MASHHAD (Iran): Rakyat Iran bersiap sedia mengebumikan mantan Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei, di kota suci Mashhad pada 9 Julai, ketika serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran mengancam mencetuskan semula perang di Asia Barat.

Pengebumian Allahyarham Khamenei, 86 tahun, dijadual berlangsung di Makam Imam Reza, tempat ibadat paling suci di Iran dan antara lokasi paling penting bagi umat Syiah.

Imam Reza ialah satu-satunya daripada 12 imam Syiah yang dikebumikan di Iran.

Upacara itu menutup siri perarakan beberapa hari yang menarik jutaan orang di beberapa bandar Iran dan Iraq, termasuk Teheran, Qom, Najaf dan Karbala.

Gabenor Mashhad, Encik Hassan Hosseini, dipetik televisyen pemerintah sebagai berkata pihak berkuasa menjangkakan sehingga 15 juta orang hadir memberi penghormatan terakhir.

Majlis pengebumian pada awalnya dijadual bermula 6 pagi waktu tempatan, tetapi media tempatan kemudian melaporkan ia ditunda ke 2 petang selepas acara di Iraq berlanjutan lebih lama daripada dirancang.

Menurut agensi berita rasmi Irna, jenazah Allahyarham Khamenei akan dikebumikan pada sebelah malam di Makam Imam Reza.

Beberapa tokoh penting Iran pernah dikebumikan di kawasan makam itu, termasuk mantan presiden Ebrahim Raisi.

Ketua kakitangan Allahyarham Khamenei, Encik Mohammad Mohammadi-Golpaygani, sebelum ini berkata Allahyarham sendiri pernah menyatakan hasrat untuk dikebumikan di Mashhad, kota kelahirannya.

“Beliau mahu disemadikan di Mashhad,” katanya dalam satu siaran televisyen pemerintah.

Pengebumian itu turut sarat dengan simbol politik dan agama.

Perjalanan jenazah melalui beberapa kota suci dilihat sebagai usaha pemerintah Iran menampilkan imej perpaduan selepas perang besar dengan Israel dan Amerika serta selepas negara itu berdepan ketegangan dalaman susulan tindakan keras terhadap bantahan antikerajaan enam bulan lalu.

Allahyarham yang memimpin Iran sejak 1989, terbunuh pada 28 Februari lalu dalam serangan Israel pada hari pertama serangan Amerika-Israel yang mencetuskan perang.

Beliau terbunuh bersama beberapa ahli keluarga dan pegawai kanan Iran.

Jenazahnya akan dikebumikan bersama cucu perempuannya yang masih kecil, menantu lelaki, anak perempuan serta menantunya, Cik Zahra Haddad Adel yang juga isteri kepada anaknya, Encik Mojtaba Khamenei, yang turut terbunuh dalam serangan sama.

Tumpuan pemerhati kini terarah kepada Encik Mojtaba, anak lelaki Allahyarham Khamenei yang dinamakan sebagai penggantinya.

Beliau belum muncul di khalayak ramai sejak serangan itu dan dilaporkan turut cedera dalam kejadian yang membunuh bapanya.

Ketika upacara pengebumian memasuki hari terakhir, ketegangan serantau kembali meningkat selepas Amerika melancarkan serangan baru terhadap beberapa lokasi di pantai Iran.

Markas Pusat Amerika (Centcom) berkata serangan itu bertujuan melemahkan keupayaan tentera Iran untuk mengancam “kebebasan pelayaran” di Selat Hormuz, laluan perkapalan penting dunia.

Serangan Amerika dibuat sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas tiga kapal di perairan berkenaan.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang sebelum ini berkata gencatan senjata dengan Iran sudah “berakhir”, memberi amaran bahawa keadaan boleh menjadi “jauh lebih buruk” jika Teheran terus menyerang kapal di selat itu.

“Jika Iran terus menyerang kapal di Selat Hormuz, apa yang akan berlaku selepas ini akan menjadi jauh lebih buruk,” kata Encik Trump.

Teheran pula sebelum itu mendakwa telah menyerang pangkalan Amerika di Bahrain dan Kuwait, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa konflik yang cuba dihentikan menerusi gencatan senjata rapuh boleh kembali meletus.

Selepas lima minggu pertempuran sengit, Iran dan Amerika sebelum ini mencapai persetujuan awal untuk meredakan konflik.

Namun, serangan terbaharu menunjukkan keadaan masih rapuh dan mudah berubah menjadi perang lebih luas.

Bagi pemerintah Iran, pengebumian Allahyarham Khamenei bukan sekadar majlis keagamaan, malah ujian politik besar.

Kehadiran jutaan orang mahu ditampilkan sebagai bukti bahawa republik Islam itu masih mempunyai sokongan rakyat dan mampu bertahan walaupun kehilangan tokoh paling berkuasa dalam sejarah modennya. – Agensi berita.