Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

NOTA DARI KL

Haramkan The 1975, M’sia tegas pendirian

Jul 29, 2023 | 05:30 AM



KORESPONDEN MALAYSIA


Malaysia digegarkan dengan perihal kumpulan muzik dari Britain, The 1975, yang melakukan aksi tidak senonoh ketika mengadakan persembahan sempena Good Vibes Festival pada 21 Julai, di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Vokalis utamanya, Matty Healy, bukan sahaja melakukan aksi biadab dengan adegan cium bersama pemuzik lelakinya, malah turut secara terbuka mengkritik undang-undang Malaysia yang melarang ideologi lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Maka, bertempiklah rakyat Malaysia termasuk ada menyalahkan kerajaan yang didakwa mudah meluluskan permit dan membenarkan kemasukan kumpulan muzik yang telah diketahui penuh dengan kontroversi itu.

Susulan tindakan biadap The 1975 itu, kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik membatalkan serta-merta festival berkenaan dan mengharamkan kumpulan artis itu di Malaysia.

Sejujurnya, penulis memang tidak pernah mengenali kumpulan The 1975 ini dan hanya tahu kewujudannya selepas kontroversi panas.

Tindakan kerajaan Malaysia membatalkan festival tersebut mendapat pelbagai reaksi.

Tiada sesiapa yang menyangkal perbuatan kumpulan The 1975 itu tidak boleh diterima dan tindakan harus diambil.

Namun, ada yang menyifatkannya tindakan membatalkan langsung festival tersebut bagaikan “seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit”.

Ini kerana pembatalan keseluruhan festival tersebut merugikan kumpulan-kumpulan lain yang dijadual membuat persembahan, termasuk barisan kumpulan dan pemuzik Malaysia sendiri.

Sedangkan artis antarabangsa menerima bayaran penuh sebelum persembahan, terma pembayaran bagi artis tempatan adalah berbeza, menurut seorang wakil penganjur festival tersebut, Future Sound Asia.

Beliau, dalam laporan media sebelum ini, turut menjelaskan 28 pemilik gerai makanan dan minuman di festival tersebut sama terjejas.

Menyifatkan apa yang berlaku dalam sebagai satu “bencana kewangan”, beliau berkata:

“Ia adalah satu keadaan yang amat dikesali dan kami akur kesannya kepada bakat-bakat tempatan.”

Pada masa yang sama, ramai termasuk penulis berpendapat ia satu tindakan tepat seraya mengangkat imej Malaysia di mata dunia sebagai negara Islam yang mempertahankan agama serta kedaulatan negara daripada dicemari anasir songsang seperti The 1975.

Perlakuan The 1975 itu adalah satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan dan tindakan kumpulan yang dijemput menjadi tetamu Malaysia bukan hanya memperlekehkan kedaulatan negara, malah melanggar budaya, norma dan tatasusila rakyat negata itu.

Bagi Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Encik Zed Zaidi, tindakan kerajaan Malaysia membatalkan festival dan mengharamkan The 1975 membuat persembahan di negara ini adalah satu mesej jelas kepada dunia luar bahawa Malaysia sebagai negara Islam tidak berkompromi dalam menegakkan nilai-nilai agama.

“Mungkin ada orang kata apa yang kerajaan Malaysia buat akan menakutkan artis luar untuk datang ke negara ini. Tetapi bagi saya ia lambang ketegasan serta keberanian kerajaan yang membawa mesej jelas kepada dunia luar.

“Kalau artis luar hendak masuk ke Malaysia, kamu wajib ikut undang-undang negara ini. Kumpulan itu cuba melakukan sesuatu yang negatif dan mempromosi aktiviti songsang pada anak muda, justeru ia tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Encik Zed menambah, pihak penganjur perlu mengambil langkah memastikan undang-undang negara dan kod etika dipatuhi oleh kumpulan dan pemuzik yang membuat persembahan, dan jika tidak mereka bertanggungjawab sepenuhnya termasuk dalam soal ganti rugi kepada penonton yang telah membeli tiket dan vendor yang terlibat dalam festival itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Encik Rosmin Hashim, berkata insiden membabitkan kumpulan The 1975 di Malaysia memberi isyarat pentingnya penilaian lebih komprehensif terhadap permohonan mana-mana artis luar yang ingin membuat persembahan di Malaysia.

“Penilaian ini tidak boleh hanya tertumpu kepada jenis muzik dan bentuk persembahan yang dibawa artis luar negara, tetapi juga harus merangkumi nilai hidup dan gaya hidup mereka.

“Saya percaya pengharaman The 1975 oleh Malaysia akan memberi isyarat kepada artis luar negara untuk menghormati norma dan budaya hidup orang Timur jika ingin mengadakan persembahan di Malaysia,” katanya.

Sebagai negara Islam yang turut menyantuni masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama, Malaysia tidak pernah menyekat kebebasan berhibur dan bermuzik, namun perlulah dituntaskan dengan adab dan peraturan demi kesejahteraan bersama.

Muzik yang menyatukan rasa dan jiwa, juga terapi kepada sesetengah orang.

Muzik tidak salah, yang salah adalah pemainnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >