JAKARTA: Indonesia telah mengemukakan bantahan rasmi kepada pihak berkuasa di United Kingdom (UK) selepas tindakan provokasi oleh seorang pelakon filem dewasa Britain di pejabat perwakilan diplomatik negara itu di London dianggap telah menghina bendera kebangsaan Sang Saka Merah Putih.
Jurucakap Kementerian Luar, Cik Yvonne Mewengkang, berkata insiden itu berlaku pada 15 Disember lalu dan tersebar luas di media sosial.
“Kedutaan Besar Indonesia di London telah memfailkan bantahan rasmi kepada pihak berkuasa Britain, termasuk Pejabat Luar Negeri dan polis tempatan, bagi memohon tindakan susulan selaras dengan undang-undang dan prosedur yang terpakai,” kata Cik Yvonne pada 24 Disember, seperti yang dipetik oleh agensi berita rasmi Antara.
Beliau berkata Indonesia kesal dengan kejadian itu dan menegaskan bendera kebangsaan adalah simbol kedaulatan serta maruah negara yang mesti dihormati pada setiap masa, termasuk di negara luar.
“Kebebasan bersuara tidak boleh digunakan untuk menghalalkan tindakan yang menghina simbol negara atau menjejas rasa hormat-menghormati dalam hubungan antarabangsa,” katanya.
Cik Yvonne menambah Kementerian Luar Indonesia menggesa orang ramai supaya bertenang dan tidak terganggu oleh kandungan dalam talian yang mungkin mencetuskan kontroversi yang tidak perlu.
Wanita yang terbabit dalam kejadian itu, Tia Emma Billinger, 26 tahun, yang menggunakan nama pentas Bonnie Blue, telah dihantar pulang dari Indonesia awal bulan ini (Disember 2025) dan dilarang memasuki semula negara itu selama 10 tahun atas pelanggaran imigresen.
Polis Badung menahan Billinger, dua lelaki Britain dan seorang lelaki Australia pada 4 Disember di sebuah studio di kampung Pererenan, daerah Mengwi, atas dakwaan menghasilkan kandungan pornografi susulan aduan mengenai gangguan ketenteraman awam.
Penyiasat kemudian menyatakan tiada bukti pelanggaran Undang-undang Pornografi, namun Billinger didapati bersalah atas kesalahan trafik yang berasingan oleh Mahkamah Daerah Denpasar pada 12 Disember.
Pemangku Ketua Pengarah Imigresen di Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Yuldi Yusman, berkata pada 22 Disember, larangan kemasukan selama 10 tahun itu dikenakan selepas pihak berkuasa mendapati Billinger dan rakan-rakannya telah menghasilkan kandungan komersial semasa mereka berada di negara itu menggunakan visa pelawat.
“Walaupun dakwaan pornografi tidak terbukti, aktiviti (kumpulan itu) melanggar syarat visa mereka dan bertentangan dengan usaha pemerintah Indonesia untuk menjaga imej pelancongan Bali serta menghormati nilai budaya tempatan,” katanya. - Agensi Berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg