SEOUL: Seorang lelaki ditembak mati oleh bapanya sendiri ketika menyambut majlis hari lahir di sebuah pangsapuri di Korea Selatan sekitar 9.30 malam, pada 19 Julai lalu.
Polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang memaklumkan bahawa bapa mentuanya bertindak menembak suaminya. Sebaik tiba di lokasi, polis menemui mangsa sudah terbaring dengan kesan tembakan, lapor World Of Buzz.
Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu kemudiannya dikejarkan ke hospital pada 11.09 malam namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Dalam pada itu, suspek melarikan diri dari lokasi kejadian namun ditahan kira-kira 12.20 pagi di kawasan Gangnam, Seoul, menurut laporan Korea JoongAng Daily.
Ketika ditahan, suspek berusia 63 tahun itu masih membawa senjata iaitu senapang buatan sendiri berbentuk paip dan diisi peluru ‘buckshot’ yang digunakan untuk menembak anaknya di bahagian dada.
Sementara itu, jiran mangsa memaklumkan mereka sering mendengar pertengkaran antara bapa dan anak itu dan penduduk di pangsapuri Ssangmun-dong menyifatkan suspek sebelum ini ramah namun semakin menyepi sejak beberapa tahun lalu.
Selepas penahanan, suspek memaklumkan kepada polis bahawa dia bertindak memasang alat letupan di kediamannya, menyebabkan pihak berkuasa segera mengosongkan pangsapuri yang menempatkan 105 penduduk dan menghantar pasukan operasi khas polis.
Pasukan keselamatan kemudian menyahaktifkan satu bom buatan sendiri yang mengandungi petrol, thinner, pemasa dan alat pencetus letupan, yang dijadual meletup pada jam 12 tengah hari.
Bagaimanapun, tindakan pantas polis berjaya menghalang letupan kira-kira tujuh jam lebih awal.
Pemeriksaan lanjut di pangsapuri suspek turut menemukan 14 lagi peranti letupan, bersama beberapa tong berisi cecair mudah terbakar dan peralatan pencetus api tambahan.
Polis dalam kenyataannya berkata pihaknya sedang menyiasat bagaimana senjata dan bahan letupan itu dibuat serta motif di sebalik kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, senjata berkenaan dipercayai buatan sendiri dan tidak dibeli secara komersial,” katanya. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg