Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 maut apabila bas rempuh kenderaan di pintu tol Filipina

May 2, 2025 | 2:05 PM
Polis berkata pemandu bas mengaku tertidur ketika memandu sebelum nahas berhampiran Bandar Tarlac City di pulau Luzon pada 1 Mei 2025
Polis berkata pemandu bas mengaku tertidur ketika memandu sebelum nahas berhampiran Bandar Tarlac City di pulau Luzon pada 1 Mei 2025 - Foto FACEBOOK PALANG MERAH FILIPILNA

MANILA: Seramai 12 orang terbunuh termasuk enam kanak-kanak dan 37 lagi cedera apabila sebuah bas merempuh kenderaan yang beratur menunggu di pintu tol di utara Filipina pada 1 Mei, kata polis.

Rempuhan bas itu mencetuskan tindak balas berantai yang melibatkan lima kenderaan yang berhenti selepas ia merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan.

Polis memberitahu pemberita bahawa pemandu bas itu mengaku tertidur dalam bas sebelum nahas berhampiran Tarlac City di pulau Luzon.

“Menurut temu bual awal oleh penyiasat kami... pemandu itu berkata dia tertidur dan dikejutkan di tempat kejadian itu berlaku,” kata Kolonel Romel Santos dari polis Bandar Tarlac.

Empat remaja bawah umur adalah antara yang maut dalam kemalangan itu. Turut meninggal dunia termasuk satu pasangan dalam sebuah kereta yang dirempuh bas berkenaan dalam kejadian pada sekitar tengah hari itu.

Polis menyatakan bahawa sebilangan besar mangsa yang cedera adalah penumpang bas.

Nahas berlaku ketika lebuh raya sesak dengan kenderaan yang membawa keluarga yang menuju dan pulang daripada cuti Hari Pekerja. Kedua-dua pemandu dan konduktor telah ditahan, kata Encik Santos.

Pemandu bas itu berkemungkinan dihadapkan dengan pertuduhan “tidak berhemat dan memandu dalam keadaan melulu yang mengakibatkan beberapa kematian”.

Penyiasat masih menunggu di hospital tempatan bagi membolehkan anggota keluarga mengenal pasti mangsa yang dibawa ke sana.

Tahap kecederaan yang dialami mangsa yang terselamat masih belum diketahui.

Kemalangan jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di Filipina yang menyaksikan para pemandu kerap melanggar peraturan dan kenderaan mereka sering tidak diselenggara dengan baik atau terlebih muatan.

Pada Disember 2023, 17 orang, termasuk seorang warga Kenya, maut manakala tujuh lagi cedera parah apabila sebuah bas penumpang terbabas daripada jalan di “selekoh maut” dan terjunam ke bawah sebuah gunung di tengah Filipina.

Bas itu dalam perjalanan di perbandaran Hamtic di wilayah Antique, apabila nahas berlaku pada petang 5 Disember, ketua agensi bencana wilayah, Encik Roderick Train memberitahu agensi berita AFP.

Empat warga Kenya adalah antara penumpang, yang kebanyakannya penduduk wilayah Antique, kata Gabenor Rhodora Cadiao kepada stesen radio tempatan, DZRH.

Pemilik bas yang malang itu, Vallacar Transit Inc, berikrar akan bekerjasama membantu siasatan dan secara sukarela menghentikan sementara operasi baki 12 lagi bas miliknya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg