Hasrat ingin niaga takoyaki, tetapi ia turut menjadi sesi mendengar ulasan pula.
Demikian yang berlaku pada salah seorang pengendali gerai makanan takoyaki yang dikenali di Tiktok sebagai Umikhalsumhamid.
Daripada video yang dimuat naik di Tiktok beliau pada Isnin (18/9), beliau tercuit hati melihat gelagat sekumpulan pelajar SBPI Kubang Pasu menanti giliran membeli makanannya.
Menurut catatannya itu, beliau antara peniaga yang mengendali gerai takoyaki di Bukit Kayu Hitam, Kedah, sempena hari terbuka Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu.
Daripada video itu, salah seorang pelajar dilihat memberi ulasan cara masakan takoyaki bak seorang pengulas bola sepak.
Pelajar dalam lingkungan usia remaja itu berkata: “Dan kita lihatkan kak Takoyaki ketika ini sedang memusingkan, menggunakan pusingan 90 darjah, memusingkan kedua-dua bahagian muka belah takoyaki itu untuk menghasilkan struktur Takoyaki yang rangup dan lebih lazat.
“Namun kita lihatkan satu-persatu Takoyaki dibakar, dipusingkan. Adakah ini perjuangannya. Satu-persatu dibakar namun tidak dapat dimasukkan dalam satu persatu ketika ini.
“Kita mengharapkan satu-persatu Takoyaki mula dimasukkan ke dalam bekas jaring.. melakukan satu persatu..apakah ini pengakhirannya,” ulas remaja berkenaan sambil melihat Takoyaki di hadapannya.
Video tersebut tular di media sosial Malaysia, di mana ia menarik lebih 400,000 tontonan dan lebih 50,000 ‘likes’.
Pengendali gerai itu berkata dalam catatannya: “Padu dik... Tak sangka jumpa pengulas takoyaki dalam ni. Semoga adik-adik terus sukses.”
Warganet yang memberi komen dalam catatan tersebut memuji suara remaja itu, yang dikatakan mempunyai ciri pengulas sukan.
Tidak kurang juga mereka yang menggesa agar pelajar itu diberi peluang adu bakat dalam memberi ulasan sukan.