang ‘menggoreng’ gitar mengikut tempo yang rancak secara solo.
Aksi seseorang sedang ‘menggoreng’ gitar mengikut tempo yang rancak secara solo. - Foto PIXABAY

Kesimpulan

Istilah yang berkaitan dengan kaedah menggoreng dalam bahasa Melayu adalah rencam dan ia bukan sekadar teknik memasak.

Bahkan, ia turut berfungsi sebagai slanga, menambahkan lagi dinamik perkataan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg