Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Keselamatan Laut China Selatan, EV dalam perbincangan Jokowi di Vietnam

Jan 12, 2024 | 03:36 PM



HANOI: Pemimpin Indonesia dan Vietnam menonjolkan keselamatan di Laut China Selatan dan pelaburan oleh pembuat kenderaan elektrik VinFast di Indonesia dalam satu kenyataan bersama selepas satu pertemuan pada 12 Januari semasa lawatan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo ke Hanoi.


Dua negara Asia Tenggara ini sedang memperkukuh hubungan mereka dengan pelaburan korporat, meningkatkan perdagangan dan kerjasama lebih rapat dalam meningkatkan keselamatan di Laut China Selatan yang dipertikai di tengah-tengah ketegangan dengan Beijing.

Presiden Vietnam, Encik Vo Van Thuong, menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dalam satu kenyataan selepas bertemu Presiden Widodo, yang lebih dikenali sebagai ‘Jokowi’.

Dua negara itu menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai kerjasama perikanan. Teks MOU itu tidak diumumkan, namun ia mungkin menangani pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negara lain, yang merupakan sumber ketegangan kerap di rantau ini.

Menjelang lawatan Encik Jokowi, Menteri Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi, menyatakan negara itu bersedia bekerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain untuk memuktamadkan tatakelakuan yang lama tertangguh bagi Laut China Selatan, sebuah laluan air strategik untuk perdagangan dan tenaga.

Seorang pegawai Vietnam mengesahkan perkara itu akan dibincangkan di Hanoi semasa lawatan Encik Jokowi. Satu tatakelakuan Asia Tenggara akan dilihat sebagai satu tamparan kepada China.

Beijing dan negara-negara Asia Tenggara telah berusaha sejak 2002 untuk membangunkan sebuah kerangka bagi merundingkan tatakelakuan itu, tetapi kemajuannya perlahan walaupun terdapat iltizam oleh semua pihak untuk memajukan dan mempercepat proses tersebut.

Indonesia dan Vietnam bersetuju pada 2022 untuk mengiktiraf sempadan zon ekonomi eksklusif mereka di Laut China Selatan, satu langkah yang dilihat sebagai mencabar Beijing, yang mendakwa hampir keseluruhan laluan perdagangan strategik itu.

Indonesia sebelum ini menyatakan mereka merancang mengeksport gas ke Vietnam dari ladang gas di Laut China Selatan.

“Kami bersetuju untuk bekerjasama dalam urus niaga tenaga,” kata Encik Jokowi dalam kenyataan di samping kenyataan Encik Thuong.

Encik Jokowi, yang dijadual melawat kilang EV VinFast di utara Vietnam pada 13 Januari, memuji rancangan syarikat itu untuk melabur AS$1.2 bilion ($1.6 bilion) dalam membina sebuah kilang dan operasi lain dalam tempoh masa panjang di Indonesia.

Encik Thuong turut menggalak firma Indonesia melabur lebih banyak di Vietnam, termasuk dalam sektor perbankan.

Dua negara itu juga MOU mengenai kerjasama teknologi maklumat dan komunikasi.

Perdagangan dua hala antara mereka meningkat 23 peratus kepada AS$14.1 bilion pada 2023 dan matlamatnya adalah mencapai AS$15 bilion tidak lama lagi, kata Encik Thuong.

Lawatan Encik Jokowi ke Hanoi adalah sebahagian daripada lawatannya ke negara-negara Asia Tenggara, termasuk ke Filipina sebelum ini.

Beliau dijangka ke Brunei hujung minggu ini sebelum pilihan raya Indonesia pada Februari. – Reuters.

Beliau dijangka bertemu dengan pemimpin Vietnam yang lain pada 12 Januari, tetapi berbeza dengan amalan
biasa, Encik Jokowi tidak dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Agung Parti Komunis, Encik Nguyen Phu Trong, disebabkan kesihatan pemimpin yang berusia lanjut itu.


Sejak 2022, Vietnam telah melakar strategi memperbaiki hubungan dengan kuasa-kuasa sejagat dan rakan-rakan kongsi, dan Encik Thuong menyatakan keyakinannya bahawa hubungan formal dapat ditingkatkan dengan Indonesia. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >