JAKARTA: Indonesia akan memulakan pembinaan Kampung Haji di Makkah, Arab Saudi, pada Disember ini, selepas berjaya menyelesaikan pembelian sebidang tanah seluas 4.4 hektar di kawasan Thakher pada Oktober lalu.

Projek yang bertujuan menyediakan kemudahan penginapan lebih selesa kepada jemaah haji dan umrah Indonesia itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama syarikat pembangunan tempatan Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutif dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, Encik Rosan Roeslani, berkata persiapan projek tersebut sedang dimuktamadkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto di Istana Presiden, Jakarta, pada 3 November.

Menurutnya, pertemuan itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini projek berkenaan, termasuk perancangan pembinaan dan reka bentuk kawasan penginapan jemaah.

“Arkitek akan datang ke Indonesia untuk memberikan pembentangan menyeluruh. Majlis pecah tanah dan permulaan pembinaan dirancang pada Disember,” katanya selepas menghadiri mesyuarat terhad bersama Presiden Prabowo.

Danantara Indonesia, menerusi syarikat pegangan pelaburannya, PT Danantara Investment Management (DIM), sebelum ini mengumumkan pembelian tanah seluas 4.4 hektar di Thakher telah diselesaikan pada 18 Oktober.

Pembelian itu menyusuli pengambilalihan hotel Novotel Thakher Makkah yang mempunyai 1,461 bilik dan suite pada 11 Ogos lalu.

Hotel yang sudah beroperasi itu dijangka menjadi antara kemudahan penting bagi menyokong pembangunan Kampung Haji Indonesia.

Projek berkenaan akan dilaksanakan bersama Al-Khomasiah, rakan pembangunan tempatan, dengan penglibatan Danantara Indonesia di Arab Saudi.

Setiap peringkat pembangunan memerlukan kajian daya maju, kelulusan pihak berkuasa dan penyediaan dokumen berkaitan sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan.

Pemerintah Indonesia berharap pembangunan itu dapat memperkukuh sistem perkhidmatan haji dan umrah, khususnya dalam menyediakan penginapan serta kemudahan sokongan yang memenuhi keperluan jemaah negara tersebut.

Sebelum ini, Utusan Khas Presiden Indonesia bagi Tenaga dan Alam Sekitar, Encik Hashim Djojohadikusumo, mendedahkan bahawa Danantara turut berusaha mendapatkan tanah yang terletak kira-kira 400 meter dari Masjidil Haram.

Menurutnya, lokasi berhampiran masjid itu menjadi keutamaan kerana sebahagian besar jemaah haji Indonesia terdiri daripada warga emas yang menghadapi kesukaran berjalan jauh.

“Ramai jemaah Indonesia yang berangkat ke Tanah Suci sudah berusia. Ada yang berumur 60 hingga 70 tahun dan terpaksa berjalan sejauh sembilan hingga 10 kilometer,” katanya dalam satu taklimat ekonomi di Jakarta pada April lalu.

Beliau berkata kemudahan penginapan berhampiran Masjidil Haram dapat membantu mengurangkan beban fizikal jemaah, terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau pergerakan.

Selain penginapan, Kampung Haji itu turut dirancang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk restoran yang menawarkan makanan Indonesia.

“Saya difahamkan kira-kira 15 menara akan dibina di tapak awal. Terdapat juga kemudahan seperti restoran yang menyediakan masakan Padang dan Aceh. Jemaah warga emas boleh berehat di sana,” katanya.

Encik Hashim menyifatkan pembangunan Kampung Haji sebagai langkah penting untuk memudahkan rakyat Indonesia menunaikan ibadah haji dengan lebih selesa dan pada kos berpatutan.

Beliau turut menjelaskan bahawa rancangan itu dapat dilaksanakan hasil komitmen yang diperoleh Presiden Prabowo daripada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Menurutnya, Indonesia turut memperoleh lokasi kira-kira 2.5 kilometer dari Masjidil Haram yang berpotensi memberikan manfaat besar kepada jemaah negara itu.

Pemerintah Indonesia sebelum ini dilaporkan telah mendapatkan kira-kira 45 hektar tanah bagi rancangan pembangunan Kampung Haji secara keseluruhan.

Bagaimanapun, lokasi yang disebut dalam perancangan terdahulu itu tidak semestinya merujuk kepada tanah seluas 4.4 hektar di Thakher yang pembeliannya telah dimuktamadkan.

Selain memudahkan urusan ibadah, projek tersebut dijangka membuka peluang pelaburan dan perniagaan baharu kepada syarikat Indonesia, khususnya dalam sektor penginapan, makanan halal dan perkhidmatan pelancongan.

Pemerintah Indonesia berharap Kampung Haji itu dapat menjadi pusat perkhidmatan bersepadu yang meningkatkan kebajikan jemaah, di samping memperkukuh hubungan ekonomi dan kerjasama dengan Arab Saudi. – Agensi berita