Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS serang pulau strategik Iran ketika rundingan damai dipergiat
AS serang Pulau Qeshm ketika Trump cuba redakan ancaman perang; Iran tawar buka Selat Hormuz jika tuntutan dipenuhi
AS serang pulau strategik Iran ketika rundingan damai dipergiat
WASHINGTON: Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm yang strategik di Iran pada 2 November, dalam operasi ketenteraan terbaru yang dilakukan secara sulit sejak beberapa minggu lalu, meskipun Presiden Donald Trump memberi bayangan bahawa penyelesaian diplomatik dengan Teheran mungkin dicapai.
Pegawai kanan Amerika mengesahkan serangan itu merupakan sebahagian daripada beberapa operasi ketenteraan terhad yang bertujuan melemahkan keupayaan Iran mengancam kapal perdagangan di Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas dunia.
Menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ), Washington sengaja merahsiakan operasi tersebut bagi mengelakkan tanggapan bahawa pentadbiran Trump sedang bersiap melancarkan peperangan besar-besaran terhadap Iran.
Seorang pegawai Amerika berkata serangan terbaru itu bersifat mempertahankan diri dan bertujuan melindungi kepentingan serta aset ketenteraan Amerika di rantau berkenaan.
Pegawai kanan AS turut memberitahu Radio Free Europe/Radio Liberty (RFE/RL) bahawa serangan ke atas Pulau Qeshm dilakukan sebagai tindak balas terhadap tembakan Iran yang menyasarkan sebuah pesawat Amerika.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA, sebelum itu melaporkan beberapa letupan berlaku di pulau tersebut pada 2 November.
Bagaimanapun, butiran mengenai sasaran, tahap kerosakan dan kemungkinan korban belum diketahui.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November, ketika Encik Trump cuba meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan perang baru dengan Iran.
Ketika ditanya wartawan sama ada beliau mempertimbangkan serangan terhadap Iran selepas pilihan raya, Encik Trump menjawab ringkas: “Tidak.”
Namun, pegawai pentadbirannya berkata Presiden Amerika itu masih menilai beberapa pilihan, termasuk tindakan ketenteraan sekiranya rundingan diplomatik gagal.
Perkembangan tersebut menunjukkan percanggahan antara kenyataan terbuka Encik Trump dengan operasi ketenteraan yang masih diteruskan secara sulit.
Dalam pada itu, Iran mengumumkan kesediaan membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh dua hari sekiranya Washington memenuhi beberapa tuntutan utama.
Antaranya termasuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap Iran dan membebaskan aset negara itu bernilai berbilion dolar yang dibekukan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, berkata langkah tersebut boleh dilaksanakan segera sekiranya Amerika menerima dan melaksanakan syarat yang ditetapkan Teheran.
“Jika tuntutan sah Iran diterima dan dilaksanakan, keseluruhan rancangan boleh dilaksanakan dalam tempoh dua hari, keselamatan Selat Hormuz dapat dipulihkan dan proses rundingan boleh dimulakan.
“Pelaksanaannya bergantung sepenuhnya pada kemahuan dan keputusan Washington,” katanya.
Tawaran itu dibuat ketika Qatar mempergiat usaha menjadi orang tengah bagi mengelakkan pertempuran besar antara kedua-dua negara.
Delegasi Qatar yang diketuai pegawai kanan, Encik Ali Al Thawadi, tiba di Teheran pada malam 2 November untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi.
Menurut dua diplomat yang mengetahui lawatan tersebut, pertemuan itu menyusuli beberapa pusingan rundingan antara pegawai Iran dengan Qatar sepanjang minggu lalu.
Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz selepas serangan tentera Amerika dan Israel terhadap negara itu pada Februari lalu, sekali gus mengganggu perdagangan tenaga antarabangsa.
Lebih 35 kapal dilaporkan diserang sepanjang Oktober, jumlah tertinggi dalam sebulan sejak peperangan bermula.
Bagaimanapun, perkembangan positif rundingan menyebabkan harga minyak penanda aras dunia susut kira-kira lapan peratus kepada AS$104 setong pada 2 November.
Pada September, Iran mengemukakan cadangan perjanjian berperingkat yang membolehkan kedua-dua pihak melaksanakan beberapa langkah secara bergilir.
Mengikut cadangan itu, Iran akan menjamin keselamatan kapal melalui Selat Hormuz, manakala AS menarik balik sekatan tentera laut terhadap pelabuhan Iran.
Selepas itu, kedua-dua negara boleh memulakan rundingan damai menyeluruh, termasuk mengenai program pengayaan nuklear Teheran.
Namun, Washington menolak cadangan tersebut kerana mahu Iran membuat komitmen berkaitan program nuklearnya lebih awal.
Encik Araghchi berkata pengantara Qatar berjaya memendekkan tempoh pelaksanaan fasa awal perjanjian daripada lima hari kepada dua hari.
Bagaimanapun, Penasihat Keselamatan Negara Iran, Encik Mohsen Rezaei, menegaskan rundingan nuklear hanya boleh dimulakan selepas Washington memenuhi tuntutan Teheran.
Iran turut mahu Amerika mengiktiraf perjanjian antara Teheran dengan Oman mengenai pengurusan laluan kapal melalui Selat Hormuz.
Walaupun rundingan menunjukkan sedikit kemajuan, pegawai tentera AS dan Israel dilaporkan masih merangka rancangan serangan baru terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal.
Iran pula memberi amaran bahawa sebarang serangan lanjut akan dibalas dengan tindakan ketenteraan terhadap kawasan sasaran yang lebih luas.
Teheran turut mempertimbangkan kemungkinan menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
Negara Teluk yang sebelum ini menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron Iran turut memantau perkembangan tersebut dengan penuh kebimbangan.
Penasihat diplomatik Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Anwar Gargash, berkata negara Teluk masih berharap penyelesaian diplomatik dapat dicapai, tetapi bersedia menghadapi kemungkinan paling buruk.
“Secara logiknya, pendirian Iran dan Amerika Syarikat masih jauh antara satu sama lain.
“Jika jurang pendirian itu tidak dapat dirapatkan, kita perlu bimbang kemungkinan paling buruk akan berlaku,” katanya. – Agensi berita