BURIRAM, THAILAND: Seorang guru sains lelaki berusia 36 tahun ditahan polis Thailand selepas dipercayai mencuri puluhan pakaian dalam milik jururawat dari dua daerah berbeza di wilayah Buriram.
Suspek yang dikenali sebagai ‘Noi’ ditahan sekitar 3 pagi pada 28 Jun lalu di kediamannya di daerah Non Din Daeng, selepas dua laporan dibuat berhubung kehilangan pakaian dalam yang disidai di luar asrama jururawat Hospital Lahan Sai.
Ketua Polis Lahan Sai, Kolonel Polis Rungroj Nonsee berkata suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 18 dan 28 Jun, masing-masing sekitar 1 pagi hingga 2 pagi.
“Siasatan mendapati suspek menanggalkan nombor pendaftaran motosikal untuk mengelak dikesan, sebelum memanjat pagar dan tembok bangunan asrama bagi mencuri pakaian dalam berkenaan.
“Dia turut memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) di salah satu lokasi dan memakai topi sebagai penyamaran,” katanya menerusi laporan media tempatan Thailand.
Menurut Kolonel Rungroj, suspek mengaku mencuri pakaian dalam itu kerana menyimpan perasaan terhadap jururawat dan akan menghidu bau pakaian tersebut sehingga bau asal hilang, sebelum membakarnya atau membuang satu demi satu.
Dalam serbuan di rumah suspek, polis menemui lebih 10 helai baju dalam wanita berwarna ungu dan hitam, pakaian seragam jururawat serta tuala milik petugas kesihatan yang disorokkan dalam bilik tidur.
“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga menunjukkan keputusan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambah beliau suspek kini disiasat atas kesalahan mencuri di tempat awam dan penyalahgunaan dadah.
Polis turut mendedahkan bahawa suspek pernah terlibat dalam kes serupa membabitkan kecurian pakaian dalam wanita di daerah Nang Rong pada 2019.
Orang awam atau individu yang pernah mengalami kehilangan pakaian dengan modus operandi sama diminta tampil membantu siasatan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg