AS bentang pelan ‘Gaza Baru’ dengan deretan pencakar langit

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS bentang pelan ‘Gaza Baru’ dengan deretan pencakar langit

Pelan perlukan AS$25b pelaburan, dibentang sempena majlis tandatangan penubuhan Lembaga Keamanan
Jan 23, 2026 | 11:32 AM

AS bentang pelan ‘Gaza Baru’ dengan deretan pencakar langit

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Gaza Baru, Donald Trump Davos 2026, Jared Kushner Gaza plan, Lembaga Keamanan Trump, Pembangunan semula Gaza,  WEF
Slaid bertajuk ‘Gaza Baru’ dipaparkan pada skrin semasa satu acara pengumuman piagam inisiatif Lembaga Keamanan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang bertujuan menangani konflik global, bersempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-56 di Davos, Switzerland, pada 22 Januari. - Foto REUTERS

DAVOS (Switzerland): Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, membentangkan satu wawasan yang bercita-cita tinggi tetapi masih bersifat spekulatif mengenai masa depan Jaluran Gaza.

Diberi nama ‘Gaza Baru’, ia dibentangkan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, ketika Washington berusaha memacu rundingan gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas.

Pelan tersebut dibentangkan oleh menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, yang memaparkan imej Gaza yang dibina semula sebagai wilayah moden dengan pencakar langit di pesisir pantai Mediterranean, bandar baru, kawasan perindustrian berteknologi tinggi, serta infrastruktur pelabuhan dan lapangan terbang yang serba lengkap.

Menurut dokumen cadangan yang dibentangkan, pembangunan semula Gaza memerlukan sekurang-kurangnya AS$25 bilion ($32 bilion) pelaburan, bagi menampung pembinaan kawasan kediaman, industri, pertanian dan pelancongan untuk kira-kira 2.1 juta penduduk Palestin.

Pelan induk itu dibentangkan sempena majlis tandatangan penubuhan Lembaga Keamanan, sebuah badan baru yang diumumkan Encik Trump dan ditugaskan untuk menyelia gencatan senjata Israel-Hamas serta usaha pembinaan semula Gaza.

“Kita akan berjaya besar di Gaza.

“Ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa untuk disaksikan,” kata Encik Trump ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau menambah bahawa latar belakangnya sebagai pemaju hartanah membentuk pandangannya terhadap wilayah itu.

“Segalanya berkisar pada lokasi.

“Lihat kedudukannya di tepi laut, lihat betapa indahnya tanah ini dan potensi besar yang boleh dimanfaatkan untuk kesejahteraan ramai orang,” katanya.

Dalam pembentangannya, Encik Kushner mendedahkan skala kemusnahan besar di Gaza akibat perang dua tahun lalu.

Menurut beliau, kira-kira 90,000 tan bahan letupan telah digugurkan ke atas Gaza, menghasilkan hampir 60 juta tan runtuhan yang perlu dibersihkan sebelum sebarang pembinaan boleh dimulakan.

“Kami pada awalnya bermain dengan idea untuk mewujudkan zon bebas dan zon Hamas.

“Tetapi akhirnya kami berkata, ‘Mari kita rancang untuk kejayaan berskala besar’,” ujar beliau.

Peta pelan induk Amerika tersebut menunjukkan satu zon khas ‘pelancongan pesisir’ yang akan menempatkan kira-kira 180 blok menara, selain kawasan perumahan, kompleks industri, pusat data, pembuatan berteknologi maju, taman awam, kawasan pertanian dan kemudahan sukan.

Pelan itu turut mencadangkan pembinaan pelabuhan laut dan lapangan terbang baru berhampiran sempadan Mesir, serta satu lintasan tiga hala yang menghubungkan sempadan Mesir dan Israel.

Pembinaan semula Gaza akan dilaksanakan dalam empat fasa, bermula dari bandar Rafah di selatan dan bergerak secara berperingkat ke utara menuju Bandar Gaza.

Rafah, yang sebelum perang menempatkan sekitar 280,000 penduduk, kini hampir musnah sepenuhnya akibat serangan udara dan perobohan terkawal oleh tentera Israel.

Satu slaid menunjukkan pembinaan ‘Rafah Baru’ dengan lebih 100,000 unit rumah kekal, 200 pusat pendidikan dan 75 kemudahan perubatan.

Encik Kushner berkata pembinaan Rafah Baru boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

“Kami sudah mula membersihkan runtuhan dan melakukan beberapa kerja perobohan.

“Kemudian akan datang Gaza Baru. Ia boleh menjadi simbol harapan, satu destinasi, dengan banyak industri,” katanya.

Encik Kushner mengumumkan bahawa Washington akan menganjurkan satu persidangan pelaburan Gaza dalam masa terdekat, bagi menarik minat sektor swasta.

“Membawa wang ke Gaza mungkin sedikit berisiko.”

“Tetapi pada masa yang sama, ia menawarkan peluang pelaburan yang luar biasa,” katanya.

Namun, peta yang sama turut memaparkan satu jalur tanah kosong di sepanjang sempadan Mesir dan Israel, yang dirujuk sebagai ‘zon keselamatan’, di mana tentera Israel akan kekal sehingga Gaza dianggap benar-benar selamat.

Isu paling sensitif dalam pelan ini ialah tuntutan pelupusan senjata Gaza.

Encik Kushner menegaskan proses tersebut “bermula sekarang”, sambil menyatakan bahawa tanpa jaminan keselamatan, tiada pelabur akan sanggup menyalurkan dana.

Beliau berkata sebuah pemerintah Palestin teknokratik baru, Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG), akan bekerjasama dengan Hamas dalam proses pelupusan tentera.

Bagaimanapun, Hamas sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak akan melepaskan senjata tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Encik Trump sendiri mengakui cabaran besar ini, tetapi mengeluarkan amaran keras kepada Hamas.

“Mereka dilahirkan dengan senapang di tangan,” kata Encik Trump.

“Tetapi mereka mesti menyerahkan senjata mereka.

“Jika tidak, ini akan menjadi penamat mereka.”

Encik Trump juga menuntut Hamas menyerahkan mayat tebusan Israel terakhir yang masih berada di Gaza, sesuatu yang menurut Israel sepatutnya dilakukan sebelum fasa kedua pelan damai bermula.

Di bawah fasa pertama perjanjian, Israel dan Hamas bersetuju kepada gencatan senjata, pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin, pengunduran separa tentera Israel serta peningkatan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Namun, gencatan senjata itu kekal rapuh.

Menurut kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, sekurang-kurangnya 477 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sepanjang tiga bulan lalu.

Tentera Israel pula melaporkan tiga anggotanya terbunuh akibat serangan kumpulan bersenjata Palestin.

Pada 22 Januari sahaja, lima orang dilaporkan terbunuh akibat tembakan Israel, termasuk empat dalam serangan artileri di kawasan Zeitoun, Bandar Gaza.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir satu juta penduduk Gaza kini tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi, manakala 1.6 juta lagi berdepan tahap ketidakamanan makanan yang serius.

Pelan besar Trump ini juga berdepan reaksi bercampur di peringkat antarabangsa.

Beberapa negara sekutu utama Amerika, termasuk Perancis, Britain, Norway dan Sweden, enggan menyertai Lembaga Keamanan, dengan pengkritik menyifatkannya sebagai cubaan mewujudkan alternatif kepada PBB yang didominasi Trump.

Antara pemimpin dunia yang menyertai lembaga itu ialah Presiden Argentina, Encik Javier Milei, dan Perdana Menteri Hungary, Encik Viktor Orban, manakala sekutu rapat Amerika di dunia Arab seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu dan Qatar menghantar wakil untuk menandatangani penyertaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg