Topik diikuti
Pergi ke BHkuDakwaan penipuan penyelidikan gegar penyertaan Indonesia di persidangan antarabangsa
Dakwaan penipuan penyelidikan gegar penyertaan Indonesia di persidangan antarabangsa
Dakwaan penipuan penyelidikan gegar penyertaan Indonesia di persidangan antarabangsa
JAKARTA: Dakwaan penipuan penyelidikan melibatkan beberapa peserta Indonesia dalam sebuah persidangan perubatan antarabangsa di Denmark kini mencetuskan siasatan pemerintah serta kebimbangan mengenai integriti akademik negara itu.
Kontroversi tersebut tercetus ketika berlangsungnya Simposium Antarabangsa Pneumokokus dan Penyakit Pneumokokus 2026 (ISPPD) di Copenhagen dari 17 hingga 21 Mei lalu.
Persidangan itu menghimpunkan lebih 1,300 peserta dari 86 negara, namun perhatian bertukar kepada dakwaan manipulasi identiti, data penyelidikan yang diragui dan kemungkinan penggunaan kandungan dijana kecerdasan buatan (AI) secara tidak beretika.
Isu tersebut mula mendapat perhatian selepas ahli epidemiologi Indonesia, Cik Wa Ode Dwi Daningrat, berkongsi pemerhatiannya mengenai beberapa kejanggalan yang berlaku sepanjang persidangan itu.
Cik Dwi, yang sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah di Universiti Oxford menghadiri acara itu bersama pasukan penyelidikan universiti berkenaan.
Menurut beliau, komuniti penyelidikan pneumonia Indonesia sebenarnya kecil dan kebanyakan penyelidik saling mengenali menerusi penerbitan akademik serta jaringan penyelidikan antarabangsa.
Namun, beliau mula curiga apabila seorang peserta dikenali sebagai Prihantini didakwa mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan delegasi Indonesia lain dan memperkenalkan dirinya menggunakan nama berbeza kepada individu berlainan.
“Kami mula berasa pelik kerana komuniti penyelidikan ini kecil. Kebanyakan penyelidik biasanya mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Kecurigaan semakin meningkat apabila Cik Dwi mendakwa menemui ketidakpatuhan dalam beberapa set data penyelidikan yang dibentangkan peserta terbabit.
Beliau kemudian bersama beberapa rakan menghadiri beberapa sesi pembentangan melibatkan individu sama.
Dalam satu sesi, seorang pembentang menggunakan nama “Riana Dwi Kurniawati” mempersembahkan kajian bertajuk “Pulau Haba Bandar dan Kerentanan Paru-Paru Akibat Penuaan” (“Urban Heat Islands and Ageing Lung Vulnerability”) sambil memperkenalkan dirinya sebagai “Riana”.
Namun kira-kira 10 minit kemudian, Cik Dwi mendakwa beliau melihat wanita sama muncul dalam sesi pembentangan lain selepas menukar tudung merah dan memakai kad pengenalan baharu dengan nama “Dimas Fajar Prasetyo”.
Menurut Cik Dwi, individu itu kemudian membentangkan kajian lain berkaitan penggunaan AI dan strategi vaksin pneumokokus sambil memperkenalkan dirinya sebagai “Dimas”.
“Perubahan identiti itu berlaku dalam tempoh yang sangat singkat dan ia menimbulkan banyak persoalan,” katanya.
Nama Prihantini dilaporkan tidak tersenarai sebagai penulis bagi kedua-dua kajian tersebut, namun Cik Dwi mendakwa individu itu menghantar lima tajuk penyelidikan berasingan untuk dipamerkan dalam bentuk poster di persidangan berkenaan.
Kebimbangan turut timbul terhadap beberapa manuskrip yang mendakwa menjalankan penyelidikan di negara seperti Peru, Ethiopia, Bangladesh, Sudan Selatan, Kenya, Nepal dan utara India tanpa menyenaraikan rakan kerjasama tempatan atau menjelaskan proses kelulusan etika penyelidikan.
Beberapa nama dari Indonesia termasuk Prihantini, Rifaldy Fajar dan Rini Winarti kini menjadi tumpuan selepas peserta persidangan mempersoalkan kesahihan kajian yang dibentangkan.
Susulan kontroversi itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Encik Brian Yuliarto, berkata kerajaan sedang menjalankan siasatan bersama pihak berkaitan.
“Kami sedang terus menyelaras dan menyiasat perkara ini bersama pihak berkaitan untuk mengesahkan fakta, termasuk status individu terbabit, institusi mereka dan kaitan mereka dengan universiti atau institusi penyelidikan di Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Institut Teknologi Bandung (ITB) turut mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan melibatkan Prihantini yang dikenal pasti sebagai graduan sarjana matematik universiti tersebut.
Menurut ITB, bahan pembentangan yang dikaitkan dengan Prihantini tidak mempunyai kaitan dengan penyelidikan akademiknya di universiti berkenaan.
Universiti itu menjelaskan tesis sarjana Prihantini sebenarnya berkaitan kajian analisis ombak air akibat tanah runtuh di pantai bercerun.
ITB menegaskan dakwaan salah laku itu merupakan tanggungjawab individu dan bukan institusi.
“ITB tetap komited mempertahankan integriti akademik dan tidak bertolak ansur terhadap plagiat, pemalsuan data, manipulasi keputusan atau sebarang bentuk salah laku saintifik,” menurut kenyataan universiti itu.
Kontroversi tersebut turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli politik Indonesia.
Anggota Suruhanjaya X Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia yang menyelia bidang pendidikan, Encik Ferdiansyah, berkata kes itu menunjukkan kelemahan sistem pemantauan akademik negara serta tekanan besar terhadap penyelidik untuk mengejar merit penerbitan.
“Apa yang perlu diberi perhatian ialah mengapa fenomena seperti ini boleh berlaku sejak awal, termasuk tuntutan merit penerbitan, sistem pemantauan yang agak lemah dan kurangnya tekanan sosial terhadap pelaku,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa salah laku saintifik boleh merosakkan reputasi akademik Indonesia di peringkat antarabangsa serta menjejaskan kredibiliti penyelidik yang benar-benar berintegriti.
“Pihak yang paling rugi ialah penyelidik jujur dan penganjur saintifik yang berwibawa. Jika isu ini terus membesar, sistem pendidikan Indonesia boleh dilihat sebagai tidak jujur,” katanya.
Encik Ferdiansyah turut mencadangkan pemeriksaan kelayakan akademik lebih ketat, hukuman lebih tegas terhadap salah laku penyelidikan serta senarai hitam terhadap jurnal atau penganjur persidangan yang disyaki mengamalkan amalan pemangsa akademik. - Agensi berita
