Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karya seni hitam putih Sarkasi diraikan di restoran The Aleeya

Sebahagian hasil penjualan bakal disalurkan kepada Dana Seni Batik Belia; acara peringati jasa dua tokoh masyarakat Melayu/Islam
Oct 7, 2025 | 1:42 PM
The Aleeya, Ika Sarkasi, Sarkasi Said
Pelukis batik genarasi kedua, Ika Sarkasi, bersama dua daripada 13 karya ayahnya, Allahyarham Sarkasi Said yang bakal dipamerkan di restoran The Aleeya pada 11 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Buat kali pertama, sebanyak 13 karya siri batik hitam putih oleh penerima Pingat Kebudayaan, Allahyarham Sarkasi Said, akan dipamerkan dalam acara A Tribute In Mono: Final Monochrome Series pada 11 Oktober di restoran The Aleeya.

Dikenali ramai dengan karya seni batiknya yang berwarna-warni, siri lukisan tersebut menyingkap sisi kesenian Sarkasi yang jarang dilihat orang awam.

Lebih menarik lagi, pameran itu akan berlangsung di restoran yang diasaskan menantu dan anak-anak kepada pengasas bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Allahyarham Ustaz Ali Mohamed, di mana sajian tradisional bakal disajikan.

Sebahagian daripada hasil penjualan semasa pameran itu bakal disalurkan kepada Dana Seni Batik Belia kelolaan Ika Zahri Sarkasi, 58 tahun, yang merupakan anak sulung Sarkasi.

Dana itu bertujuan memberi bimbingan dalam seni tradisional kepada bakat muda terutamanya untuk belia berisiko yang berhasrat memperhalusi kemahiran mereka.

Setiap karya yang dipamerkan di acara yang berlangsung selama dua jam itu akan dilelong bermula dengan harga $10,000.

Difahamkan kerjasama antara kededua keluarga itu bermula apabila restoran The Aleeya mengambil keputusan merombak identiti korporat mereka bagi mencerminkan visi warisan Melayu secara lebih autentik.

Lantas mereka telah mendapatkan bantuan Ika disebabkan kepakarannya sebagai seniman batik generasi kedua.

“13 lukisan ini direka semasa ayah saya menghadapi penyakit buah pinggang yang tidak diketahui ramai orang.

“Kini hasil daripada lukisan itu dapat membantu dalam transformasi perjuangan peribadi para belia dan masyarakat dalam dunia seni,” ujar Ika.

Pameran itu melambangkan satu legasi yang berterusan dalam usaha melestarikan warisan budaya yang kian pudar, tambah beliau.

Sementara itu, salah seorang anak Ustaz Ali, Encik Najeeb Ali, 40 tahun, berkata kerjasama antara dua pihak itu memaparkan nilai-nilai asas seperti kesabaran, rasa hormat dan kerendahan hati terhadap tradisi.

“Ayah saya menunjukkan bagaimana memasak boleh mengubah kehidupan dan menyatukan orang ramai dalam cara yang paling mendalam.

“Nilai-nilai inilah yang membimbing segala yang kami lakukan di restoran ini – kami bukan sekadar menyajikan makanan, tetapi menyampaikan cerita, memori, dan rasa kehangatan rumah, dengan harapan membawa orang ramai lebih rapat melalui hidangan bersama,” kongsi pengasas bersama dan cef di The Aleeya.

Restoran yang terletak di Dickson Road itu juga bakal menyajikan hidangan set Melayu asli seperti Lemper Ayam dan Udang Bakar Jimbaran kepada para tetamu yang hadir ke acara tertutup itu.

Sarkasi meninggal dunia pada 14 Oktober 2021 akibat kegagalan kededua ginjalnya sementara Ustaz Ali meninggal dunia pada 17 Mac 2023 akibat kegagalan jantung.

Selain Encik Najeeb, restoran The Aleeya diasaskan bersama oleh seorang lagi anak Ustaz Ali, Encik Mustafa Reza Ali, 45 tahun serta menantu Ustaz Ali, Encik Hairul Hidayat Isa, 43 tahun.

Restoran itu dibangunkan sebagai penghargaan bukan hanya kepada legasi khidmat masyarakat arwah ayah mereka, tetapi juga nilai-nilai yang diterap oleh kedua ibu bapa mereka, tambah Encik Najeeb.

Selain peranannya sebagai pengasas bersama RRG, Ustaz Ali juga dikenali sebagai penjaga warisan masakan Melayu yang mengekalkan keaslian resipi, kaedah dan teknik penyediaan makanan tradisional.

Dedikasi beliau bersama arwah isterinya, Allahyarhamha Dahlia Ahmad, disempurnakan dalam buku masakan Masakan Dahlia, iaitu koleksi resipi warisan yang sempat didokumentasikan sebelum pemergiannya pada 2013.

Sementara itu, seorang lagi anak Allahyarham Sarkasi, Cik Imelda Zahry Sarkasi, 43 tahun, berkata siri karya ini dihasilkan dua dekad sebelum pemergian Sarkasi.

Peralihan daripada warna terang dan bertenaga kepada siri hitam putih adalah cerminan permainan antara cahaya dengan bayangan, dan antara kelemahan dengan daya tahan.

Dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Baron Of Batik, Sarkasi bukan sahaja menumpukan hidupnya kepada penguasaan seni, tetapi juga memastikan bahawa seni tradisional Asia Tenggara akan terus berkembang dan diwarsi generasi muda.

Acara itu bakal dihadiri tetamu terhormat, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.

Kededua keluarga Allahyarham Sarkasi Said dan Allahyarham Ustaz Ali Mohamed mewakili kesinambungan nilai-nilai murni yang diwariskan oleh ayah mereka.
Kededua keluarga Allahyarham Sarkasi Said dan Allahyarham Ustaz Ali Mohamed mewakili kesinambungan nilai-nilai murni yang diwariskan oleh ayah mereka. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg