SYDNEY: Seorang lelaki di Australia meninggal dunia selepas dijangkiti virus jarang ditemui yang menyerupai rabies, berpunca daripada gigitan kelawar, menurut pihak berkuasa kesihatan New South Wales (NSW) pada 3 Julai.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an tahun itu digigit beberapa bulan lalu oleh kelawar yang membawa virus Australian bat lyssavirus (ABLV), sejenis penyakit yang berkait rapat dengan rabies.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa atas kehilangan yang tragis ini,” kata NSW Health dalam kenyataan rasmi.
Walaupun kes jangkitan ABLV sangat jarang berlaku, pihak kesihatan menegaskan bahawa tiada rawatan berkesan bagi penyakit tersebut setakat ini.
Mangsa, yang berasal dari utara New South Wales dan tidak dinamakan, sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Virus ABLV disebarkan melalui air liur kelawar yang memasuki tubuh manusia menerusi gigitan atau cakaran.
Simptom awal mungkin tidak muncul selama beberapa hari atau bertahun, menjadikan jangkitan ini sukar dikesan pada peringkat awal.
Menurut pihak kesihatan, gejala awal menyerupai demam selesema seperti sakit kepala, demam dan keletihan, sebelum keadaan pesakit merosot secara mendadak sehingga mengalami lumpuh, sawan, halusinasi dan akhirnya maut.
Sejak ABLV dikenal pasti pada 1996, hanya tiga kes jangkitan manusia direkodkan di Australia, dan kesemuanya berakhir dengan kematian.
NSW Health menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada menyentuh atau mengendalikan kelawar secara langsung kerana mana-mana kelawar di Australia berpotensi membawa virus itu.
“Jika digigit atau dicakar kelawar, luka perlu dibasuh selama sekurang-kurangnya 15 minit menggunakan sabun dan air bersih, kemudian sapukan antiseptik yang mempunyai kesan antivirus,” menurut kenyataan itu.
Mereka yang terdedah juga perlu mendapatkan rawatan lanjut termasuk suntikan rabies immunoglobulin dan vaksin rabies.
Virus ABLV pernah dikesan dalam spesies kelawar terbang (flying fox) dan juga kelawar kecil pemakan serangga (microbat), namun spesies kelawar yang menyebabkan kematian terkini masih belum dikenal pasti. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg