Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) Singapura yang baru melabuhkan tirainya merupakan satu mercu tanda penting bagi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai setiausaha agungnya buat pertama kali.
Dan keputusannya adalah jelas: PAP menerima 65.6 peratus undi menandakan satu mandat kukuh bagi Encik Wong dan para pemimpin generasi keempat (4G).
Meskipun peratusan undi itu lebih rendah sedikit daripada paras tertinggi sebelumnya, termasuk 69.9 peratus pada 2015, ia masih merupakan mandat yang kuat, lebih-lebih lagi berlatarbelakangkan cabaran yang sedang dihadapi oleh rakyat Singapura termasuk cengkaman kos sara hidup yang meningkat.
Undi beralih sejumlah 4.4 peratus, daripada 61.2 peratus pada GE2020, itu juga menandakan sokongan lebih kukuh merentas semua pengundi, termasuk pengundi Melayu.
Malah, keputuan ini lebih mengagumkan jika ia diteliti dengan trend global.
Dalam pilihan raya yang diadakan pada 2024 di lain-lain negara, kos sara hidup yang meningkat telah menjadi isu yang menjejas parti penyandang. Ini termasuk di Amerika dan Britain, di mana pengundi memilih perubahan dan menyingkirkan parti pemerintah.
Justeru, keupayaan PAP untuk mencatatkan kemenangan yang kredibel - di tengah-tengah cabaran kos sara hidup dan kebimbangan ekonomi serta saingan politik semakin hangat - harus dihormati kerana ia mencerminkan keupayaan parti tersebut untuk kekal relevan.
Tidak mengejutkan, kos sara hidup menjadi isu hangat pilihan raya kali ini.
Sedang inflasi mungkin semakin reda, tetapi harga khidmat dan barangan masih tinggi, dan itu mempunyai kesan sebenar kepada rakyat Singapura setiap hari.
Pemerintah telah cuba menangani keadaan tersebut dengan gabungan langkah sokongan jangka pendek dan pelaburan jangka panjang, terutamanya dalam pendidikan, mencipta peluang pekerjaan dan memperkukuh sokongan sosial untuk kumpulan yang paling berisiko.
Antara topik paling hangat seperti kenaikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kemampuan perumahan juga telah diketengahkan dengan ketara.
Keputusan untuk mengadakan pilihan raya tahun ini, memandangkan inflasi mencecah paras terendah dalam tempoh empat tahun, mungkin memihak kepada PAP. Ia membolehkan pengundi merasakan beberapa usaha pemerintah membuahkan hasil.
Sesetengah penganalisis juga merujuk kepada ketidaktentuan global, yang diperhebat oleh ketegangan daripada dasar perdagangan Amerika, sebagai satu lagi faktor yang mungkin menyebabkan rakyat Singapura memilih kestabilan dan pemerintahan yang sudah terbukti.
Kebimbangan dan keresahan telah mencorak pemilihan rakyat untuk kembali kepada “parti yang mereka kenali”. Namun, jika dibandingkan dengan keputusan GE2020 semasa pandemik, peratusan undi bagi PAP merosot kepada 61.2 peratus.
Justeru, menyifatkan mandat kukuh parti pemerintah hanya sebagai mecerminan keprihatinan rakyat tanpa mengambil kira sokongan sejati kepada PAP, adalah tidak tepat.
Salah satu ciri yang menarik dalam pilihan raya ini ialah bagaimana ia mencerminkan politik Singapura yang kian matang.
Parti Pekerja (WP), contohnya, telah membangunkan kehadiran yang stabil di Parlimen dan kini menarik calon yang mempunyai kelayakan setanding mereka yang dikemukakan PAP. Ini berbeza dengan satu, dua dekad yang lalu apabila tidak ramai daripada golongan karyawan yang berani mengaitkan diri mereka dengan parti pembangkang.
Justeru, meskipun gagal menambah kerusi parlimennya, kedudukan WP sebagai parti alternatif utama dan kredibel semakin diperkukuh dalam GE2025.
Di kawasan undi yang ditandinginya, WP berjaya meningkatkan peratusan undi. Di Sengkang, setelah bertapak dengan menang tipis dengan peratusan undi 52.13 peratus dalam GE2020, pasukan WP menang dengan peratusan undi 56.31 peratus, sekali gus memperkukuh kedudukannya di kawasan undi tersebut.
Keadannya juga memberangsangkan bagi WP di GRC Aljunied dan SMS Hougang - dua kubu kuat parti pembangkang itu.
Lantaran itulah, mandat kukuh yang diterima PAP bukan sesuatu yang dimenangi dengan mudah.
Ia menunjukkan parti tersebut terus mampu memahami keprihatinan rakyat dan mengambil langkah sesuai menanganinya, tanpa mengambil langkah bersifat populis. Sama ada isu imigresen, perlindungan pekerja atau perumahan, PAP telah menunjukkan bahawa ia bersedia untuk membuat penyesuaian, mahupun merubah haluan.
Malah isu-isu seperti kelemahan tadbir urus baru-baru ini, yang diketengahkan oleh parti pembangkang, telah menjadi peluang bagi PAP untuk menunjukkan ketelusan dan sikap akauntabiliti. Berdasarkan keputusannya, majoriti pengundi merasakan parti itu telah memgambil tindakan secukupnya.
Di banyak negara demokrasi di dunia, kematangan politik juga menyaksikan sistem politik negara itu terjerumus dalam perpecahan, serangan peribadi dan politik negatif.
Mujur, dalam kempen parti-parti politik sepanjang GE2025, sebahagian besarnya memberi tumpuan kepada isu, yang dibahaskan dengan sikap hormat, meskipun terdapat sebilangan insiden di mana kritikan peribadi hampir melepasi garisan keselesaan.
Perbahasan secara hormat harus menjadi kebiasaan landskap politik negara. Jika parti-parti politik terus memberi tumpuan kepada isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat dan berusaha ke arah mencapai satu matlamat yang menguntungkan Singapura, pengundi akan mendapat manfaat sepenuhnya.
Keputusan GE2025 ini jelas menunjukkan undi rakyat kepada kestabilan dan pemerintahan yang cekap; dan pada masa sama mencerminkan keinginan rakyat untuk kepelbagaian di Parlimen dan sokongan kepada parti alternatif yang kredibel.
Memandang ke depan, banyak yang perlu ditangani pemerintah. Utama sekali ialah tekanan geopolitik dan perang dagang global yang berupaya menjejas periuk nasi rakyat biasa.
Untuk mengatasinya, Singapura perlu bersatu padu, mencungkil kekuatan setiap individu yang peranan mereka ialah untuk menyumbang kepada penggubalan dasar dan hala tuju negara, selain meluaskan kerjasama termasuk antara pemerintah dan pembangkang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg