Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ISIS mengaku bertanggungjawab atas pengeboman maut Filipina

Dec 04, 2023 | 03:09 PM



MANILA: Kumpulan ISIS mengaku bertanggungjawab atas pengeboman maut pada satu acara perhimpunan agama Katolik di Filipina pada 3 Disember, yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 50 yang lain.


Serangan itu dilakukan di gimnasium universiti di Marawi, sebuah bandar di selatan negara itu yang dikepung oleh militan Islam selama lima bulan pada 2017.

Kumpulan ISIS, yang mempunyai pengaruh di selatan negara itu, berkata di Telegram, anggotanya telah meletupkan bom itu.

Terdahulu pada 3 Disember, sebelum tuntutan ISIS, Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr mengutuk “perbuatan tidak masuk akal dan paling keji yang dilakukan oleh pengganas asing”.

Polis dan tentera memperkukuh keselamatan di selatan negara itu dan sekitar ibu negara Manila.

Di Rome, Paus Fransiskus mendoakan mangsa semasa pidato pada 3 Disember.

Operasi penguatkuasaan undang-undang untuk membawa ke muka pengadilan pelaku “kegiatan pengganas” akan “berterusan tanpa henti”, Setiausaha Pertahanan, Encik Gilberto Teodoro memberitahu sidang akhbar.

Terdapat “petunjuk kukuh unsur asing” dalam pengeboman itu, kata Encik Teodoro, namun beliau enggan mengulas lanjut agar tidak menjejas siasatan yang sedang dijalankan.

Serpihan mortar 60 milimeter ditemui di tempat kejadian, kata pegawai kanan polis, Encik Emmanuel Peralta pada sidang akhbar.

Letupan di Marawi, ibu kota wilayah Lanao del Sur, menyusuli beberapa siri operasi ketenteraan terhadap kumpulan pro-ISIS tempatan, di selatan Filipina, kata ketua tentera itu.

Satu daripadanya yang dijalankan pada 3 Disember di Lanao del Sur, membawa kepada pembunuhan seorang ketua kumpulan Dawlah Islamiya-Maute.

“Kemungkinan apa yang berlaku pagi ini adalah serangan balas,” kata Ketua Angkatan Tentera, Romeo Brawner pada sidang media.

Maute yang dikaitkan dengan ISIS, merampas Marawi pada Mei 2017, bertujuan untuk menjadikannya “wilayah” Asia Tenggara – atau gabenor – untuk ISIS.

Dalam pertempuran lima bulan berikutnya, pemberontak dan tentera Filipina membunuh lebih 1,000 orang, termasuk orang awam.

Imej yang dikongsi oleh penguasa Lanao del Sur di Facebook menunjukkan, pegawai tentera meninjau gimnasium di Universiti Negeri Mindanao, di mana letupan itu berlaku, yang kelihatan utuh kecuali kesan terbakar di bahagian tengah.

Video yang disiarkan oleh radio DZBB di platform media sosial X (sebelum ini Twitter), menunjukkan penyelamat membawa orang yang cedera keluar dari gimnasium di atas kerusi plastik.

Pejabat polis di Mindanao dan wilayah ibu kota diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, dan pusat pemeriksaan polis diperketat “untuk mengelakkan kemungkinan kejadian susulan”, kata pegawai polis Peralta. – Agensi berita.

Pengawal pantai mengarahkan daerahnya untuk memperhebatkan pemeriksaan sebelum berlepas di pelabuhan.


Universiti Negeri Mindanao berkata dalam catatan Facebook, ia “sangat sedih dan terkejut dengan tindakan keganasan yang berlaku semasa perhimpunan agama”.


“Kami dengan tegas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak masuk akal dan ngeri ini,” tambahnya.


Universiti itu berkata ia menangguhkan kelas sehingga diberitahu kelak. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >