Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Kebebasan bersuara, media perlu diiringi jati diri dan tanggungjawab

Oct 02, 2023 | 05:30 AM



Di sebalik manfaat kemodenan teknologi yang memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat hanya di hujung jari, satu perkara buruk mengenainya ialah berita dan maklumat yang disebarkan tidak semuanya benar.

Pendek kata, sejak wujudnya Internet dan jaringan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan X (dulu Twitter) yang melahirkan ramai ‘wartawan segera’, selain portal media dalam talian yang tumbuh bagai cendawan, satu cabaran kepada pengguna adalah untuk membuat penilaian terbaik berita yang sahih atau dilingkari fitnah.

Di sinilah pentingnya peranan pengguna untuk bijak membuat penilaian dalam memastikan sumber maklumat diperoleh adalah benar dan tidak ‘menyesatkan’.

Adakah kebebasan yang diberi bermaksud mana-mana pihak boleh semudahnya menggunakan hak demokrasi itu tanpa sempadan?

Di Malaysia, pelbagai undang-undang digubal untuk membendung kegiatan penyaluran maklumat palsu yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram, selain mengambil kira faktor keselamatan dan ketenteraman awam, antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.

Walaupun setiap individu berhak diberi kebebasan bersuara, namun, sebagaimana gesaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah, rakyat diingat supaya menerapkan akhlak mulia dalam pertuturan, membicara kebenaran, bersikap jujur serta menjauhi fitnah, kata dusta dan pembohongan di media sosial.

Kata beliau, perkataan kurang elok ketika berbicara atau menulis di media sosial, kata cacian, nista dan dusta serta fitnah hanya menggugat kestabilan serta keharmonian negara ini.

Dari segi kebebasan media pula, berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF), Malaysia berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023, berbanding tangga ke-133 pada 2022.


Malaysia turut menduduki tangga tertinggi di Asean, diikuti Thailand di kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Bagaimanapun, insiden pertikaman lidah antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Radzi Jidin, dalam sidang Parlimen baru-baru ini, mencetuskan kegusaran mengenai kebebasan media lantaran sekatan terhadap beberapa portal berita tempatan.

Dalam kenyataan bersama lebih 20 wartawan veteran, pengamal dan badan media Malaysia pada 24 September lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) seharusnya faham bahawa media bebas dan bertanggungjawab adalah prasyarat utama dalam sistem demokrasi.

Kenyataan itu mempertikai SKMM memberi amaran, memanggil dan menyekat beberapa portal berita sejak kebelakangan ini yang dilihat bertentangan dengan hasrat Datuk Anwar yang mahu melihat suasana kondusif buat media menjalankan tugasnya tanpa ragu dan takut.

Kenyataan itu dikeluarkan dan ditandatangani ‘otai’ dalam bidang media, iaitu Tan Sri Johan Jaaffar; Datuk A Kadir Jasin; Datuk Hussamuddin Yaacob; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Dr Chamil Wariya; Datuk Zakaria A Wahab; Datuk Zulkefli Hamzah; Datuk Zaini Hassan; Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid; Ashwad Ismail dan Ku Seman Ku Hussein.

Itu bukanlah kenyataan pertama daripada pihak media dalam menuntut keadilan kebebasan media, sebaliknya sudah ada beberapa siri kenyataan daripada pengamal media dan badan media Malaysia terhadap isu kebebasan media sejak awal tahun ini.

Pengarah Biro Asia-Pasifik agensi pemantau media global, RSF, Encik Cedric Alviani, dalam satu kenyataan baru-baru ini menyuarakan kebimbangan terhadap gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap media, yang boleh memberi kesan negatif kepada demokrasi Malaysia.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital, Encik Fahmi Fadzil, menegaskan apa sahaja tindakan diambil SKMM adalah berlandaskan undang-undang.

Sambil menegaskan beliau menghormati setiap pandangan wartawan sama ada veteran mahupun muda dan mengakui pentingnya kebebasan media di Malaysia, namun tegasnya memastikan fakta tepat dan laporan bertanggungjawab juga sangat penting.

“Kerajaan berpegang teguh dengan prinsip untuk mempertahankan hak dan kebebasan media dalam membuat laporan, namun tidak akan berkompromi terhadap laporan fitnah dan tidak tepat,” katanya.

Apa pun, untuk memastikan kesejahteraan bersama terutama dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, amatlah penting untuk setiap ahli masyarakat mengelakkan sebaran fitnah, pembohongan dan kata nista yang hanya bertujuan meraih kepentingan tertentu.

Sebagai pengguna Internet, kita tidak boleh terlalu mudah menerima dan mempercayai setiap yang terpapar di media sosial. Amalkan sikap suka mencari kebenaran dan kesahihan supaya tidak hanyut dengan fitnah yang merosakkan.

Ini agar kita dapat meraih manfaat penuh kemodenan teknologi itu, bukan menjadi mangsa penyebaran perkara tidak benar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >