Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas terima usul jawatankuasa bersama Palestin tadbir Gaza lepas perang

Dec 6, 2024 | 11:03 AM
Penduduk Palestin duduk termenung di atas puing-puing bangunan yang runtuh akibat dibom tentera Israel dalam serangan di Nuseirat, tengah Gaza, pada 5 Disember.
Penduduk Palestin duduk termenung di atas puing-puing bangunan yang runtuh akibat dibom tentera Israel dalam serangan di Nuseirat, tengah Gaza, pada 5 Disember. - Foto AFP

KAHIRAH: Hamas menyatakan ia telah menerima cadangan Mesir untuk membentuk jawatankuasa bersama Palestin bagi mengendalikan Jaluran Gaza selepas perang berakhir.

Dalam satu kenyataan pada 5 Disember, Hamas berkata ia telah mengadakan perbincangan mendalam dengan kumpulan Fatah di Kahirah untuk membentuk jawatankuasa bagi mengendalikan Gaza.

Ini diputuskan rakyat melalui pelaksanaan rangka kerja yang dipersetujui sebelum ini untuk mencapai perpaduan Palestin.

“Hamas menyampaikan persetujuannya terhadap cadangan Mesir untuk membentuk jawatankuasa sokongan komuniti yang akan berfungsi melalui mekanisme nasional yang inklusif,” tambahnya.

Hamas berkata lagi bahawa delegasinya di Kahirah turut mengadakan perbincangan dengan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), sebuah lagi kumpulan Palestin, untuk membincangkan perkembangan di Gaza dan Tebing Barat.

Di samping itu, pertemuan tambahan telah diadakan dengan tokoh terkenal Palestin bagi mengongsi maklumat terkini mengenai perbincangan dengan Fatah dan cadangan Mesir, tambahnya.

Sejak 2007, perpecahan geografi dan politik berterusan antara Hamas dengan Fatah, dengan banyak perantaraan dan perjanjian serantau dan antarabangsa gagal merapatkan jurang itu.

Keretakan yang berterusan itu telah memecahbelahkan tadbir urus Palestin, dengan Hamas mengawal Gaza dan Penguasa Palestin yang diketuai oleh Fatah, mentadbir bahagian Tebing Barat.

Israel melancarkan perang di Jaluran Gaza berikutan serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh hampir 44,600 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 105,700 yang lain.

Serangan Hamas itu telah membunuh lebih 1,200 orang dan menculik lebih 240 sebagai tebusan.

Serangan berterusan Israel sehingga kini hampir memusnahkan sebahagian besar Gaza dan menyebabkan krisis kelaparan akibat kurang bantuan kemanusiaan disalurkan kepada 2.4 juta penduduk di wilayah Palestin itu.

Pada 11 November, sidang Puncak Luar Biasa Negara Arab-Islam, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara, mendesak agar satu pelan tindakan segera dengan langkah konkrit dan jadual jelas dapat diwujudkan di bawah tajaan antarabangsa bagi merealisasikan penubuhan negara Palestin yang berdaulat.

Pihak Hamas, sebagai tindak balas kepada ketetapan tersebut, menggesa agar janji yang dibuat oleh negara Arab dan Muslim diterjemahkan kepada tindakan nyata.

“Penubuhan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmakdis sebagai ibu kotanya memerlukan usaha yang lebih pantas serta penyelesaian praktikal untuk memaksa Israel menghentikan serangan dan pembunuhan terhadap rakyat kami,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Namun, Israel terus menolak sebarang saranan bagi pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg