Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Blinken ke Israel usahakan langkah konkrit lindungi orang awam di Gaza

Nov 03, 2023 | 11:15 AM



WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata pada Khamis bahawa beliau akan mendapatkan “langkah konkrit” daripada Israel untuk mengurangkan bahaya kepada orang awam di Gaza tatkala beliau berkunjung buat kali kedua ke Timur Tengah sejak serangan Hamas mencetuskan perang.


Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pula berikar memberi sokongan penuh dan meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Israel dalam serangan balasnya di Gaza, tetapi dalam nada tampak berubah, beliau turut melahirkan simpati terhadap penderitaan rakyat Palestin yang telah mencetuskan kemarahan di beberapa belahan dunia.

“Kami akan bercakap tentang langkah konkrit yang boleh dan patut diambil untuk meminimumkan bahaya kepada lelaki, wanita dan kanak-kanak di Gaza,” kata Encik Blinken kepada pemberita sebelum berlepas daripada Pangkalan Tentera Udara Andrews dekat Washington.

“Ini adalah sesuatu yang menjadi iltizam Amerika,” tambahnya, sehari sebelum pertemuan terbarunya dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Kenyataannya dibuat sehari selepas Presiden Biden menyeru Israel supaya menghentikan peperangan buat sementara bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.

Bagaimanapun, Amerika menentang gesaan dari seluruh dunia Arab dan beberapa sekutu Eropah supaya dilaksanakan gencatan senjata atas alasan Hamas tidak berniat menghentikan serangan dan hanya akan menggunakan gencatan senjata untuk berpadu semula.

“Apabila saya melihat seorang kanak-kanak Palestin – seorang lelaki, seorang perempuan – ditarik keluar daripada runtuhan bangunan, saya tersentak sama seperti melihat seorang kanak-kanak di Israel atau di mana-mana sahaja,” kata Encik Blinken.

“Jadi ini adalah sesuatu yang kami mempunyai kewajipan untuk bertindak balas, dan kami akan melakukannya,” tambahnya.

Presiden Biden memberitahu wartawan bahawa 74 warga Amerika selamat sampai ke Mesir dari Gaza pada Khamis, sebagai tambahan kepada lima orang pada hari pertama.

Selain ke Israel, Encik Blinken – dalam lawatan keempatnya ini sejak serangan Hamas, termasuk perjalanan semasa menemani Presiden Biden – juga dijadualkan ke Jordan serta kemungkinan melakukan perhentian lain sebelum meneruskan lawatan ke Asia yang dijadualkan sebelum ini.

Jordan, yang merupakan negara Arab kedua yang berdamai dengan Israel, telah menarik balik dutanya sebagai memprotes “malapetaka kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelumnya” disebabkan oleh serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

Encik Blinken berkata pentadbiran Presiden Biden masih percaya bahawa penyelesaian dua negara adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan konflik itu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >