Nasi lemak dengan durian?
Gabungan raja buah tersebut bersama Nasi Lemak telah mengundang reaksi bercampur baur daripada warganet dengan ada yang mempersoalkan ‘ciptaan’ tersebut.
Ini menyusuli video TikTok yang dimuat naik @kl.foodie pada Ahad yang menjadi tular.
Video tersebut memaparkan sebuah kedai makan In Between X Briyani Mak di Kuala Lumpur yang membolehkan pelanggan untuk memilih antara durian Musang King, XO, Blackthorn dengan Tekka untuk dimakan bersama Nasi Lemak.
Nasi Lemak merupakan hidangan yang lazimnya dimakan bersama sambal, ikan bilis, kacang, timun, telur dan kadangkala ayam, ikan atau daging. Ada pula disampingkan dengan sotong sambal dan udang galah.
Sesetengah warganet yang telah menonton video tersebut mempersoalkan gabungan nasi lemak dengan durian dengan ada yang merasakan ia meloyakan.
Pengguna TikTok Pnggil_Aku_Hasnol berkata:
“Dah makin rosak dah menu kita skg (sekarang) nih...”.
Sementara itu, pengguna user3070396363662 berkata:
“Ha..... Nasi lemak durian biar betul, saya tak pandai mkn (makan) durian dengan nasi atau pulut. Maaf.”
Ada pula yang berseloroh dan berkata bahawa gabungan durian dengan Nasi Lemak “bukan fusion” tetapi “confusion”, yang membawa maksud kekeliruan.
Sesetengah pula memberi komen bahawa durian itu patut dijadikan tempoyak yang dibuat daripada durian yang diperam.
Manakala itu, ada juga yang memuji ciptaan tersebut.
Pengguna TikTok cctan6878 berkata:
“Sedap giler.”