LUMUT (Perak): Pihak berkuasa Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas sebuah bot membawa 37 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor, Perak, pada 11 Mei.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Mohamad Shukri Khotob, berkata setakat ini 23 mangsa telah berjaya diselamatkan, manakala 14 lagi masih hilang.

Beliau berkata pihak berkuasa menerima laporan pada 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan yang menemui beberapa mangsa terapung di laut, sebelum segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Kapten Mohamad Shukri berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) segera mengaktifkan operasi SAR pada 6 pagi dengan mengerahkan dua bot penyelamat, KM Gagah dan Benteng 1203 ke tempat kejadian.

Katanya, operasi turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), polis dan nelayan tempatan.

“Sebuah bot nelayan tempatan berjaya menyelamatkan 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita yang mana kesemuanya warga Indonesia.

“Mereka kemudiannya dibawa oleh PPM ke jeti Polis Marin Kampung Acheh untuk urusan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Mei, lapor Harian Metro.

Encik Mohamad Shukri berkata siasatan awal mendapati seramai 37 individu dipercayai berada di atas bot berkenaan ketika ia karam.

Beliau berkata pasukan penyelamat turut menemui tiga beg berisi pakaian yang dipercayai milik mangsa di kawasan pencarian.

“Semua mangsa yang diselamatkan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

“Siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia, pada 9 Mei lalu dan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Beliau berkata operasi SAR itu membabitkan pelbagai aset termasuk kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Indera Sakti; helikopter Fennec TLDM; dua bot tempur pantas TLDM; pesawat Bombardier CL-415 milik APMM serta bot ronda PPM yang menjalankan pemantauan udara dan operasi pencarian di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, tiada penemuan baru dilaporkan. APMM kekal komited melaksanakan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi berkaitan bagi memastikan semua mangsa yang dipercayai terlibat dapat ditemukan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya masyarakat maritim, supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan mangsa hilang atau objek mencurigakan yang ditemui di laut.