Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Fasa ‘intensif’ perang di selatan Gaza akan berakhir ‘tidak lama lagi’: Israel

Jan 16, 2024 | 03:47 PM



GAZA: Israel berkata fasa “intensif” perangnya terhadap Hamas di selatan Gaza yang telah musnah akan berakhir “tidak lama lagi”, apabila ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu supaya dilaksanakan “gencatan senjata kemanusiaan segera”.


Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, memberitahu sidang akhbar pada 15 Januari bahawa “fasa pergerakan sengit” yang akan berlangsung sekitar tiga bulan “akan berakhir tidak lama lagi” di selatan Gaza.

Beliau berkata fasa itu sudah pun dicapai di utara Gaza, dengan tentera Israel mengesahkan satu daripada empat bahagiannya di wilayah itu selesai berundur pada 15 Januari.

Hamas mengumumkan kematian dua tawanan Israel yang ditahannya semasa serangan pada Oktober yang mencetuskan perang, dalam video yang dikutuk Israel sebagai “penggunaan tebusan yang tidak bersalah secara kejam”.


Pertempuran telah melanda Jaluran Gaza sejak 7 Oktober, apabila militan Hamas melakukan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel yang mengakibatkan kira-kira 1,200 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.


Berikrar untuk memusnahkan Hamas, Israel memulakan kempen ketenteraan tanpa henti – pengeboman dan serangan darat – yang telah membunuh lebih 24,100 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin yang dikendalikan Hamas.


Tentera Israel dilaporkan telah meningkatkan operasi dan pengeboman di bandar selatan Khan Yunis dan Rafah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, selepas mendakwa ia telah memusnahkan struktur tentera Hamas di utara Gaza.

Kabinet Israel telah meluluskan bajet 2024 yang dipinda termasuk tambahan 55 bilion shekel ($19.5 bilion) untuk menampung kos perang, sehari selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata pertempuran masih akan berterusan selama berbulan-bulan.

PBB berkata bahawa konflik berlanjutan lebih tiga bulan telah menyebabkan kira-kira 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, bersesak-sesak ke tempat perlindungan dan bergelut untuk mendapatkan makanan, air, bahan api dan rawatan perubatan.

Israel berdepan tekanan antarabangsa yang kuat berhubung krisis kemanusiaan Gaza dan jumlah korban awam yang semakin meningkat, dengan kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah itu melaporkan 60 kematian dalam pengeboman semalaman pada 14 dan 15 Januari.

Keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel, bedilan di sempadan Israel dengan Lebanon dan serangan oleh tentera Amerika Syarikat dan pemberontak Houthi di Yaman yang disokong Iran di Laut Merah telah menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan konflik di luar Jaluran Gaza.

Ketua PBB, Encik Antonio Guterres, pada 15 Januari mengulangi gesaan untuk gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.

“Kami memerlukan gencatan senjata kemanusiaan segera. Untuk memastikan bantuan mencukupi sampai ke tempat diperlukan. Untuk memudahkan pembebasan tebusan. Untuk meredakan bahang peperangan lebih luas kerana semakin lama konflik di Gaza, semakin besar risiko peningkatan dan salah perhitungan,” kata Encik Guterres pada taklimat media di New York.

Encik Guterres turut mengecam situasi kemanusiaan di Gaza yang dikatakannya sukar digambarkan.

Kekurangan sumber air bersih di Bandar Gaza dan utara Gaza menyaksikan rakyat Palestin berdepan tragedi ngeri umpama menunggu hukuman mati.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med berkata penduduk Palestin terpaksa berdepan kesukaran apabila bekalan air di Semenanjung Gaza terputus akibat pengeboman sumber air dan telaga secara sistematik dan disengajakan oleh Israel, selain kekurangan bahan api untuk proses menghasilkan air bersih.

Ketua pembangkang Israel, Encik Yair Lapid, pada 15 Januari mengecam ketidakupayaan Encik Netanyahu mengendalikan perang di Gaza sehingga mengheret rejim itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Encik Lapid berkata kegagalan Encik Netanyahu dalam menguruskan peperangan juga mendorong Israel terjerumus dalam krisis ekonomi mendalam dan menjejaskan wang rakyat.

“Netanyahu tidak layak mengendalikan perang Gaza. Israel memerlukan perubahan sekarang dan tidak ada kemungkinan untuk menunggu lagi,” kata Encik Lapid di X (dahulu Twitter).

Afrika Selatan memfailkan tuntutan di ICJ mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza ketika serangan tentera yang membawa maut. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >