Longkang hanyir itu
adalah syurga duniaku
di mata mereka yang kelabu
seiras warna bulu tubuhku
kerana nasib seekor cencorot
riwayat hidup kami disorot
di balik bongkahan sampah
yang mereka cemari
atas timbunan budi.
Longkang hanyir itu
selorong dimensi palsu
dibina sang bijaksana
licik melabel kepincangan
konon atas nama kebersihan
mensuci segala rupa kotoran
yang mereka tanggalkan
dari sisa bangkai kehormatan.
Longkang hanyir itu
suatu masa dulu
tempat kami berlari
mengejar secuil mimpi
sebuah singgahsana fantasi
bagi makhluk kerdil mensyukuri
biar dicela haiwan pembinasa
bukan hukum manusia
mengubah milik pencipta.
Longkang hanyir itu
mungkin ada yang terlupa
medan bermain anak cucu mereka
seronok bermandi manda
ketika banjir melimpah ruah
saat langit sedang marah
kami mesra beramah tamah
bersuka ria berkongsi tanah
meraikan gelandangan tak punya arah.
Longkang hanyir itu
adalah sebuah mukadimah kefahaman
refleksi cerminan nilai kemanusiaan
di sebalik keruhan air kusam mengalir
terjelir lidah putih menyindir
membelit akal budi berfikir
di desa mahupun di kotaraya
biar jasanya tidak semulia
segunung bakti manusia
nasib seekor cencorot
dalam longkang hanyir itu
akan kekal ternoda hina
selagi hitamnya dijelagai derita
kelabunya pedih mengabui mata.
Samsudin Said
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg