JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda di luar pantai Pulau Flores di timur Indonesia pada 15 Ogos mengorbankan sekurang-kurangnya 38 nyawa.

Mengesahkan demikian dalam satu sidang media, Ketua Agensi Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Encik Suharyanto, berkata:

“Seramai 38 individu disahkan mati, dua cedera parah dan 11 orang pula mengalami kecederaan ringan.

“Seramai 2,000 orang pula telah meninggalkan lokasi gempa secara sendiri.”

Awal sebelum itu, seorang pegawai penyelamat dari Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Maumere, Encik Fathur Rahman, memberitahu agensi berita AFP, seramai 20 orang terkorban, manakala enam cedera, dan dua lagi masih tertimbus.

Gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud direkodkan pada pagi 15 Ogos bersama puluhan gegaran susulan melanda kawasan timur Indonesia, menurut gabenor wilayah.

Ombak tsunami berukuran kurang daripada 1 meter direkodkan di beberapa lokasi sekitar negara itu, yang kemudian ditarik balik kira-kira tiga jam selepas gempa bumi berlaku.

Rakaman video sebuah pelabuhan di Maumere yang dimuat naik di Facebook dan disahkan Reuters menunjukkan sebahagian bangunan runtuh ketika orang ramai menjerit dan berlari menyelamatkan diri:

Maumere ialah bandar utama di Kabupaten Sikka, di Pulau Flores, Indonesia timur.

Gabenor Nusa Tenggara Timur, Encik Emanuel Melkiades Laka Lena, berkata lima mangsa maut akibat dihempap runtuhan ketika sedang tidur.

Seorang penduduk Talibura, sebuah kampung di Nusa Tenggara Timur, yang ingin dikenali sebagai Cik Nona, 51 tahun, berkata gempa itu sangat kuat dan gegarannya begitu dahsyat.

“Kami sedang berehat di rumah bersama keluarga.

“Terdapat 13 orang di dalam rumah dan kami semua berlari menyelamatkan diri,” katanya.

Agensi Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), dalam kenyataannya berkata gegaran kuat dirasai di seluruh Nusa Tenggara Timur, Nusa Tenggara Barat dan beberapa kawasan di Sulawesi Selatan, dengan penduduk di beberapa kawasan melaporkan gegaran berlanjutan kira-kira seminit,

“Kebanyakan penduduk merasai gegaran dan bergegas keluar dari rumah masing-masing,” katanya.

Sebuah hospital di Kabupaten Ende, Nusa Tenggara Timur, memindahkan pesakit ke luar bangunan berdasarkan rakaman Kompas TV.

Laman Kompas.com melaporkan sekurang-kurangnya satu kejadian tanah runtuh dikesan.

Agensi Geofizik Indonesia (BMKG) merekodkan gempa pertama pada 4.58 pagi waktu tempatan pada kedalaman 15 kilometer, diikuti beberapa gegaran susulan.

Kira-kira 2,000 penduduk di Nagekeo dipindahkan, manakala kerosakan dilaporkan berlaku pada beberapa rumah, gudang dan kemudahan pemerintah, menurut BNPB.

Pihak berkuasa turut melaporkan kesesakan lalu lintas dan gangguan bekalan elektrik yang menjejas beberapa kawasan di wilayah berkenaan.

Pusat Amaran Tsunami Australia berkata gempa bumi dasar laut itu tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada tanah besar, pulau atau wilayah Australia.

Indonesia terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, zon yang sangat aktif dari segi seismik, iaitu kawasan pertemuan plat kerak bumi yang menghasilkan sejumlah besar gempa bumi dan gunung berapi. - Reuters