DUBAI/WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat menyerang tapak radar pantai Iran pada 6 Jun selepas menembak jatuh dron Iran yang dilancarkan ke arah Selat Hormuz, menurut tentera Amerika, dalam peningkatan ketegangan terbaru yang merumitkan usaha menamatkan perang antara kedua-dua negara.

Tentera Amerika percaya empat dron itu menyasarkan laluan perkapalan serantau, kata seorang pegawai Amerika kepada Reuters.

Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom) berkata di platform X bahawa Amerika kemudian menyerang tapak pengawasan Iran di Goruk dan Pulau Qeshm – kededuanya terletak di Selat Hormuz.

Amerika dan Iran sedang mengadakan rundingan tidak langsung bagi mencapai perjanjian sementara untuk menghentikan perang yang telah berlarutan selama tiga bulan, sementara isu seperti program nuklear Iran akan dibincangkan kemudian.

Teheran mahu memperoleh hasil minyak bernilai berbilion dolar, pengecualian sekatan eksport minyak mentah, penamatan sekatan terhadap pelabuhannya serta pengaruh ke atas Selat Hormuz. Iran telah menyekat selat itu, yang sebelum perang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menghadapi tekanan politik dalaman akibat kenaikan harga petrol untuk menamatkan perang tersebut.

Beliau berkata kepada NBC kebanyakan tapak pembuatan dron dan peluru berpandu Iran telah dimusnahkan, dengan Iran masih memiliki kira-kira 21 hingga 22 peratus daripada stok peluru berpandunya.

“Mereka masih mempunyai beberapa peluru berpandu dan dron. Ia masih banyak, tetapi tidak seperti ketika kami mula menyerang,” katanya.

Apabila ditanya mengapa Iran belum mencapai persetujuan, Encik Trump berkata pemimpin negara itu tidak cenderung untuk mencapai persetujuan.

“Mereka tegar... tidak mahu mengalah. Ada perkara yang tidak pernah mereka sangka akan dilakukan, tetapi kini terpaksa melakukannya. Mereka tiada pilihan lain, dan ia mengambil sedikit masa.”

Israel dan Amerika memulakan perang dengan serangan ke atas Iran pada lewat Februari.

Di Lebanon, Hezbollah yang disokong Iran berkata pada 5 Jun mereka melancarkan dua serangan terhadap tentera Israel di selatan negara itu, termasuk berhampiran Istana Beaufort yang baru ditawan, manakala pihak keselamatan Lebanon melaporkan serangan udara Israel ke atas beberapa bandar di selatan Lebanon.

Iran menegaskan sokongannya kepada Hezbollah dan menuntut pengunduran Israel dari selatan Lebanon. Teheran menjadikan gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah sebagai syarat bagi sebarang perjanjian damai dengan Washington untuk menamatkan perang.

Pusingan terbaru pertempuran antara Hezbollah dengan Israel tercetus pada awal Mac, dua hari selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.

Pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, minggu ini menolak perjanjian yang diusahakan Amerika antara Israel dengan pemerintah Lebanon untuk menghentikan pertempuran kerana ia tidak memperuntukkan pengunduran Israel, selain Hezbollah tidak terlibat dalam rundingan itu.

Israel terus melancarkan serangan di selatan Lebanon, menegaskan tenteranya tidak akan berundur atau menghentikan operasi di negara itu di tengah ketegangan yang meningkat bersama Amerika.

Speaker Parlimen Lebanon dan sekutu Hezbollah, Encik Nabih Berri, berkata pada 5 Jun beliau bersetuju dengan pengunduran Hezbollah dari selatan Lebanon jika tentera Israel turut berundur dari wilayah yang diduduki.

Selain Lebanon, penduduk di Gaza, utara Israel dan Kuwait turut diserang minggu ini walaupun terdapat gencatan senjata yang diatur Amerika yang menurut Encik Trump hanya melibatkan “tembakan secara lebih sederhana”, dan bukannya penghentian sepenuhnya pertempuran. – Agensi berita.