Topik diikuti
Pergi ke BHkuHakim AS sekat aturan visa lebih ketat Trump bagi pelajar, wartawan asing
Hakim AS sekat aturan visa lebih ketat Trump bagi pelajar, wartawan asing
WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat menangguhkan pelaksanaan dasar pentadbiran Presiden Donald Trump yang mahu mengehadkan dengan lebih ketat tempoh pelajar antarabangsa dan wartawan asing boleh belajar atau bekerja di negara itu.
Hakim Mahkamah Daerah, Encik Dennis Saylor, mengeluarkan perintah sementara pada 14 September, sehari sebelum peraturan visa baru oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dijadualkan berkuat kuasa.
Di bawah peraturan yang dicadangkan, pemegang visa pelajar asing hanya dibenarkan berada di Amerika Syarikat sehingga maksimum empat tahun.
Selepas tempoh itu, mereka perlu memohon lanjutan untuk meneruskan pengajian.
Sistem sedia ada membolehkan pelajar antarabangsa berada di Amerika Syarikat sepanjang tempoh pengajian mereka, tanpa tertakluk kepada had tetap empat tahun.
Peraturan baru itu turut memberi kesan kepada wartawan asing.
Mereka hanya dibenarkan berada di Amerika Syarikat selama 240 hari, atau kira-kira lapan bulan, sebelum perlu memohon lanjutan bagi tempoh yang sama.
Ketika ini, wartawan asing boleh diberikan tempoh tinggal sehingga lima tahun.
Wartawan China pula akan tertakluk kepada peraturan lebih ketat, dengan tempoh tinggal hanya 90 hari dan perlu memohon lanjutan setiap 90 hari.
Gabungan kesatuan yang mewakili universiti, tenaga pengajar dan wartawan memfailkan saman bagi mencabar sekatan tersebut.
Encik Saylor memutuskan pelaksanaan peraturan DHS itu perlu ditangguhkan sementara kes berkenaan dipertimbangkan.
Beliau belum membuat keputusan sama ada dasar itu sah di sisi undang-undang dan menetapkan satu lagi pendengaran pada 2 Oktober.
Bagaimanapun, dalam memorandum yang mengiringi keputusannya, hakim itu menyuarakan keraguan terhadap alasan dan kesan sekatan berkenaan.
Menurutnya, sistem sedia ada sudah membolehkan puluhan juta pelajar asing datang ke Amerika Syarikat selama bertahun-tahun dan membawa manfaat besar kepada negara itu.
Ia termasuk menghasilkan penyelidikan penting dalam bidang sains, perubatan dan teknologi, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Daripada berusaha memperbaiki sistem itu, DHS memilih untuk menggantikannya dengan program baru yang akan mengehadkan dengan ketara jumlah keseluruhan pelajar, penyelidik, profesor dan wartawan asing,” katanya.
Antara kebimbangan utama beliau ialah kuasa luas yang diberikan kepada DHS untuk menentukan sama ada permohonan melanjutkan tempoh visa harus diluluskan.
Menurut Encik Saylor, keputusan untuk menolak permohonan lanjutan visa di bawah sistem baru itu terletak sepenuhnya pada budi bicara DHS dan tidak boleh dirayu.
Ini bermakna seorang pegawai DHS, berdasarkan kriteria yang disifatkannya sebagai terhad dan kurang jelas, boleh menyebabkan kegiatan pengajian, penyelidikan atau pengajaran seseorang warga asing di Amerika Syarikat terpaksa dihentikan lebih awal.
Pelajar atau tenaga akademik yang terjejas pula tidak mempunyai saluran untuk merayu keputusan tersebut.
Encik Saylor menyuarakan kebimbangan serupa mengenai kesannya terhadap wartawan asing.
Menurutnya, wartawan yang permohonan lanjutan visanya ditolak juga tidak mempunyai saluran untuk mencabar keputusan itu.
Beliau memberi amaran keadaan tersebut membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, terutama terhadap wartawan asing yang membuat liputan kritikal mengenai pemerintah Amerika Syarikat atau pegawai DHS.
“Kemungkinan berlakunya penyalahgunaan sangat besar,” katanya.
Ketika mencadangkan perubahan tersebut, DHS menyatakan sekatan lebih ketat diperlukan atas alasan keselamatan negara.
Encik Saylor bagaimanapun mempertikaikan alasan itu dan berkata hujah berkenaan “hampir tidak masuk akal” kerana menurutnya ia sebahagian besarnya berdasarkan hanya beberapa contoh kes.
Cadangan sekatan visa itu merupakan sebahagian daripada tindakan lebih luas pentadbiran Encik Trump untuk mengetatkan dasar imigresen Amerika Syarikat.
Sejak kembali ke Rumah Putih, Encik Trump melaksanakan operasi penguatkuasaan imigresen secara agresif di beberapa bandar utama, di samping mengetatkan beberapa saluran imigresen sah dan laluan untuk mendapatkan kerakyatan.
Peraturan membabitkan pelajar asing boleh memberi kesan besar memandangkan Amerika Syarikat kekal sebagai destinasi utama pendidikan tinggi antarabangsa.
Menurut data rasmi, lebih 1.1 juta pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di Amerika Syarikat pada tahun akademik 2023-2024, jumlah tertinggi berbanding negara lain.
Buat masa ini, pelajar antarabangsa dan wartawan asing tidak akan tertakluk kepada had tempoh baru itu sementara mahkamah meneruskan pertimbangan terhadap cabaran undang-undang berkenaan.
Pendengaran pada 2 Oktober dijangka menentukan langkah seterusnya dalam pertikaian mengenai sejauh mana pemerintah Amerika Syarikat boleh mengehadkan tempoh mereka belajar dan bekerja di negara itu. - Agensi berita
